Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 14, 2013

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH


Sebagai khalifah di muka bumi, kita perlu muhasabah. Berfikiran waras bahawa ketentuan Allah mempunyai seribu satu sebab terkandung hikmah dan pengajaran. Setiapnya perlu dihadapi dengan bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi. Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk."(Surah al-Baqarah: 155-157)

Derita Nabi Ayub

Al-Quran ada merakam kisah penderitaan Nabi Ayub. Dalam Kitab Duratun Nasihin, bab kisah kesabaran Nabi Ayub - seorang nabi yang dikurniakan kekayaan, kesihatan serta anak tetapi tidak lupa mensyukuri segala nikmat Allah kurniakan.

Iblis dengki melihat Nabi Ayub berjaya di dunia dan akhirat. Iblis ingin merosak salah satu atau semuanya. Lalu memohon kepada Allah menguji Nabi Ayub. Dengan izin Allah, kesabaran Nabi Ayub diuji apabila Iblis membakar rumah, harta benda dan anak-anaknya. Iblis belum puas melihat ketabahan dan kesabaran Nabi Ayub dan diuji lagi dengan penyakit kulit kronik hingga masyarakat jijik. Isteri-isterinya meninggalkannya kerana tidak mampu menanggung malu dan kesengsaraan hidup. Hanya tinggal Siti Rahmah, seorang isteri solehah. Selama tujuh tahun Nabi Ayub menderita, namun tidak lekang mulutnya berzikir. Siti Rahmah akhirnya dihasut iblis meninggalkan suaminya.

Dalam pada itu, Nabi Ayub merintih pada Allah firmanNya:: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang".(Surah Al-Anbiya’: 83)

Allah Maha Mendengar, tidak membiarkannya sendirian. Allah kabulkan rintihan Nabi Ayub. Allah menyuruhnya menghentak kaki ke tanah, lalu keluar air dingin, diminum, dimandi sebagai penawar. Firman Allah: “Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah".(Surah Al-Anbiya’: 84)

Dengan izin Allah, Nabi Ayub sihat, Allah mengurniakan zuriat yang ramai dan mengembalikan kemewahannya sebagai tanda rahmat dan kasih sayang.

Kisah Nabi Ayub memberi pengajaran bahawa penyakit adalah ujian sebelum Allah mengurniakan rahmat. Allah ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hambaNya yang soleh.

Hikmah sebalik penyakit

Di sebalik musibah, mempunyai hikmah. Musibah bukan sahaja penyakit tetapi apa saja dugaan. Antara hikmah yang boleh diambil:-

1. Mengangkat Darjat

Musibah yang menimpa seseorang merupakan jalan Allah meninggikan darjat . Kisah Nabi Ayub contoh terbaik. Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, namun masih berbaik sangka . Sudah dirinya ditimpa penyakit. Isteri-isterinya menjauhkan diri. Nabi Ayub tetap bersabar sehingga Allah mengembalikan kesihatan dan ditinggikan darjat. Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub melalui ujian Allah mempunyai hikmah besar.

2. Tanda Cinta

Musibah adalah tanda cinta Allah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala yang kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang reda, maka ia akan mendapatkan keredaanNya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaanNya."(HR. Ahmad dan Tirmidzi)

3. Belajar Erti Sabar

Yakinlah Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan. Ketahuilah sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firmanNya: “Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".(Surah Ali 'Imran:146)

4. Pembersihan Dosa

Sebagai manusia, kita tiada terlepas melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak. Iblis dan syaitan sentiasa menggoda agar melakukan dosa yang menjauhkan kita dengan Allah. Hikmah diturunkan sakit adalah cara membersihkan dosa. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (HR. Bukhari dan Muslim)

5. Memberi Keinsafan

Kita mesti bersyukur segala nikmat Allah. Dengan kehendakNya, nikmat kesenangan boleh hilang sekelip mata. Jangan dicela andai musibah menimpa. Bila sakit atau ditimpa musibah, hakikatnya Allah sedang memberi perhatian. Bukankah itu satu kemuliaan?

6. Pengubat Ego

Sakit menjadikan kita ingat nikmat sihat yang Allah kurniakan hanya pinjaman. Segala yang di miliki adalah milik mutlak Allah. Sakit adalah petanda kita makhluk lemah. Didatangkan sakit atau musibah, adalah untuk kita beringat bahawa kita hambaNya dan tidak patut sombong dan bongkak kepada Allah. Musibah adalah pengubat ego.

7. Lebih Dekat Dengan Tuhan

Bila sakit, kita mengingati Allah. Merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapanNya. Bila sakit kita bersungguh memohon perlindungan Allah. Ini mengingatkan kita kepada nikmat kesihatan yang dikurniakan. Jarang orang merasa nikmat ketika sakit. Orang yang bersyukur dan bersabar, ia akan memperoleh nikmat

8. ‘Turning Point’ Kehidupan

Bila kita leka dalam hal duniawi, kita lupa beribadah. Hal duniawi lebih penting dari akhirat. Turunnya penyakit memberi keinsafan dan mendekatkan diri dengan Allah. Sakit adalah isyarat Allah sangat mengasihi kita agar menjadi hamba bertaqwa dan tidak lalai kerana matlamat adalah kehidupan abadi di akhirat, bukan dunia .

9. Membersih Hati

Manusia yang tidak diuji dengan musibah menjadi ujub dan takbur. Musibah dalam bentuk apa pun adalah rahmat Allah. Ia dapat membersihkan jiwa dan menyuci iman. Itu ubat dan penawar kehidupan yang diberikan Allah kepada orang beriman. Ketika hati bersih dan suci, sirnalah penyakit, martabat diangkat dan jiwa dimuliakan.

Penutup

Nikmat kesihatan yang kita perolehi ketika ini wajib disyukuri. Jika ditimpa penyakit, mohon kesembuhan kepadaNya. Perbanyak amal ibadah, dekatkan diri dengan Al-Quran kerana di sana ada penawar. Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua." (Surah Al-Isra’:82)

0 comments:

share2