KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sahaja mendatangkan tsunami politik Cina kepada Barisan Nasional (BN) bahkan dikhuatiri mengancam masa depan politik, ekonomi, dan sosial bangsa Melayu.
Walaupun BN mencatatkan penurungan kerusi Parlimen daripada 140 kepada 133 kerusi, manakala DAP memperolehi 38 kerusi (sebelum itu 28 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (PKR) 30 (31), dan Pas 21 (23), tetapi kejayaan merampas kembali Kedah secara tersirat memberi harapan bahawa kuasa politik Melayu masih utuh.
Tindakan majoriti kaum Cina berpaling daripada MCA dan Gerakan kepada DAP adalah jelas atas sentimen perkauman.
Sekarang, orang Cina berada dalam persimpangan dilema. Ada yang menganggap berpayung bersama UMNO/BN seolah-olah bersubahat membenarkan pelbagai perkara tidak kena akan berterusan berlaku.
Situasi ini tidak dapat dipersalahkan ke atas mereka 100 peratus. Pastinya, pengundi Cina yang memangkah DAP, PKR dan Pas kini dalam keadaan bermasam muka. Bukan salah mereka tetapi hasutan kepimpinan Cina memaksa tindakan berani mati itu.
PRU-13 adalah sebuah episod mengejutkan apabila kaum Cina seolah-olah mengkhianati kepercayaan BN terhadap bangsa itu.
Pada kali ini membuktikan bahawa medan pertempuran UMNO bukan sahaja tertumpu di atas kertas undi tetapi berlarutan sehingga keluar daripada pusat mengundi.
Namun, hakikatnya Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya memimpin UMNO sebagai tonggak utama kuasa Melayu dalam Kerajaan Persekutuan untuk kali ke-13.
Ketika tsunami politik 2008, UMNO memperolehi hanya 79 kerusi, tetapi PRU-13 pencapaian itu melonjak lebih 10 peratus apabila menguasai 88 kerusi Dewan Rakyat.
Kejayaan itu begitu mengecewakan pakatan pembangkang - DAP, PKR dan Pas untuk menumbangkan BN.
PRU-13 yang baru berlangsung seminggu lalu sebelum ulang tahun UMNO ke-67 hari ini ialah sebahagian besar orang Melayu masih bersama UMNO.
Orang Melayu juga yakin hanya UMNO membela nasib bangsa dan mempertahankan kesucian agama Islam.
Jika tanpa keyakinan ini, manakan UMNO dapat membantu BN kembali merampas Kedah, dan mengekalkan pemerintahan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, dan Terengganu.
Kemenangan UMNO ini juga membuktikan di bawah kepimpinan Najib, masalah imej dan ahli UMNO pada PRU-12 sudah berjaya dipulihkan, tinggalkan masyarakat Cina sahaja yang mula berubah angin.
Seperti PRU-12, PRU-13 pun dilihat ujian besar kepada UMNO.
Rakyat sudah menguji kuasa undi mereka. Ternyata undi mereka boleh mengejutkan Malaysia. Menteri atau pemimpin parti boleh tewas. Pemerintah boleh ditumbangkan dengan undi rakyat jika mereka tidak suka.
Ungkapan, Saya percaya rakyat akan memilih parti berdasarkan rekod prestasi cemerlang, bukannya parti sekadar bercakap kosong" - sudah tidak laku lagi sekarang.
Kempen menjanjikan pembangunan yang rancak juga gagal sejak Pas menawan Kelantan. Kini penyakit sama melanda Selangor dan Pulau Pinang.
Orang UMNO yang berjumlah 3.5 juta ahli itu harus ingat, rakyat menggunakan kuasa undi untuk memilih sesuatu yang sesuai dengan kehendak mereka.
Apa pun martabatkan UMNO sebagai jaguh politik Melayu di sebuah negara majmuk seperti Malaysia harus dibaik pulih supaya terus disenangi rakyat.
Kini dengan kuasa yang ada, yang mana dengan jumlah perwakilan seramai 89 daripada 133 ahli BN di Dewan Rakyat, UMNO perlu terus didokong sebagai tunggak kuasa.
Jika UMNO lemah, bererti kuasa Melayu juga akan lemah dan mungkin akan mengundang ketidakstabilan politik negara. Inilah yang dikhuatiri.
UMNO tidak boleh mengalihkan pandangan daripada persoalan, mengapa orang Melayu mulai berpaling daripada UMNO, sebaliknya Pas dan PKR pula menjadi perhatian? Adakah benar perjuangan Melayu dalam UMNO sudah tidak ada apa-apa lagi?
UMNO usah lupa akan budaya politik di negara ini yang masih dicengkam oleh sikap perkauman akibat kegagalan kita selama ini membentuk sebuah negara bangsa yang berpegang pada kebudayaan kebangsaan.
Ketika orang lain begitu galak menuntut itu dan ini dengan alasan memastikan kebudayaan dan kepentingan mereka terpelihara, UMNO pula tidak peduli sebaliknya bersikap longgar dalam mempertahankan apatah lagi mahu mengukuhkan jati diri dan kepentingan bangsanya.
Ringkasnya, dasar dan tindakan UMNO dikatakan tidak memiliki kesungguhan politik yang kuat seperti mana parti kaum lain. Kelunturan dalam mempertahankan bahasa, ekonomi, budaya dan maruah bangsanya sendiri memberi implikasi yang besar terhadap parti berusia 67 tahun ini.
Apa yang UMNO harus lakukan selepas ini? Hanya Perlembagaan Persekutuan dilihat perisai yang menentukan tenggelam timbul UMNO dan bangsa Melayu untuk masa akan datang.
Berjuta ahli UMNO masih setia setelah berpuluh tahun menjadi ahli. Mereka masih berpegang kepada prinsip tiada parti politik yang boleh membela mereka selain daripada UMNO. Pada mereka Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu.
Hayatilah sejarah penubuhan UMNO pada tahun 1946 dahulu. Melayu bersatu dalam satu nama parti hasil gabungan berpuluh persatuan dan pertubuhan Melayu dan suku kaum Melayu di Tanah Melayu.
Wajarlah para pemimpin UMNO sekarang menerapkan kembali semangat perpaduan dan bersatu orang Melayu seperti di era 1946. Jangan pinggirkan pendapat dan komen akar umbi UMNO. Jelajahlah ke seluruh negara untuk memberikan semula keyakinan ahli UMNO terhadap parti.
Selamat menyambut Ulang Tahun UMNO Ke-67.
Hahahaaaaaaaa.......UMNO terus pertahan orang melayu...hahahaaaa...bukan Najib junjung Cina dan Melayu Kurap UMNO yang mempertahankan Najib jadi PERDANAAAAAAAAAAAAAA Menteri. Hahaaaaaaaa orang melayu kena tipu lagi..........