SETIAP daripada kita adalah pembawa tugas dakwah. Sesiapa sahaja yang menjalankan usaha menyebarkan kebaikan sesama manusia ia sudah layak digelar pendakwah. Tugas ini sebenarnya bukan susah dan tidak terlalu sulit untuk dipikul sekiranya dalam diri seseorang itu mempunyai komitmen dan iltizam dalam menjalankannya tanpa mengira jarak dan sempadan geografi.
Sudah tentunya tanpa usaha yang sentiasa berkesinambungan nescaya nikmat Islam yang ada pada hari ini tidak akan sampai kepada kita yang hidup di era kini. Tugas murni lagi suci ini adalah menjadi agenda terpenting dalam diri para Nabi dan Rasul pilihan Allah SWT.
Berbekalkan azam yang kuat dan jitu walau terdapat banyak keadaan bahaya, tidak semua usaha dakwah mereka diterima dengan hati yang terbuka dan diikuti oleh umat dan kaum pada zaman mereka. Setidak-tidaknya ia telah memberi garapan pengajaran dan sejarah kepada umat yang terkemudian seperti kita pada hari ini.
Menjalankan usaha dakwah iaitu menyampaikan mesej kebaikan, bukan sahaja memerlukan dorongan fizikal secara berkumpulan malah tetap juga berlaku dalam konteks perlaksaan perseorangan yang dibekali dengan ilmu pengetahuan serta strategi dakwah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Semua mampu menjalankan usaha dakwah tetapi apa yang perlu dan wajar diberikan penekanan adalah dalam konteks pendekatannya. Ia bukan sahaja mesti terkandung unsur ilmu untuk mendidik jiwa malahan mestilah berpaksikan kepada kebijaksanaan (hikmah). Dakwah seharusnya berhikmah. Hal ini sering kita mendengar dalam tazkirah, tausiyah kepada daie agar lebih teliti (prudent) dalam menjalankannya.
Allah SWT dengan jelas menunjukkan jalannya dengan firman-Nya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (an-Nahl: 125)
Oleh itu, dalam menyampaikan usaha dakwah bukanlah piawaiannya kemenangan atau kekalahan yang wajar dilihat tetapi kebijaksanaan seseorang pendakwah dalam memenangi hati golongan sasarnya tanpa adanya unsur dendam, pembalasan dan melukakan hati orang yang mendengar kandungan penyampaian isi dakwahnya itu.
Mendepani usaha dakwah pada masa kini bertambah mencabar kerana evolusi dan ketamadunan sesuatu umat itu mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk menjadikan sesuatu dakwah itu berkesan atau sebaliknya. Oleh yang demikian, kita selaku para pendakwah mestilah sentiasa menggandakan keupayaan dan kemampuan diri. Sebagai contoh ialah kewujudan jaringan media sosial seperti blog, facebook, twitter, instagram, youtube dan lain-lain lagi adalah pembuka ruang yang cukup luas untuk mana-mana individu untuk menyebarluaskan sesuatu dakyah iaitu perkara-perkara yang berkait dengan permusuhan, caci maki dan sebagainya.
Malah ia bukan sahaja menjangkaui peringkat domestik malah berkemampuan untuk sampai ke seantero dunia. Maka atas dasar seperti itu jugalah para pendakwah wajib menggemblengkan tenaga dan pendekatan untuk memberikan pencerahan terhadap sesuatu isu yang berbangkit, di samping merancakkan lagi usaha menyebarkan kebaikan di peringkat mana sekalipun.
Menyampaikan usaha dakwah tidaklah seindah yang digambarkan kerana seringkali para pendakwah berdepan dengan pelbagai cabaran. Maka, cabaran-cabaran yang timbul itu bukanlah semua menuntut kita menggandakan usaha untuk bertanding memperdebatkan sesuatu perkara lantas kekalahan dan kemenangan yang menjadi paksi kepada perjuangan. Bukanlah bermaksud tidak boleh untuk melawan akan tetapi ia mestilah dilakukan dengan suasana yang lebih harmonis dan bertamadun.
Sebagaimana Allah SWT memerintahkan kepada kedua Nabi-Nya yang mulia: Musa dan Harun AS agar mengamalkan hukum-hukum dalam menghadapi manusia yang paling kafir di dunia, iaitu Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Firman Allah SWT: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut. (Thaha: 44). Kemudian Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS: Pergilah kamu kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Firaun): Adakah keinginan bagimu untuk membersihkan diri (dari kesesatan) Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar kamu takut kepada-Nya? (an-Nazi'at: 17-19)
Di Malaysia, suasana penyemarakkan usaha dakwah berjalan lancar dengan penglibatan banyak pihak di pelbagai peringkat sama ada peringkat kumpulan kecil hinggalah ke peringkat yang besar seperti usrah keluarga, surau, masjid sehinggalah kepada penganjuran program keagamaan peringkat kebangsaan termasuklah antarabangsa.
Suasana kerancakan usaha dakwah di negara kita pada sisi pandangan awalnya memanglah terbaik. Namun, pada sisi lainnya ia telah menjadi penyebab kepada kewujudan pendakwah-pendakwah komersial yang sering muncul di layar televisyen, di corong radio dan termasuklah di dada majalah dan akbar. Tiada masalah dengan penerimaan masyarakat terhadap pendakwah-pendakwah komersial ini, namun yang menjadi kerisauan dan kegusaran adalah sikap sesetengah golongan pendakwah seumpama ini (berdasarkan banyak aduan dan rungutan) yang telah meletakkan kadar bayaran yang tidak munasabah kepada pihak penganjur walau ia melibatkan surau dan masjid, maka apa lagi jika ia melibatkan ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah agama yang dianggap berprestasi tinggi dari sudut prestijnya.
Situasi sebegini jika berlarutan maka ia akan memberikan kesan negatif dalam banyak aspek; pertamanya ia akan menyebabkan imej para agamawan hanya digelar "ustaz sampul", keduanya ia akan menyekat usaha dengan tiadanya kesanggupan masyarakat untuk memenuhi segala permintaan yang telah ditetapkan.
Memang benar, para agamawan juga makan, minum, berumah tangga, mempunyai anak pinak untuk disara tetapi mereka sememangnya tahu apakah kelayakkan yang akan diberikan serta juga berdasarkan kemampuan mereka untuk memberinya. Penulis turut juga memberi ingatan buat diri sendiri dan pendakwah semua, tidaklah menjadi kesalahan untuk menjadi pendakwah sepenuh masa tetapi perlulah juga terlebih dahulu untuk memilik kerjaya tetap, terutamanya seperti membuka perniagaan sendiri dan lain-lain. Maka tiadalah siang dan malam mereka hanya bergantung harap kepada rezeki dalam bidang dakwah semata-semata.
Kesimpulannya, usaha dakwah sememangnya memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah di negara kita keseluruhannya.
0 comments:
Post a Comment