Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 6, 2013

BN Menang Majoriti Mudah


Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan setelah berjaya mencapai kemenangan majoriti mudah apabila memperolehi 133 kerusi pada pukul 1.35 pagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang menyaksikan 80 peratus daripada 13.26 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Setakat tengah malam ini, BN berjaya membentuk kerajaan di 10 negeri di Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perlis, Terengganu, Pahang, Perak dan memenangi semula negeri Kedah.

Kemenangan awal BN disumbangkan oleh BN Sarawak yang meraih 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus meneguhkan reputasi negeri itu sebagai ‘Deposit Tetap BN'.

Tonggak utama BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), menepati ramalan dengan memenangi kesemua 14 kerusi yang ditandingi.

Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula memenangi keenam-enam kerusi yang ditandingi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang semua empat yang ditandingi. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terus berdepan realiti malap dengan hanya memenangi satu daripada enam kerusi yang disaingi.

Di Kedah, BN menepati ramalan berjaya menumbangkan Pas bagi meraih mandat membentuk kerajaan negeri yang baharu memenangi sebanyak 21 kerusi DUN dan 10 Parlimen manakala pakatan pembangkang hanya menguasai 16 kerusi DUN.

BN kekal memerintah Melaka dengan mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 20 daripada 28 kerusi DUN.

Di Pahang, BN kekal memerintah apabila memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 29 daripada 42 kerusi DUN sehingga pukul 12.15 pagi ini.

BN kekal memerintah Negeri Sembilan apabila memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 19 daripada 36 kerusi DUN setakat pukul 12.20 pagi ini.

Di Sabah, BN kekal memerintah setelah memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 33 kerusi daripada 60 kerusi DUN setakat pukul 12.46 pagi ini.

Di Johor, BN juga membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah dengan kemenangan ke atas 32 daripada 56 kerusi DUN.

Di Terengganu, BN akan terus menerajui kerajaan negeri dengan majoriti begitu tipis setelah hanya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN.

Di Perlis, BN mengekalkan kuasa setelah memenangi 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perak menjadi negeri ke-10 kekal dalam tangan BN setelah mendapat majoriti mudah 30 daripada 59 kerusi DUN setakat 1.08 pagi ini.

Di kebanyakan kawasan majoriti pengundi Cina dan pusat undi Cina tidak memberikan undi kepada BN tetapi cenderung kepada pakatan pembangkang, terutamanya DAP.

Kekalahan paling besar BN ialah di kerusi Parlimen Bukit Katil, apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam tewas yang dipercayai berpunca daripada peralihan pengundi Cina kepada calon pembangkang.

Di Gelang Patah pula, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dikalahkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang telah menggunakan kempen berbentuk perkauman bagi menyemarakkan perasaan pengundi Cina.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti yang rendah berbanding 2008 iaitu 11,721 undi.

Beliau memperoleh 37,090 undi menewaskan calon BN, Dr. Mazlan Ismail yang mendapat 25,369 undi manakala calon Bebas, Dr. Abdullah Zawawi Samsudin hanya mendapat 201 undi.

0 comments:

share2