KUANTAN - "Kami akan tetap berikan sokongan dan mandat kepada Barisan Nasional, bukan sekadar 5 tahun, tapi buat selama - lamanya."
Demikian dijelaskan oleh sekumpulan warga Pahang yang ditemui malam semalam sewaktu Program Jelajah Janji Ditepati menutup tirainya di Kuantan, Pahang.
Kenyataan tersebut bakal diterjemahkan oleh rakyat seluruh Negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang kerana yakin dengan kepimpinan sedia ada.
Warga Pahang yang membanjiri tapak program Jelajah Janji Ditepati terakhir malam tadi hadir untuk mendengar amanat Perdana Menteri yang antara lain meminta rakyat menilai sendiri keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji demi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus membandingkan kejayaan itu dengan janji-janji kosong yang ditabur pembangkang selama ini.
Beliau yakin rakyat telah dapat melihat kejayaan kerajaan dalam tempoh empat tahun ini dan meminta mereka memberi mandat baharu kepada kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang untuk melakukan yang lebih baik buat negara.
"Beri kita mandat lima tahun lagi untuk lakukan yang lebih hebat. Kita janji akan bekerja bersungguh-sungguh. Insya-ALLAH, lima tahun lagi Malaysia akan bersinar sebagai negara yang berjaya dan keunggulan Malaysia akan terserlah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara itu di padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 (MPK2) di sini.
Najib berkata mandat baharu amat penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala agenda yang telah direncanakan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Perjalanan kita masih jauh sebab kalau hendak Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak mengambil setahun dua...tetapi sebelum sampai ke tahap itu, kita kena melangkah satu jambatan iaitu Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kalau kita dapat pintas ke sebelah, yakin dan percayalah dengan mandat baharu itu kerajaan akan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang," tegas Perdana Menteri yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri serta menteri-menteri Kabinet.
0 comments:
Post a Comment