LUKMANUL Hakim merupakan seorang penasihat yang bijaksana dan kisah nasihatnya sentiasa menjadi iktibar dalam jiwa masyarakat Islam, kerana kebanyakan kisahnya menjadi teladan bagi membantu orang Islam menyelesaikan kemelut.
Antara kisah yang terkenal ialah bersama anaknya pergi ke pasar dengan menunggang keldai. Sebagai orang yang bijaksana, Lukmanul Hakim menyuruh anaknya menunggang keldai manakala dia melihatnya.
Ketika di separuh jalan, ada seseorang mencemuh kerana merasa aneh dengan sikap Lukmanul Hakim. Antara kata-kata kesat ialah "Sungguh tidak beradab budak ini", kerana membiarkan lelaki tua itu berjalan sedangkan anak lelakinya menunggang keldai."
Mendengarkan cemuhan itu, Lukmanul Hakim menyuruh anaknya berjalan dan dia menunggang keldai. Setibanya di kawasan keramaian, terdengar suara: "Apa dah jadi dengan orang tua ini? Budak disuruh berjalan, tapi dia menunggang keldai."
Kemudiannya, Lukmanul Hakim mengajak anaknya bersama-sama menunggang keldai dan setibanya di suatu tempat lain, ada pula yang mengomel: "Tidak berhati perut betul kedua manusia ini. Sanggup mereka mendera haiwan kecil itu". Lukmanul Hakim dan anaknya kemudian turun. Mereka sama-sama melihat keldai.
Dua beranak itu terus dikritik: "Bodoh betul kedua orang ini. Ada kenderaan tidak digunakan. "Setibanya di kampung terakhir, Lukmanul Hakim mengikat keempat-empat kaki keldai, dan kemudiannya dua beranak itu mengusungnya.
Bila sampai di suatu tempat, orang ramai yang melihat perbuatan itu ketawa terbahak- bahak. Tidak kurang juga yang menempelak: "Gila agaknya kedua orang ini? Bukankah keldai itu boleh berjalan sendiri. Mengapa pula mereka mengusungnya?.
Lukmanul Hakim kemudiannya meninggalkan tempat itu dan seterusnya bertanya kepada puteranya: "Wahai anakku! Kamu sudah dengar apa kata orang melihat apa yang kita lakukan?
Dalam politik perkara sama sentiasa berlaku. Pasca pilihan raya umum (PRU) misalnya mempunyai banyak persamaan dengan kisah yang digambarkan Lukmanul Hakim dan anaknya dengan seekor keldai. Maknanya, bagi seseorang yang bertanggungjawab, mendengar pendapat orang dan bertindak sebagaimana yang dimahukan masih belum mampu memuaskan orang lain.
Golongan yang merasakan dirinya lebih baik itu akan menggunakan apa sahaja keadaan dan peluang untuk membolehkan hujahnya diterima sebagai munasabah ataupun terbaik.
Contohnya, ketika seluruh dunia bergelut dengan kenaikan harga minyak, ada golongan melihat kenaikan itu kerana kegagalan menguruskan sumber ekonomi, walhal secara logiknya, kenaikan adalah disebabkan banyak faktor bukan kawalan kerajaan. Sikap menonjolkan kehebatan dirinya dan pada masa sama memandang rendah dan menafikan kejayaan orang lain mempunyai kemiripan dengan sifat-sifat syaitan.
Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran, syaitan telah mendakwa dirinya sebagai makhluk yang terhebat yang pernah Allah ciptakan sehinggakan sanggup mencerca makhluk ciptaan Allah lain. Rancangan Allah untuk menciptakan manusia mendapatkan reaksi negatif dan tentangan sengit daripada syaitan.
Walhal, syaitan sendiri tidak tahu objektif Allah menciptakan manusia. Ketika Allah memerintahkan syaitan untuk bersujud kepada Adam sebagai tanda menghormati kehadiran manusia pertama, dengan angkuhnya syaitan menyatakan: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api, sedang dia Engkau jadikan dari tanah" (Al A'raf, 12).
Oleh kerana menganggap dirinya bijak dan pakar, maka dicadangkan agar keuntungan hasil minyak yang diperoleh Petronas digunakan untuk menstabilkan harga minyak dalam pasaran domestik. Cadangan itu tidak mengambil kira, bahawa monopoli minyak bukanlah oleh Petronas, kerana beberapa syarikat lain turut terbabit, termasuk syarikat- syarikat multinasional Belanda dan Amerika Syarikat.
Proses carigali minyak dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak, kerana usaha itu memerlukan kepakaran spesifik dan perbelanjaan besar. Maka, apabila minyak ditemui dan kemudian berjaya dihasilkan, ia tentunya akan melibatkan perkongsian antara dua atau tiga pihak. Maknanya, segala keuntungan Petronas akan digunakan membayar kenaikan harga minyak, yang untung ialah syarikat-syarikat asing yang tidak perlu mengetepikan sebahagian keuntungan perkongsian itu untuk menstabilkan harga minyak.
Ia adalah sama dengan cemuhan terhadap Lukmanul Hakim apabila menyuruh anaknya menunggang keldai. Tindakan itu dilihat sebagai perkara yang tidak prihatin seorang anak kerana membiarkan orang tua berjalan di sisi keldai. Apabila Lukmanul Hakim menunggang keldai, maka orang ramai turut berkata sinis.
Apabila harga minyak mencapai tahap kestabilan, pemimpin yang bercadang menurunkan harganya apabila "esok memerintah" berdiam diri mengenai harga, tetapi lantang pula bercakap untuk menggunakan keuntungan Petronas bagi membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan tinggi secara percuma.
Lagak bijaknya tidak munasabah, kerana sistem pendidikan tinggi di Malaysia bukanlah dominasi kerajaan sahaja, swasta turut diberikan peluang melabur. Maknanya, kalau setiap orang belajar dengan percuma, tentunya kos yang ditanggung oleh pengusaha swasta terpaksa diserap oleh kerajaan sepenuhnya.
Seandainya setiap tahun seramai 200,000 orang belajar di kolej-kolej swasta, maknanya setiap tahun kerajaan perlu memperuntukkan belanja teramat besar. Bayaran yuran untuk program diploma menjangkau RM17 hingga RM 25,000. Ini bererti bagi keseluruhan pelajar, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih RM4 bilion setahun. Perbelanjaan ini belum termasuk lain-lain kos seperti kos sara hidup ataupun penginapan.
Jika dicampurkan dengan peruntukan tahunan yang diberikan kepada sektor pendidikan sekitar RM 20 hingga RM 30 bilion, ini bererti satu pertiga keuntungan Petronas setahun adalah untuk pendidikan. Bagaimana pula keperluan sektor-sektor lain seperti kesihatan, pengangkutan awam, keselamatan dan keagamaan. Tentunya ia akan menyebabkan Malaysia terus berbelanja di luar kemampuan, dan lama kelamaan akan menyebabkan muflis.
Tidak seperti yang dijanjikan oleh pemimpin pembangkang. Ketika cuba meraih populariti, pembangkang hanya tahu berjanji dengan kata-kata "jika memerintah" akan diberikan semuanya kepada rakyat walaupun semakin hari semakin janggal kedengarannya.
Rakyat Selangor yang banyak menerima tempias janji pakatan pembangkang. Kini mereka bangkit untuk menagih janji tersebut dan bersedia untuk mengheret kerajaan negeri ke mahkamah setelah hampir lima tahun masih belum ditunaikan walaupun sudah memerintah.
Pemimpin pakatan pembangkang begitu sibuk merancang untuk "ke Putrajaya" tetapi mengetepikan tanggungjawabnya terhadap rakyat yang susah dan menderita. Bahkan, ada laporan sebuah keluarga "terlepas pandang oleh Menteri Besar" di sebuah negeri, terpaksa hidup dalam suasana sukar dan susah sehingga ada ketikanya, tidak mampu membeli beras sedangkan pemimpin berkenaan begitu fasih mempertahankan "negara berkebajikan."
Terbaharu ialah keinginan Menteri Besar Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua minggu selepas sambutan Tahun Baru Cina. Tujuannya untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri agar segera membubarkan Dewan Rakyat, ini kerana Menteri Besar sebenarnya tidak lagi mampu bertahan dengan bantahan rakyatnya sendiri.
Selagi beliau tidak membubarkan DUN, selagi itulah dia tertekan dengan kemarahan rakyat yang menagih setiap janji yang pernah dilontarkan ketika berkempen sepanjang PRU12.
Dua tahun lalu, Menteri Besar Selangor mengambil pendirian yang berbeza dan enggan membubarkan DUN sebelum sampai tempoh matang. Jika beliau benar-benar membubarkan DUN pada 25 Januari ini, bermakna Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah terasa peritnya untuk menghabiskan tempoh pemerintahannya yang masih berbaki tiga bulan. Maknanya, dia berada dalam keadaan yang terdesak. Beliau bukan sahaja terdesak untuk melepaskan diri daripada kemarahan rakyat bahkan dari dalam parti sendiri kedudukannya masih belum terjamin.
Itulah antara keburukan kepimpinan pakatan pembangkang yang pernah mendakwa merekalah yang pakar dan mampu menguruskan ekonomi dengan lebih baik. Dakwaan itu hanya sekadar memerangkap minda pengundi kerana realitinya, aset yang diwarisi semakin menipis dan menyusut. Lebih ramai rakyat ternanti-nanti bilakah janji akan ditunaikan kerana sesungguhnya "penantian itu suatu penyiksaan."
0 comments:
Post a Comment