Blogger Pakatan Menghina Orang Miskin |
BAHANG pilihan raya semakin terasa dan semua orang mula memberikan fokus siapakah pemimpin yang boleh mereka sandarkan harapan selepas pilihan raya nanti.
Meskipun tarikh tepat pilihan raya belum ditentukan dan pelbagai spekulasi lama berlaku, hakikatnya pilihan raya itu adalah proses memilih pemimpin yang mana seseorang pemimpin yang layak bertanding kebiasaannya adalah wakil kepada sesebuah parti politik.
Dua tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep "winnable candidate" bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 memandangkan keputusan PRU-12 berlaku sedikit masalah dalam penentuan calon yang bertanding. Lebih mendukacitakan apabila ada pemimpin yang merasakan dirinya patut dicalonkan mengambil keputusan tidak memberikan kerjasama kepada calon yang dipilih oleh parti.
Kita perlu menyedari pada hakikatnya masalah kepemimpinan adalah kuasa Allah. Meskipun secara realiti dan persepsi yang tersebar luas seolah-olah seseorang itu sudah hampir pasti terpilih menjadi pemimpin, akan tetapi sekiranya Allah tidak menghendaki seseorang itu menjadi pemimpin, maka orang itu perlu reda dan menerima secara lapang dada kenyataan itu.
Begitu juga halnya dengan orang yang sudah berada di tampuk kekuasaan. Orang yang menjawat perlu menyedari sekiranya Allah mencabut kuasa yang ada di tangannya, maka orang itu perlu ikhlas menerima hakikat itu tanpa menyalahkan mana-mana pihak. Firman Allah SWT: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kuasa pemerintahan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al Imran: 26).
Persoalannya, dalam menentukan kepimpinan negara siapakah pemimpin yang paling berkesan? Beberapa hari lalu timbul persoalan, ulama perlu diberikan peluang untuk memimpin manakala sekelompok lagi tidak bersetuju kerana sejarah membuktikan banyak ulama gagal apabila diberikan peluang memimpin. Pandangan yang lain adalah ulama dan umara perlu berganding bahu, seandainya umara ke sasar dalam melaksanakan tanggungjawabnya, ulama akan memberikan nasihat sebaik-baiknya.
Hal itulah yang menyebabkan pandangan Al-Ghazali begitu istimewa, beliau tidak mempromosikan dirinya sebagai seorang yang layak memimpin, tapi terus bergelut dengan keilmuannya. Beliau tidak pernah berdiam diri, tetapi sepanjang hayatnya memberikan pandangan bagaimana menyelesaikan kemelut masyarakat.
Atas pendirian itulah beliau dihormati sebagai ulama terhebat sepanjang sejarah bahkan ada yang memberikan pengiktirafan, selepas Nabi Muhammad SAW, al-Ghazalilah ialah pemimpin agama yang tiada tandingan. Pengaruh pemikirannya harum sehingga ke hari ini walaupun beliau telah meninggal dunia lebih seribu tahun lalu.
Itulah kehebatan seorang ulama yang sentiasa memikirkan kemaslahatan manusia dan bukannya mengadudomba merebut jawatan serta mempromosikan dirinya sebagai pemimpin hebat, pakar dan berwibawa. Kewibawaan akan datang dengan sendirinya, dan tidak perlu dipromosikan, kononnya dialah seorang yang berjaya mengharungi ujian getir, maka dia sahajalah berhak untuk memimpin.
Selama ini ulama dikenali mempunyai keperibadian dan integriti yang hebat. Ulama juga menjadi contoh dan rujukan kepada masyarakat kerana kedalaman ilmu agamanya. Tapi lain pula sifatnya seorang ulama yang digelar Mursyidul Am apabila membuat kenyataan bahawa penerima bantuan wang dari kerajaan diumpamakan seperti 'haiwan'. Ingatlah bahawa kesempurnaan iman seseorang atau seorang yang bergelar ulama dapat dilihat sejauhmana dia memelihara lidah (mulut) dan perkataannya daripada suatu hal yang tidak patut menurut agama.
Tahap keimanan seseorang itu juga ditentukan oleh bahasa yang digunakan dalam segala aspek kehidupan. Kalau kita tidak mampu berbahasa secara baik, kalau ucapan kita akan membuat orang lain sakit hati, marah, maka kita dianjurkan lebih baik diam. Sesungguhnya Allah SWT mengecam mereka yang memiliki ilmu (ulama) tetapi ucapan dan tindakannya tidak sesuai dengan tahap pengetahuannya. Adakah ini yang dikatakan ulama 'cap ayam'?
Imam Ahmad bin Hanbal pernah diajukan soalan memilih dua orang calon ketua pasukan perang. Orang pertama ialah orang yang kuat tetapi bergelumang dengan dosa dan orang kedua, taat agama tetapi lemah dalam memimpin pasukan.
Beliau menjawab memilih orang pertama. Imam Ahmad berhujah orang pertama dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya untuk kepentingan umat. Orang kedua pula ketaatannya hanya untuk dirinya sendiri sedangkan kelemahannya akan mendatangkan malapetaka bagi umat yang dipimpinnya.
Anda boleh menetapkan pertimbangan anda tapi ingatlah selalu sabda Nabi SAW: "Siapa yang mengangkat seorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum muslim."
Memilih pemimpin bukanlah perkara mudah. Dalam mana-mana sistem masyarakat, seseorang calon yang dianggap boleh menang mestilah lulus ujian peribadi, yakni hampir bersih daripada segala bentuk tabiat negatif. Seseorang calon yang "tidak bersih" dalam aspek moral akan berhadapan dengan potensi kalah besar. Pada pandangan pengundi, oleh kerana pemimpin itu merupakan orang yang diharapkan dapat menguruskan masyarakat dan menyelesaikan masalah rakyat, maka pemimpin yang tidak begitu bersih etikanya tidak akan diterima.
Pengundi akan melihat, jika pemimpin itu sudah mempunyai "track record" yang tidak baik, seperti tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat, maka potensi kalahnya besar. Kesan daripada itulah juga mungkin menyebabkan Perdana Menteri memperkenalkan konsep "winnable candidate".
Bagi seseorang yang menetapkan terlebih dahulu sasarannya untuk mendapat jawatan sebagai menteri atau Perdana Menteri, secara alaminya tidak akan dilihat sebagai berintegriti. Orang seperti ini sebenarnya membuat pilihan yang salah dalam perspektif kepimpinan, kerana ia sudah menentukan kedudukannya sendiri sebelum menang.
Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang mengejar jawatan. Perkara ini ditegaskan Nabi yang bersabda: Abu Said (Abdurrahman) bin Samurah r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bersabda kepada saya: wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau mencari-cari jawatan dalam pemerintah, kerana jika engkau diberi jawatan tanpa meminta, engkau akan dibantu oleh Allah untuk melaksanakannya, tetapi jika dapat jawatan itu kerana permintaanmu, maka akan diserahkan ke atas pundakmu atau kebijaksanaanmu sendiri. Dan apabila kau telah bersumpah untuk sesuatu kemudian ternyata jika kau lakukan perkara lainnya akan lebih baik, maka tebuslah sumpah itu dan kerjakan apa yang lebih baik daripada itu. (Bukhari, Muslim).
Seseorang pemimpin yang berkesan bukan sahaja hanya tahu mengutarakan sesuatu pandangan atau idea, tetapi wajar disusuli dengan tindakan bagi melaksanakannya. Jika ia hanya dalam idea dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan, pemimpin sedemikian pernah dipanggil sebagai "penyair kabur." Pemimpin ini, memang bijak bercakap dan mempunyai pandangan yang bernas dan menarik, tetapi belum cukup untuk menjadikan rakyat menikmati hasilnya.
Pemimpin "penyair kabur" hanya berselindung di sebalik kepetahan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu, yang umumnya terlalu bersifat retorik. Jika mereka merupakan golongan yang berpendidikan agama, maka kaedah penyelesaiannya adalah bersabar dan berdoa sahaja, sedangkan agama turut meminta agar manusia memikirkan kaedah mengatasinya.
Alasan kelompok penyair kabur adalah mudah, kerana tidak dilimpahi sumber kewangan maka tidak boleh dilaksanakan projek tertentu, sebaliknya, menuduh kekontangan idea itu sebagai satu bentuk penindasan. Mereka sebenarnya bukanlah seorang pemimpin yang kreatif dan inovatif, tetapi pemimpin yang hanya hidup dalam bayangan imaginasi.
Pemimpin yang mendahulukan rakyat, setiap gerak kerjanya mempunyai matlamat yang jelas dan tindakannya adalah praktikal. Setiap fikirannya sentiasa berkembang dan konsisten dengan langkah yang dikenalpasti boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat. Di tengah-tengah kesibukannya, pemimpin yang hebat ini sentiasa bertambah fikirannya dan mengeluarkan kaedah penyelesaian yang kreatif dan inovatif.
Pemimpin seperti ini akan dilihat membina prestasinya berdasarkan kekuatan hasil. Pemimpin sedemikian berpegang kepada amanah, kerana sentiasa menunaikan tanggungjawab dan tidak sanggup berjanji kalau janji itu hanyalah sekadar janji. Rakyat akan mempersoalkannya dan tiba waktunya rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji itu sebagai pembohong. Rakyat juga boleh mencampakkan pemimpin berkenaan ke negara kehidupan yang paling hina dan keji.
Kesimpulannya , pemimpin itu hendaklah sedar tentang kedudukannya sebagai khalifatullah fi'l-ardh, yang memegang amanah, yang didasari oleh iman, Islam dan ihsan; mempunyai akhlak yang baik, tentu disandarkan pada niat yang sentiasa baik, mencari keredaan Allah.
0 comments:
Post a Comment