DARIPADA 13.3 juta pengundi berdaftar terkini direkodkan, kita tidak tahu apa yang bermain di minda mereka sekarang.
Siapa yang akan dipangkah mereka di kertas undi pilihan raya umum ke-13 nanti?
Daripada keseluruhan pengundi, setakat ini kedudukan komposisi kaum pun masih menjadi rahsia. Ada mengatakan Melayu 40 peratus, Cina juga 40 peratus dan India 10 peratus, bakinya lain-lain.
Dan ada pula meletakkan komposisi 55 peratus Melayu, Cina (35 peratus), India 5 peratus dan selebihnya lain-lain - tetap masih belum terungkai.
Saya sendiri difahamkan, daftar pemilih terkini bagi suku keempat 2012 (31 Disember 2012) masih belum lagi disahkan. Dijadual, diwartakan minggu depan.
PRU-13 diibaratkan ibu segala pilihan raya. Di platform inilah yang tidak pernah terdetik oleh pembangkang selama ini dalam 12 pilihan raya terdahulu akan 'impian untuk berkuasa' - menjadikan PRU nanti penentu 'hidup mati' mereka dalam politik. Baik Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim sendiri, jika mereka 'lepas', maka bernafaslah pembangkang.
Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak tetap berwaspada. Beliau mahukan jenteranya bersiap sedia sepanjang masa.
Najib sedar minat rakyat untuk sama-sama terlibat dalam menentukan kerajaan pilihan mereka semakin meningkat. Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu mengambil risiko memperjudikan masa depan di tangan parti-parti yang belum terbukti diuji.
Saya difahamkan di Selangor sahaja, tambahan pemilih berdaftar untuk suku keempat tahun 2012 (antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2012) menyaksikan 34,378 pengundi baru. Sejumlah 9,402 yang lain bertukar alamat.
Selangor menyaksikan negeri yang memiliki pengundi yang bertambah secara drastik setiap tahun. Pada 2008, direkodkan 1.58 juta, 2009 (1.62 juta), 2010 (1.75 juta), 2011 (1.92 juta) dan terkini serta tertinggi dalam kalangan negeri, 2 juta orang. Hal ini tidak menghairankan kerana negeri itu tumpuan orang dari negeri lain untuk mencari rezeki, tempat menimba ilmu dan berniaga.
Juga, kesedaran mengundi warga Malaysia di luar negara dalam setahun dua ini cukup tinggi. Difahamkan, rekod mendaftar online mereka dalam borang 1B pengundi pos yang disediakan setakat 2 Februari lalu mencapai 1,138 orang. Dan semalam, ia meningkat kepada 1,600 orang - pertambahan kira-kira 100 orang sehari.
Dalam suasana demam pilihan raya umum ke-13 yang kian 'membahang' ini, saya turut difahamkan pelbagai kerenah aduan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada orang ramai.
Yang paling biasa tentulah berkisar pertukaran alamat dan kedudukan terkini saluran mengundi mereka.
Namun yang bukan sahaja luar biasa tetapi lebih pelik lagi - apabila sebilangannya mengadu kesempitan duit untuk pulang mengundi di kampung halaman.
Pagi Jumaat lalu, ibu pejabat SPR di Putrajaya menerima e-mel aduan daripada seorang pegawai kerajaan yang bertugas di Selangor.
Tetapi alamat mengundinya di Sabah. Masalahnya seperti yang disebut tadi, dia mengadu kurang 'bajet' nak balik mengundi. Hai! mentaliti sebegini pun ada dalam minda penjawat awam.
Sepatutnya, setiap rakyat Malaysia sedar akan hak dan tanggungjawabnya dalam proses pengundian. Ini kerana sistem pilihan raya negara ini berasaskan bahagian pilihan raya. Dan bukannya sentimen kenegerian. Kita mengundi untuk memilih wakil rakyat di bahagian pilihan raya itu. YB itulah yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada kita, pengundinya.
SPR bukannya 'bas', tempat meminta-minta untuk menyediakan 'duit' untuk bawa pulang orang mengundi.
Maka, jalan penyelesaian terbaik isu 'bajet ciput' ini adalah dengan membuat pertukaran alamat mengundi.
Dan kalau ditimbang-timbang, sebenarnya bukan soal 'bajet' untuk sukar balik mengundi di kampung. Semua ini bergantung kepada faktor sikap.
Sebenarnya bukan orang Kelantan, Sarawak atau Sabah (sekadar menyebut beberapa negeri) sahaja yang berdepan isu 'balik kampung mengundi' ini. Perkara sama dialami warga Malaysia yang bekerja di luar negara, Singapura, selatan Thai dan banyak negara. Tapi dalam soal ini, mereka tahu sediakan bajet sendiri untuk pulang kerana sedar akan tanggungjawab besar itu.
Dalam isu 'pengundi tukar alamat', penulis difahamkan, ada akta tertentu di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menguatkuasakan arahan tukar alamat tempat tinggal jika seseorang itu berpindah. Dikatakan dalam tempoh tiga bulan tinggal di kawasan baru, dia diwajibkan tukar alamat mengundi. Namun, ini belum dikuatkuasakan.
Tidak salah untuk kita menaruh harapan PRU-13 yang dikatakan paling getir dalam sejarah negara nanti berlangsung lancar dan aman. Semua pihak perlu menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Apabila selesai, rakyat jangan pula terlalu banyak disogokkan dengan retorik politik sehinggalah ketibaan PRU-14.
Amerika Syarikat boleh dijadikan contoh. Walaupun pilihan raya presiden tidak kurang sengitnya, kedua-dua parti yang bertanding kembali memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah ekonomi negara itu. Bukannya berpolitik sepanjang masa.
Apa sekali pun, bahang PRU-13 kian terasa. Memang semakin dekat dah.
Kit Siang beranggapan pengundi Sabah menjadi kuasa penentu (kingmakers) dalam PRU-13 yang akan menentukan siapakah yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Di satu pihak lagi, menguar-uarkan kuasa pengundi muda yang akan menjadi pengimbangnya. Tidak dilupakan - kuasa pengundi wanita yang mewakili separuh daripada 13.3 juta tadi.
Apa pun, bagi yang memohon bertukar alamat pada Januari dan bulan ini (Februari 2013) jangan pula berangan-angan nak turun mengundi jika PRU-13 berlangsung Mac ini.
Prosedur mendaftar sebagai pemilih dan tukar alamat sama sahaja tempohnya - perlukan 3 bulan untuk disahkan.
Jangan salahkan SPR pula. Salahkan diri sendiri. Yang boleh tersenyum hanyalah mereka yang berdaftar setakat 31 Disember 2012. Merekalah yang menjadikan kertas undi suatu 'kuasa'.
0 comments:
Post a Comment