Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 19, 2013

Ayah Busu Disanjung PM


Razikin Mahmud, 61, atau lebih dikenali sebagai Ayah Busu hanyalah seorang peserta Felcra sama seperti ribuan orang ramai yang menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Felcra Sri Makmur, dekat sini kelmarin.

Namun, majlis tersebut meninggalkan kenangan istimewa buat Razikin, yang hadir ke majlis tersebut biar pun berkerusi roda apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya merakamkan penghargaan secara khusus kepada beliau.

Perkara itu berikutan semangat Razikin menghadiri majlis tersebut walaupun dalam kekurangan fizikal sekali gus melahirkan tanda sokongan padu beliau kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah, Najib melahirkan rasa terharu dengan sokongan ditunjukkan Razikin yang berada di barisan hadapan khemah kedua apabila turut bersama-sama para peserta Felcra yang lain mengangkat sepanduk 'Kami Sayang PM'.

"Orang macam Ayah Busu ini saya kira kalau kena rendam dalam sungai 10 kali pun, dia akan kekal kata sokong BN," kata Najib sambil disambut tepukan gemuruh para tetamu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Razikin yang sudah 20 tahun menjadi peserta Felcra berkata, kehadirannya ke majlis itu sebagai menghargai jasa kerajaan BN membela nasib rakyat.

"Saya amat puas hati kerana bukan sahaja dapat melihat Perdana Menteri dari dekat bahkan berjaya mencuri perhatian beliau.

"Semangat ini adalah ikhlas kerana saya amat menghargai setiap sumbangan kerajaan," katanya.

0 comments:

share2