Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pemberian undi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan membawa kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan ke atas kaum tertentu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang berjuang untuk negara ini dan kemajuan orang Melayu serta kaum lain.
"Yakin dan percayalah satu undi untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat) bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.
"Satu undi untuk UMNO dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia," katanya.
Najib berkata, inilah masanya untuk ahli-ahli UMNO berada dalam barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada Pas, menentang pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.
"Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita gelap masa depan? Adakah mahu negara ini porak peranda? Adakah kita sanggup memperjudi masa depan negara?
Kalau semua jawapan tidak, katakan "tidak" pada PKR, katakan "tidak" kepada Pas dan katakan "tidak" kepada DAP," katanya.
Beliau juga meminta, ahli-ahli UMNO supaya membayangkan segala kesyukuran, kedamaian dan kebahagiaan yang dikecapi dan dinikmati serta yang akan terus dirasai hasil pemerintahan UMNO dan BN berbanding jika pembangkang yang memerintah.
"Bayangkan juga segala kehancuran, kemusnahan, kerosakan, porak peranda dan kebangsatan jika pilih pembangkang. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah, demi anak cucu kita, mesti setia kepada perjuangan UMNO.
"Yakinlah hanya UMNO yang mampu mempertahan kesucian agama Islam. Hanya UMNO yang mampu membela nasib bangsa Melayu dan kaum-kaum lain. Katakan dalam jiwa kita, hidup dan mati hanya untuk Islam. Wajib pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam," katanya.
0 comments:
Post a Comment