PERSETERUAN antara dua kelompok umat Islam di negara ini ternyata hanya merugikan kesemua pihak yang terlibat.
Apatah lagi terdapat satu pihak yang di sisi luaran kelihatan begitu faham dengan agama tetapi pada masa yang sama begitu mudah menjatuhkan hukum kafir malah sehingga ke satu tahap mendoakan kehancuran pihak yang satu lagi.
Sedangkan kedua-dua pihak ini adalah seagama dan sebangsa. Baru-baru ini berlangsung satu pertemuan bersama bekas Menteri Agama Indonesia, PROFESOR DR. MUHAMMAD QURAISH SHIHAB yang berlangsung di Jakarta.
Di kesempatan ini beliau ditanya tentang beberapa perkara yang berlaku di negara ini melibatkan isu dan permasalahan ummah.
Bagi beliau jelas Islam itu adalah satu agama yang mudah tetapi manusia sendiri yang membuatkan Islam itu kelihatan jumud kerana tindakan mereka yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum hanya kerana perbezaan ideologi politik.
SOALAN: Apakah orang Islam boleh dengan mudah menukar agama kerana ada yang menggunakan ayat al-Quran "la ikra ha fidin". Walhal ayat ini hanya sesuai digunakan kepada orang bukan Islam. Apa pandangan Prof?
MUHAMMAD QURAISH: Seseorang adalah bebas mahu memeluk Islam atau tidak namun jika mereka sudah memeluk Islam maka mereka harus memikul tanggungjawab. Namun masyarakat dan negara harus memelihara orang Islam yang ada supaya mereka tidak terganggu. Saya mempunyai anak dan saya boleh melarang beliau dari membuat sesuatu yang tidak baik. Namun kerana Internet mempunyai pelbagai laman sesawang yang tidak baik seperti laman lucah dan sebagainya, jadi apakah ini sesuatu yang boleh dilarang dengan mudah sedangkan ia bebas disiarkan di dalam Internet. Bagi sebuah kerajaan mereka perlu melarang perkara sebegini. Namun ini tidak bererti bahawa tindakan kerajaan melarang itu adalah untuk menghalang hak asasi manusia.
Tetapi ia perlu lebih tertumpu kepada memelihara masyarakat secara keseluruhan. Apatah lagi dalam perlembagaan sudah tercatat akan perkara ini tetapi jika terdapat kegiatan di luar yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat, kerajaan boleh bertindak menghalangnya dan mengambil tindakan. Saya tidak berkata demikian bagi menyokong pendirian saya. Bukanlah bermakna apabila seseorang muslim itu murtad maka dia perlu dibunuh. Ia tidaklah sampai begitu tetapi yang penting perlu ada pencegahan. Seperti merokok jika mahu merokok perlu dilakukan di luar kerana didalam rumah ia mengganggu saya. Begitu juga dengan idea atau fahaman yang tidak sesuai dengan sesuatu bangsa ia perlu dilarang.
Namun ada pihak yang mengatakan ia tidak salah atas alasan ada agama yang hampir dan ada persamaannya?
MUHAMMAD QURAISH: Jika kita tanya kepada seorang yang beragama Kristian, apakah anda mahu masuk Islam. Sudah tentu mereka tidak mahu dan begitu juga apabila ditanya soalan yang sama kepada seorang Islam, sudah tentu mereka tidak mahu. Ini kerana tidak semua agama adalah sama. Semua agama berusaha untuk membimbing umatnya bersesuaian dengan ajaran agama masing-masing yang mana terdapat antara agama tersebut beberapa persamaan dan perbezaan. Agama Islam dan Kristian terdapat perkara yang sama dari segi moralnya tetapi akidah kita tetap berbeza.
Oleh itu kenapa ada yang menyatakan soal ini banyak persamaan. Walhal soal terdapat persamaan dalam agama ini tidak diterima oleh mana-mana agama kecuali orang mereka yang mahu mengorbankan agamanya demi toleransi. Ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Ia adalah sama jika terdapat mereka yang mahu mengorbankan agama demi penyatuan dan ia tidak dibenarkan sama sekali. Dan kita juga tidak mahu mengorbankan penyatuan demi agama. Oleh itu yang terbaik adalah saya tidak mengganggu agama anda dan anda juga tidak perlu mengganggu agama saya.
Apa pandangan Profesor tentang parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi turut sama mengkafirkan orang lain?
MUHAMMAD QURAISH: Adalah sesuatu yang bukan mudah bagi kita mengkafirkan orang lain. Sesiapapun yang mengucapkan dua kalimah syahadah adalah seorang Islam walaupun dia tidak sembahyang. Pernah ada perbincangan antara Imam Syafie dan Imam Abu Haniffah.Imam Abu Haniffah berkata mereka yang tidak solat adalah kafir. Tetapi Imam Syafie berbeza pendapat menyatakan bahawa orang itu hanya berdosa. Imam Syafie berkata jika orang itu kafir, jadi bagaimana caranya supaya dia masuk Islam semula. Maka Imam Abu Haniffah berkata, dengan mengucap dua kalimah syahadah semula. Imam Syafie menjawab, bagus kerana orang ini tidak pernah lupa untuk mengucap dua kalimah syahadah. Oleh itu jika seseorang masih mengucap dua kalimah syahadah walaupun bergelumang dengan dosa, dia masih tetap seorang muslim. Jika dia mati adalah wajib dia disolatkan.
Yang kedua, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang kafir kerana sebagai contoh jika kita mengatakan si A salah sedangkan di di pihak yang benar adalah lebih buruk dari menuduh seseorang itu betul sedangkan dia di pihak yang salah. Jadi pada saya jika benar seseorang itu kafir janganlah cepat kita menudung dia kafir. Jangan sampai ada sisi dalam kehidupannya yang menjadikannya wajar dikatakan sebagai kafir. Itu sebabnya Imam Ghazali ada berkata kalau ada seseorang yang jelas bertindak sebagai kafir sehingga 99 peratus dari 100 peratus, cuma tinggal satu peratus dalam dirinya yang masih mungkin belum pasti dia masih Islam atau tidak, jangan menjatuhkan dirinya sebagai kafir. Ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa, " Jika ada orang yang mengkafirkan orang lain walhal orang itu tidak kafir maka orang yang menuduh itulah yang kafir,". Oleh itu janganlah begitu mudah untuk mengkafirkan orang lain.
Bagaimana jika parti Islam itu mendoakan kehancuran sesama Islam hanya kerana perbezaan ideologi politik?
MUHAMMAD QURAISH: Pada saya secara prinsipnya, kita melihat Nabi Muhammad SAW lebih banyak mendoakan orang lain supaya mendapat hidayah. Islam memang begitu ajarannya dan saya teringat satu sejarah apabila Nabi Muhammad SAW ditanya, bila kamu pernah mengalami gangguan yang paling teruk dalam hidup. Jawab Nabi Muhammad SAW, sewaktu saya berada di Taif dan itu adalah gangguan paling teruk pernah berlaku. Ketika Nabi Muhammad SAW berada di sana terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Malaikat Jibril turun berjumpanya.
Malaikat Jibril bertanya, Wahai Nabi Muhammad SAW, apakah kamu mahu saya menghancurkan mereka. Nabi Muhammad SAW tidak pula mendoakan kehancuran mereka malah menyatakan jika mereka tidak beriman saya harap anak cucu mereka akan beriman kepada Allah. Jadi adalah jelas, janganlah kita mendoakan seseorang itu hanya kerana mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik. Kita perlu mencontohi Nabi Muhammad SAW yang mendoakan mereka diberi hidayah. Saya fikir mendoakan kehancuran sesuatu bangsa ini sebenarnya tidak benar kecuali pihak tersebut benar-benar sudah berlaku kejam dan zalim.
Apa nasihat ustaz kepada mereka yang mendoakan kehancuran orang lain?
MUHAMMAD QURAISH: Pada saya yang pertama pihak ini perlu lebih banyak belajar tentang Islam. Kita tidak mahu sesama Islam saling mengkafirkan antara satu sama lain. Bagi saya ajaran al-Quran dan sunah itu mempunyai pelbagai interpretasi. Mungkin interpretasi saya benar atau mungkin juga interpretasi anda yang benar. Sebaiknya adalah lebih bagus jika semua pihak berusaha bersama mencari kebenaran daripada hanya satu pihak saja yang mendakwa dirinya sahaja yang benar.Inilah yang diajar oleh ulama-ulama muktabar supaya semua pihak mencari kebenaran daripada hanya menuduh pihak ini salah dan pihak itu kafir. Oleh itu kita harus kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah serta harus tahu bahawa hampir semua ketetapan hukum adalah bersifat kemungkinan.
Yang pasti dalam hukum agama adalah sangat sedikit sekali yang tepat kerana kebanyakan ketetapan itu hanyalah interpretasi. Adalah lebih baik jika kita mendekati musuh kita dengan ajaran yang baik seperti menunjukkan akhlak yang baik. Jika kita begitu mudah menjatuhkan hukum kafir kepada orang lain bermakna sudah tercipta penghalang antara dua kumpulan orang Islam. Kita perlu mendekati musuh kita bukannya menjauhi apatah lagi mengkafirkan mereka. Malah adalah perlu kedua-dua pihak berbincang menyelesaikan masalah secara bersama dan pada masa setiap permasalahan yang timbul yang menjadi punca perseteruan harus di bincang dan diselesaikan dengan baik.
Malaysia mengamalkan pemerintahan berkonsepkan Islam tetapi dituduh kafir kerana tidak melaksanakan hukum hudud. Apa pandangan Profesor?
MUHAMMAD QURAISH: Sebenarnya kita perlu persiapkan diri terlebih dahulu sebelum melaksana atau menegakkan hukum syariah. Masyarakat harus bersedia tentang itu. Sebelum ini ada seorang pemimpin tertinggi Universiti Al Azhar yang berkunjung ke sini pernah diajukan soalan apakah Mesir sebuah negara Islam atau tidak. Beliau menjawab Mesir adalah sebuah Negara Islam tetapi beliau ditanya kembali, kenapa Mesir tidak melaksanakan hukum hudud. Jawapannya, masyarakat Mesir belum bersedia untuk menerima hukum hudud. Sekarang di Mesir yang berkuasa adalah Ikhwanul Muslimin tetapi mereka juga belum melaksanakan hukum hudud. Malah seorang pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin, Hassan Al Bana pernah berkata, jika kita berkuasa nanti kami tidak akan serta merta memotong tangan pencuri, dan merejam mereka yang berzina kerana masyarakat (Mesir) masih belum bersedia, dalam keadaan rosak dan ekonomi pula masih lemah. Keadaan ini sudah tentu sukar kerana mungkin mereka menjadi pencuri kerana miskin. Masyarakat juga masih rosak kerana terdedah dengan pelbagai filem yang tidak elok. Oleh itu masyarakat perlu dipersiapkan.
Para ulama sepakat supaya menangguhkan hukum hudud kalau ada kemaslahatan ummah. Pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu terdapat seorang wanita yang mengaku berzina dan berjumpa Rasulullah tetapi beliau menyuruh wanita itu balik dan tunggu selepas bersalin. Apabila sudah bersalin wanita tersebut datang berjumpa Rasulullah bersama anaknya. Beliau mengarahkan wanita itu balik dan perlu tunggu sehingga anaknya mampu makan sendiri. Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri menunggu sehingga wanita dan anaknya bersedia. Oleh itu kita perlu menilai beberapa perkara. Pertama apakah hukum hudud itu sudah boleh dilaksanakan atau tidak. Kedua apakah pelaksanaan hukum hudud itu seperti yang difahami hanya satu mazhab sahaja atau semua mazhab bersetuju dengan hukum hudud yang mahu dilaksanakan.
Sebagai contoh Imam Malik mengatakan bahawa seorang perompak perlu dimasukkan di dalam penjara. Timbul pertanyaan jika sesebuah negara memasukkan perompak ke dalam penjara apakah negara itu mengamalkan hukum hudud. Jawapannya, memang benar negara itu mengamalkan hukum hudud berlandaskan ketetapan Imam Malik tetapi bukan Imam Syafie. Sebenarnya penafsiran hukum agama itu adalah luas dan berbeza. Oleh itu sesebuah kerajaan itu harus melihat apa yang paling sesuai untuk dilaksanakan selagi ia tidak bertentangan dengan tuntutan agama. Itulah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW yang tidak serta merta mengamalkan sesuatu hukum. Jadi adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak menjatuhkan hukum seseorang itu kafir dengan mudah apatah lagi mendoakan kehancuran umat Islam lain. Kita jangan berfikiran terlalu sempit hanya melihat dari satu sudut sahaja kerana ajaran agama Islam ini luas dan memudahkan.
0 comments:
Post a Comment