Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 26, 2012

Pemaju Hartanah Dipelawa Bina Rumah PR1MA

Kerajaan negeri mempelawa pemaju hartanah berwibawa melaksanakan projek perumahan mampu milik seperti mana konsep Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi mengatasi masalah perumahan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, untuk itu pihaknya bersedia menawarkan tanah secara percuma kepada mana-mana pemaju yang mampu membangunkan projek tersebut bagi membolehkan lebih ramai penduduk berpendapatan rendah dan golongan muda memiliki rumah.

"Kerajaan negeri juga akan menanggung kos infrastruktur asas dengan syarat rumah yang dibina itu berharga antara RM70,000 hingga RM150,000 serta margin keuntungan dalam 30 peratus sahaja kepada pemaju.

"Bagi pemaju yang berminat, mereka boleh mengemukakan kertas cadangan projek dan rekod kejayaan syarikat supaya projek ini mencapai matlamat seperti mana dirancang," katanya selepas merasmikan Majlis Gerak Mesra Peti Undi Kampung Lebu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut di Dewan Orang Ramai Kampung Lebu, baru baru ini.

Menurut Adnan, kerajaan negeri tidak meletakkan sebarang sasaran bagi pembinaan rumah tersebut, sebaliknya akan berusaha membina seberapa banyak rumah mampu milik di seluruh daerah supaya rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

"Mengikut rancangan, rumah yang dibina itu sangat selesa untuk keluarga yang mempunyai tiga bilik tidur, dua tandas, ruang dapur dan ruang tamu.

"Kita akan beri keutamaan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah dan dijangka projek ini akan dimulakan di Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands pada tahun depan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain Adnan berkata, sewa tertunggak Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang tidak dijelaskan penghuni sehingga kini meningkat kepada RM20 juta.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang mempunyai hutang tertunggak itu supaya menjelaskannya bagi membolehkan kerajaan dapat melaksanakan projek lain.

Mengenai pemilikan tanah di daerah ini, beliau memberi jaminan hanya mereka yang layak akan diberi keutamaan diluluskan permohonan.

"Ada permohonan di lokasi tertentu berlapis dengan individu lain sedangkan kawasan itu sudah ada pemilik asal sebelum tahun 1926 lagi," ujarnya.

0 comments:

share2