Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 24, 2012

Imej Rela Dipertahankan


Anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) diminta mempertahankan imej pasukan beruniform itu dengan menjalankan tugas secara penuh integriti bagi mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap mereka.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berkata, selain itu anggota Rela perlu berada di belakang kerajaan pada setiap masa dalam mempertahankan keamanan dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu bertindak mencalar imej negara.

"Bagi kerajaan pula, kita sentiasa menghargai peranan serta sumbangan anggota Rela walaupun hanya sebagai sebuah pasukan sukarela.

"Ini termasuk langkah menstruktur semula Rela sebagai sebuah jabatan dan menaikkan elaun tugas yang merupakan tindakan tepat untuk mengangkat imej Rela," katanya selepas melancarkan Program Rela Bersama Komuniti.

Dalam majlis berkenaan, Mohamad Shahrum memeriksa perbarisan seramai 100 orang anggota Rela dan melancarkan Tabung Gaza untuk membantu penduduk Palestin yang ditindas oleh kekejaman Israel.

Menurut beliau, usaha menambah baik organisasi akan memberikan keyakinan kepada masyarakat mengenai peranan Rela selaras transformasi kerajaan untuk membolehkan pasukan itu muncul sebagai organisasi tersusun, berintegriti serta 'berwajah' 1Malaysia.

"Bagi membalas kepercayaan itu, anggota Rela perlu sentiasa menjaga imej serta tingkah laku mereka ketika menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang tanggapan negatif," ujarnya.

Anggota Rela katanya, akan bersedia untuk mengikuti sebarang latihan serta kursus bagi meningkatkan lagi pengetahuan dalam menjalankan tugas-tugas masing-masing.

Terdahulu, Mohamad Shahrum yang juga Brigedier Jeneral (Kehormat) Rela meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah baik kemudahan lojistik iaitu pejabat dan menyediakan trak yang digunakan untuk memunggah para anggota semasa bertugas dan menjalani latihan mingguan.

"Kekurangan kemudahan ini agak ketara di kawasan bandar dan pekan sehingga kadang-kadang mengganggu keselesaan anggota bertugas berbanding pasukan beruniform sukarela lain yang lengkap dan selesa dengan pelbagai kemudahan," ujarnya.

0 comments:

share2