Seramai 3,052 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Pahang mendapat semua A iaitu 5A dan 7A.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.30 peratus berbanding 2,977 tahun lalu iaitu bertambah seramai 52 murid.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail berkata,
pencapaian tahun ini secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dalam
setiap aspek.
Menurutnya, sebanyak 30 sekolah mencapai seratus peratus Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP).
“Peningkatan MSMP UPSR tahun ini sebanyak 288 sekolah melibatkan 230
sekolah kebangsaan, 44 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 14
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Manakala pencapaian minimum sekurang-kurangnya gred C adalah sebanyak
19,152 atau 71.57 peratus,” katanya pada sidang media kepada pemberita
sempena Pengumuman Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012 Negeri
Pahang, di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Hashim Mohd Zayat dan Guru Besar SK Permatang Badak, Endun Sumin.
Rosdi berkata, prestasi sekolah kurang murid di negeri ini juga
menunjukkan pencapaian membanggakan apabila 195 sekolah mencatatkan
keputusan cemerlang antaranya SK Teh, Jerantut dan SK Raub Indah.
Selain itu katanya, pencapaian calon sekolah di Felda juga tidak terkecuali dan seramai 452 calon mendapat 5A.
“Kita juga berbangga dengan prestasi sekolah Orang Asli iaitu SK Chini,
Pekan yang berjaya mengekalkan pencapaian seratus peratus tiga tahun
berturut-turut,” katanya.
Rosdi berkata, SK Permatang Badak menjadi sekolah paling ramai calon
mendapat 5A di negeri ini iaitu seramai 44 calon daripada 190 calon yang
menduduki UPSR tahun ini.
0 comments:
Post a Comment