Seramai 115 peneroka di Felda Wilayah Jengka tidak layak menerima durian
runtuh kerana mereka bukan lagi pemegang hak milik asal tanah Felda.
Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, peneroka itu
telah menggadaikan tanah mereka kepada pihak lain, justeru pemegang
tanah kini, mahupun pemilik asal, kedua-duanya tidak layak menerima
durian runtuh.
“Perkara ini juga melibatkan anak peneroka terbabit. Mereka juga tidak
layak untuk menerima durian runtuh ini dan tidak berhak menuntut habuan
ini,” katanya ketika merasmikan Program Sukan Warga Felda Wilayah Jengka
di Mini Stadium, di sini.
Katanya, anak peneroka ganti juga tidak layak menerima durian runtuh tersebut kerana mereka bukan lagi generasi kedua Felda.
“Peneroka ganti bukan generasi kedua kerana dia mengambil alih tanah daripada peneroka generasi pertama.
“Bagi peneroka ganti ini, mereka perlu mengagihkan habuan tersebut
dengan adik-beradiknya yang merupakan generasi kedua Felda,” katanya.
Kata Saari, Felda Wilayah Jengka sudah mula membuat pembayaran cek
durian runtuh fasa ketiga bermula 16 November lalu dan penyerahan
tersebut dijangka selesai dalam minggu ini.
Dalam pada itu, Adun Jengka, Wan Salman Wan Ismail yang hadir merasikan
program sama pula berkata, generasi kedua dinasihatkan agar tidak
tergesa-gesa menunaikan cek durian runtuh yang diterima.
“Biasanya cek yang diberikan mempunyai tempoh selama tiga bulan untuk ditunaikan di bank berdekatan.
“Dengan tempoh yang diberikan, saya rasa tidak perlu penerima tergesa-gesa untuk menunaikan cek terbabit,” katanya.
0 comments:
Post a Comment