Negeri Pahang terus menjadi destinasi pelaburan asing dengan kemasukan
pelabur terbaru dari Amerika Syarikat yang berminat membina kilang
berasaskan sisa buangan dari industri minyak dan gas di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengesahkan perkara itu
berkata beliau baru mendengar taklimat dan cadangan daripada pelabur
berkenaan yang dilihat berminat membangunkan industri dari 'fiber
material' yang hasilnya kelak mempunyai ketahanan 10 kali ganda dari
besi.
"Industri 'fiber material' ini dilihat sesuai dimajukan di Pahang atau
di negara ini berikutan kita mempunyai industri petrokimia yang menjadi
bahan asas kepada bahan gentian ini.
"Bagaimanapun nilai pelaburan masih lagi di peringkat perbincangan dan
pelabur akan kembali ke Kuantan dalam masa terdekat untuk perbincangan
lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berangkat menghadiri sambutan Maal Hijrah
1434 peringkat negeri, di sini hari ini.
Adnan berkata jika syarikat berkenaan bersetuju untuk melabur di
Pahang, mereka merupakan pelabur pertama dalam industri tersebut di
negara ini sekaligus akan melonjakkan ekonomi negeri Pahang. - Bernama
0 comments:
Post a Comment