Pages

Friday, November 16, 2012

Kemasukan Pelaburan Asing Bukti Pahang Maju Dibawah BN

Negeri Pahang terus menjadi destinasi pelaburan asing dengan kemasukan pelabur terbaru dari Amerika Syarikat yang berminat membina kilang berasaskan sisa buangan dari industri minyak dan gas di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengesahkan perkara itu berkata beliau baru mendengar taklimat dan cadangan daripada pelabur berkenaan yang dilihat berminat membangunkan industri dari 'fiber material' yang hasilnya kelak mempunyai ketahanan 10 kali ganda dari besi.

"Industri 'fiber material' ini dilihat sesuai dimajukan di Pahang atau di negara ini berikutan kita mempunyai industri petrokimia yang menjadi bahan asas kepada bahan gentian ini.

"Bagaimanapun nilai pelaburan masih lagi di peringkat perbincangan dan pelabur akan kembali ke Kuantan dalam masa terdekat untuk perbincangan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berangkat menghadiri sambutan Maal Hijrah 1434 peringkat negeri, di sini hari ini.

Adnan berkata jika syarikat berkenaan bersetuju untuk melabur di Pahang, mereka merupakan pelabur pertama dalam industri tersebut di negara ini sekaligus akan melonjakkan ekonomi negeri Pahang. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor