Pages
▼
Wednesday, November 14, 2012
UMNO Mempunyai Acuan Tersendiri
UTUSAN: Perhimpunan Agung UMNO kali ini dianggap penting, terutama bagi menghadapi PRU-13, persoalannya sejauh manakah kesedaran ahli-ahli UMNO dalam soal ini?
HISHAMMUDDIN: Saya lihat kesedaran itu telah wujud, apa yang berlaku dalam pilihan raya lalu ada hikmahnya, kalau tidak, dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO mereka bersikap business as usual (urusan seperti biasa), tidak ada kesedaran, kesungguhan atau usaha untuk melakukan muhasabah diri.
Bagaimanapun dalam tempoh tiga tahun ini, saya lihat bukan sahaja, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi juga kepimpinan UMNO itu sendiri telah bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan kelangsungan kepimpinan parti kita, mungkin untuk 50 tahun akan datang.
Apa pun, apabila kita berdepan pilihan raya umum, UMNO jangan dilihat seperti tidak buat sesuatu atau tiada perubahan. Saya akui, perubahan itu dilakukan tetapi cuma saya bimbang sama ada ia mencukupi atau tidak. Untuk memastikan kemenangan parti, ia banyak bergantung sama ada ahli mempunyai kesedaran atau tidak.
Pertamanya, kita perlu bersatu, kalau tidak bersatu jangan harap hendak berdepan rakyat Malaysia dalam PRU-13 nanti yang sebahagian besarnya bukan ahli UMNO. Keduanya, UMNO perlu sensitif kepada kehendak, tuntutan, cita rasa rakyat khususnya orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia.
Menyentuh mengenai pilihan raya, selalu tafsiran yang wujud pembangkang tidak kuat dan yang buat kerja adalah UMNO tetapi bila pilihan raya, UMNO kalah kerana masalah dalaman, bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini?
Penyelesaiannya memerlukan kehendak politik melebihi kepentingan diri. Adakalanya kita terbawa-bawa sentimen peribadi, bahagian dan kenegerian sehingga kita lupa siapa sebenarnya musuh kita dalam politik. Ini akhirnya bukan sahaja melemahkan parti tetapi memberi persepsi seolah-olah pembangkang kuat. Apa yang penting, menjelang perhimpunan agung yang terakhir sebelum pilihan raya ini, UMNO kena tunjuk bahawa kita bersatu. Sayap-sayap parti kena tunjuk bahawa mereka telah merapatkan barisan dan meletakkan survival parti itu sebagai tunjang serta keutamaan.
Di peringkat bahagian, kita perlu tunjuk keberanian kepada orang ramai bahawa apa juga tuduhan terhadap pucuk pimpinan parti sama ada kepada Presiden, timbalan presiden atau naib-naib presiden, itu tidak menjejaskan kesatuan sesama kita dan sokongan padu ahli UMNO kepada kepimpinan. Kita bukannya hendak mengagungkan pemimpin tetapi untuk memastikan institusi parti itu dapat dipertahankan untuk melakukan lebih banyak lagi perubahan yang dapat menarik orang ramai untuk bersama-sama UMNO dan sekali gus memperkukuhkan BN.
Dalam soal ini saya hendak mengimbas kembali kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Julai 1976 yang antara lain beliau berkata, UMNO tidak wujud untuk pemimpinnya. Semua pemimpin adalah sementara. Mereka akan pergi dan akan diganti oleh pemimpin yang baru. Tetapi pemimpin dan kepimpinan adalah penting bagi pertubuhan. Sementara pemimpin tidak perlu dipertahankan semata-mata kerana ia pemimpin, ia juga tidak harus dilemahkan dengan sengaja. Tidak ada kebaikan dari kepimpinan yang lemah seperti mana tidak ada manfaat dari pertubuhan yang lemah".
Bagi saya, ini adalah satu kenyataan yang tepat kerana kalau kita tengok kepimpinan di semua peringkat tindakan melemahkan kepimpinan semata-mata hendak melemahkannya, tidak akan membantu pertubuhan atau parti kita. Begitu juga apabila kita hendak melemahkan seseorang pemimpin semata-mata mahu melemahkannya, itu tidak membawa manfaat kepada parti. Apa yang akan berlaku ialah bukan sahaja parti menjadi lemah, pembangkang menjadi kuat, pemimpin yang kita cuba nak pertahankan itu sendiri tidak ke mana termasuk dirinya sendiri sebagai ahli parti.
Sebab itu, dalam soal menguruskan kepimpinan ini, kita perlu belajar daripada apa yang berlaku di luar negara. Di Amerika Syarikat (AS), mereka bercakap pasal demokrasi tetapi Barack Obama menang dengan belanja AS$6 bilion, saya tidak boleh bayangkan wang jumlah sebanyak itu dalam ringgit Malaysia lebih lagi keadaan ekonomi AS yang tenat. Dalam keadaan macam itu, lapan bulan tiada kerja lain tetapi berpolitik sahaja. Itu pun undi popular lebih satu peratus sahaja daripada pencabarnya, itukah demokrasi yang kita hendak amalkan di sini?
China dalam konteks perubahan kepimpinan sekali dalam 10 tahun, orang pun tidak tahu latar belakang (pemimpinnya). Adakah itu cara kita hendak ikut.
Sebab itu kita dalam UMNO kena cari acuan kita sendiri dalam memperkukuhkan parti. Insya-Allah, saya cukup yakin, dalam sejarah, apabila kita diuji, pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa diberikan kekuatan untuk bangkit membuat apa yang berani.
Pada perhimpunan agung yang lalu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengetuai bacaan ikrar atau baiah untuk menyatakan sokongan kepada sesiapa juga yang dipilih sebagai calon, adakah Datuk Seri yakin baiah itu masih diingati bagi mengelakkan perbuatan sabotaj?
Saya hendak ingatkan dalam keadaan parti berhadapan dengan cabaran cukup getir ini, ahli-ahli parti yang membuat tindakan mensabotaj parti, bukan sahaja memungkiri baiah dan ikrar kepada pucuk pimpinan tetapi masa depan mereka sendiri dalam UMNO, akan dikaji dan diteliti.
Mereka sudah berbaiah untuk menyokong sesiapa sahaja menjadi calon, oleh itu kalau mereka mungkir, saya percaya mereka terpaksa berdepan dengan risiko dan juga anggapan daripada penilaian pucuk pimpinan kepada setiap individu yang berkenaan. Pilihan raya akan datang bukan satu ujian yang kita ambil mudah, ia merupakan penentu survival parti.
Oleh itu jika seseorang pemimpin tersebut sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri melakukan perkara yang bercanggah dengan kepentingan parti, apatah lagi setelah mereka berikrar dan bersumpah, tanggunglah sendiri akibatnya. Tetapi yang penting kita hendak memenangkan parti, kita kena pilih calon diterima rakyat.
Sebagai Naib Presiden UMNO, bagaimana Datuk Seri melihat penerimaan pengundi generasi muda. Setakat ini, adakah sayap-sayap UMNO terutamanya Pemuda dan Puteri memainkan peranan betul dan berkesan di kalangan generasi muda?
Kalau kita tengok pecahan undi Obama, kemenangan besar Obama bersandarkan kepada sokongan orang muda. Saya berpendapat Perdana Menteri pun berada dalam keadaan sama tetapi kita bukannya Pilihan Raya Presiden.
Semua itu bergantung kepada sama ada parti kita dapat berubah atau tidak. Kita tidak boleh meletakkan amanah dan tanggungjawab ini kepada bahu sayap-sayap Pemuda dan Puteri sahaja kerana kalau kita tengok penerimaan golongan muda, mereka tidak tengok umur pun. Macam Obama pun bukan seorang pemimpin yang muda, bukan seorang pemimpin sayap tetapi beliau menjadi pilihan kerana visinya, inilah yang perlu kita sesuaikan.
Dan pendekatan kepimpinan Datuk Seri Najib perlu disahut oleh setiap lapisan parti, bukan sahaja kepada sayap-sayap parti tetapi dalam erti kata sebenarnya, UMNO perlu inklusif. Sebab itu, saya kata ada dua prasyarat dalam UMNO menghadapi pilihan raya umum.
Pertama, kita perlu bersatu dan kedua, kita kena mendengar, menjiwai, merasai, menghargai cita rasa dan suara rakyat termasuk juga anak muda. Setakat ini, Alhamdulillah saya tengok sokongan itu sudah ada di terima.
Tetapi sama ada ia dapat diterjemahkan kepada penglibatan mereka dalam parti, itu belum saya nampak.
Bagaimanapun dalam tempoh dua tahun setengah ini, mereka sokongan itu semakin bertambah berikutan perubahan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Kalau mereka mahu lebih banyak pendekatan dan perubahan itu, maka sokonglah UMNO dan BN kerana kita berjanji akan melakukan lebih banyak daripada apa yang dilaksanakan sekarang dan menunaikan apa yang dijanjikan setakat kita mampu.
Apakah ketika ini politik berasaskan persepsi masih lagi menjadi pilihan pembangkang seperti mana mereka lakukan pada pilihan raya umum lalu?
Pakatan pembangkang sehingga hari ini terus mengamalkan politik persepsi bersandarkan kepada suntikan nilai kebencian dan perpecahan.
Dalam konteks PRU-13, tidak mustahil serangan peribadi terhadap pemimpin kita dan tuduhan-tuduhan melulu (akan dibuat) kepada parti kita. Cara politik ini saya tengok jijik. Bagaimanapun, ia menunjukkan mereka sanggup menggadaikan kedudukan dan maruah bangsa serta agama sendiri.
Dalam konteks itu, mereka sanggup melakukan perkara yang selama ini orang Melayu tidak tergamak lakukan. Semua itu mereka lakukan bagi mencetuskan polemik dan menghantui kita, itu template yang sama.
Cuma kelebihan kita hari ini, kita sudah kaji dan teliti dan orang ramai di luar sana nampak apa mereka sanggup lakukan. Apa yang boleh kita lakukan adalah berusaha memberikan penjelasan termasuk menggunakan media baru. Media sosial dahulu merupakan lautan biru yang dimonopoli (sebelah pihak sahaja), pihak pembangkang boleh kata apa saja tanpa dijawab dan dipercayai pula bulat-bulat.
Tetapi orang ramai sudah banyak berubah sejak PRU-12. Mereka semakin sedar mengenai politik kebencian dan perpecahan yang dimainkan oleh pembangkang.
Walaupun tindakan politik seumpama ini dilihat tidak matang, adakah ia akan berterusan sehingga pilihan raya umum nanti?
Saya percaya akan lebih teruk dan saya pun tidak terkecuali. Ini merupakan perkembangan yang saya tidak minat. Saya percaya bahawa UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab tidak perlu tunduk dan ikut rentak mereka kerana yang buat ini segelintir sahaja. Saya tengok dalam Twitter, mereka sengaja provoke macam-macam tapi saya diberi semangat sebab majoriti akan jawab balik. Jangan ikut rentak minoriti segelintir mereka ini yang kadang-kadang sengaja dilakukan. Apabila majoriti senyap di luar sana melihat perkara ini, mereka pasti berpendapat tindakan pembangkang itu tidak selari dengan kehendak sebuah demokrasi yang matang.
Sebab itu, UMNO tidak boleh mengikut rentak mereka kerana kalau ia menjadi amalan saya bimbang politik masa depan akan menjadi lebih teruk.
Bagaimanakah kita hendak memastikan kumpulan majoriti senyap menyokong UMNO?
Dengan menunjukkan kita inklusif. UMNO dahulu agak jauh untuk meyakinkan golongan muda dan kaum lain. Kita diserang dengan serangan peribadi dan terhadap persepsi UMNO itu sendiri. Tetapi sekarang, Alhamdulillah. Kita tengok mereka (pembangkang) tidak dapat tunjukkan DAP boleh bekerjasama dengan Pas.
Pas dahulu mengkafirkan UMNO sebab bekerjasama dengan MCA tetapi sekarang ini apa yang dikatakan Nurul Izzah lagi teruk. Dengan label yang telah dilemparkan terhadap pemimpin-pemimpin kita, adakah kita sudah lupa? Tetapi apa mereka buat sekarang lagi teruk. Tuduhan terhadap kita itu pun bukan benar. Mereka tamak dan rakus, kerana hendak jawatan macam-macam mereka sanggup ketepikan. Tetapi rakyat di luar sana bukan bodoh.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, bagaimanakah Datuk Seri melihat campur tangan asing dalam usaha menamatkan kepimpinan UMNO dan BN di negara ini?
Dengan apa yang berlaku di beberapa buah negara kebelakangan ini, saya berpendapat tidak mustahil pihak tertentu juga melihat Malaysia sebagai padang permainan mereka. Kita lihat banyak kepimpinan di Asia Barat dijatuhkan tetapi apa yang rakyat mereka dapat?
Di Mesir, contoh media barat mengatakan demonstrasi di negara itu adalah demonstrasi sebenar tetapi apakah ia menyelesaikan masalah? Begitu juga di Libya, demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di-hijack segelintir militan sehingga Duta Amerika terbunuh.
Sebab itulah kita harus bijak mengimbangi hak dan suara dan juga kepentingan individu itu dengan kepentingan keselamatan ramai. Jangan kita terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh rakyat di negara lain.
Kalau Dataran Merdeka hari itu dapat dirampas, tidak mustahil mereka masih di Dataran Merdeka hari ini. Seperti Dataran Tahrir di Mesir, sampai sekarang dilihat tempat orang berkumpul dengan apa juga masalah yang tidak puas hati. Malah, sehingga hari ini, ada sahaja pembunuhan di Mesir dan masalah ekonomi tidak terkawal.
Kita hendak buat transformasi tapi kena ikut rentak. Jangan jejaskan rancangan yang lebih besar.
Di sinilah saya lihat kebijaksanaan kepimpinan kita, walaupun ia memerlukan ketabahan dan kesabaran tinggi terutamanya berhadapan politik kebencian. Contohnya insiden pijak gambar Perdana Menteri, orang ramai marah tetapi saya sebagai sepupu Perdana Menteri pasti lagi marah.
Tetapi kalau kita tangkap dan gari dalam keadaan orang tidak faham apa keadaan sebenarnya dan dihebohkan oleh media sosial dalam sekelip mata akan dipusing kononnya salah guna kuasa, diktator dan sebagainya.
Tetapi kita sabar dua, tiga hari, dan bila orang tengok keadaan apabila ditangkap orang yang terlibat, satu negara rasa apa kita buat adalah tepat. Dalam tempoh dua, tiga hari sebelum tindakan diambil saya kena terima bahangnya.
Ia tidak bermakna saya tidak marah, ia tidak bermakna saya tidak berkuasa tetapi kebijaksanaan dalam memimpin merupakan aspek kepimpinan UMNO yang selalu meletakkan kepentingan lebih besar dari kepentingan diri. Itu membezakan kita dengan mereka yang sanggup melihat matlamat menghalalkan cara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor