Pages

Tuesday, November 13, 2012

Pesta Cahaya Sinari Perpaduan Kaum


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya bagi masyarakat India, menerangi segala kegelapan yang menghalang kepada perpaduan di antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang harmoni atas dasar toleransi yang sememangnya amat penting dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia.

Katanya, sempena sambutan yang diraikan bukan sahaja oleh penduduk berketurunan India malah rakyat berbilang kaum di negara ini, beliau mengajak rakyat untuk sama-sama bersatu hati mengorak langkah membina negara Malaysia yang aman sentosa dan membangun dengan cemerlang.

"Sambutan Deepavali yang merupakan cuti umum dan jatuh semasa cuti sekolah tentulah peluang terbaik untuk kita saling kunjung mengunjungi dan menghargai sumbangan masyarakat India dalam membangunkan Malaysia," katanya dalam perutusan Deepavali, hari ini.

"Semoga sambutan tahun ini memberikan cahaya kepada kaum India di negara ini untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan berpanjangan. Kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor