BERDOALAH kepada Allah kerana berjuta manfaat yang boleh kita dapatkan daripada sebuah doa. Makna doa menurut Imam al Khattabi ialah permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba daripada Tuhannya dan hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya termeterai pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya. (lihat Sya'n ad Dua')
Dari sudut psikologi, orang yang selalu berdoa bukanlah menggambarkan orang tersebut tidak memiliki keyakinan diri atau orang yang tidak mahu berdoa adalah orang yang tinggi keyakinan diri dan independent sebab para Nabi dan Rasul selalu berdoa kepada Allah Taala. Ketika Nabi Muhammad SAW dihalau dari Thaif oleh lemparan batu-batu sehingga darah mengalir menitik ke tanah, maka Nabi bersandar pada pohon kurma lalu berdoa agar penduduk Thaif akan menerima hidayah.
Apa yang Nabi Muhammad SAW lakukan dan seluruh para utusan Allah telah lakukan, iaitu selalu berdoa kepada Pencipta, kerana Allah Taala menyuruh manusia untuk selalu berdoa dan orang yang enggan berdoa dikatakan sebagai menyombong diri kepada Sang Pencipta. Allah Taala telah berfirman:
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina." (surah al-Ghaafir : 60)
Ibadah dan taqarub kepada Allah
Doa juga adalah ibadah serta lambang 'taqarub' iaitu amalan mendekatkan diri kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda "Doa itu adalah ibadat" (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa." (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Dengan jelas dalam sebuah hadis menunjukkan bahawa Allah suka apabila seorang hamba berdoa kepada-Nya. Nabi mengingatkan kepada para sahabat sekali gus kepada kita sebagai umatnya: "Mohonlah kebaikan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta kebaikan dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas daripada kesusahan)." (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Oleh sebab doa adalah ibadah maka Nabi telah mengajarkan tatacara untuk berdoa, tempat-tempat yang mustajab serta terlarang untuk berdoa, istiqamah (konsisten) dalam berdoa dan tidak putus asa dalam berdoa. Dalam ruangan yang terbatas ini, kita hanya menyentuh beberapa perkara penting yang kadang kala kita terlepas pandang.
Sebuah doa harus dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Nabi menerangkan cara ini dengan bersabda: "Apabila di antara kamu berdoa, mulakan dengan memuji Allah, kemudian berselawat ke atas Nabi, kemudian mintalah apa yang dia mahukan". (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Lebih baik sekiranya dalam memuji Allah, kita menggunakan nama-nama Allah yang indah-indah (Asma ul Husna), bersesuaian dengan konteks doa kita. Allah berfirman: "Dan bagi Allah itu nama-nama yang Indah, berdoalah dengannya." (surah al-A'raf :180)
Contohnya ketika kita ingin minta agar dimurahkan rezeki maka kita gantikanlah seruan "Ya Allah" dengan "Ya Razzaq" atau "Ya Majiid". Begitu juga ketika kita ditimpa masalah dan berdoa agar masalah tersebut hilang, kita boleh menggunakan nama-nama yang lain seperti "Ya Basit", "Ya Rafi'", "Ya Wasi'" dan sebagainya. Selama ini kita hanya menghafal Asma ul Husna malah sering juga kita lagukannya, namun kita tidak pernah menggunakan Asma ul Husna ini dalam berdoa.
Tidak tergesa-gesa
Insya Allah, apa yang kita panjatkan kepada Allah dengan ikhlas dan mengikut contoh yang telah Nabi SAW tunjukkan, pasti Allah akan mengkabulkan. Satu ketika Nabi SAW bersabda kepada para sahabat: "Tiada seorang muslim berdoa dengan satu doa, bukan doa yang mengandungi dosa dan bukan doa yang memutuskan silaturrahim, melainkan Allah akan mengurniakan dengan doanya itu salah satu daripada tiga perkara: sama ada dipercepatkan (disegerakan) baginya doanya itu, atau disimpan baginya pahala doanya itu di akhirat (sebagai balasan), atau dihindarkan daripadanya sesuatu keburukan seumpamanya. Mereka berkata: "Kalau begitu baiklah kami memperbanyakkan doa". Bersabda Nabi: "Allah lebih banyak menerima doa hamba-hambanya." (Hadis riwayat Ahmad)
Justeru janganlah kita mudah putus asa dan berfikir bahawa Allah Taala mengabaikan kita dan tidak mendengar rintihan hati kita. Juga kita wajar bersabar dalam memohon sesuatu. Nabi bersabda: "Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: "Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dikhabarkan oleh beberapa ulama salaf bahawa Nabi Musa dan Harun berdoa selama 40 tahun agar Firaun memeluk Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim terus berdoa sehingga lanjut usia agar diberikan zuriat. Bagaimana pula dengan kita? Sudah berapa tahun kita berdoa? Atau kita hanya berdoa baru beberapa hari dan minggu sahaja?
Bandingkan diri kita dengan Nabi Musa serta adiknya, Harun. Mereka begitu hampir kepada Allah SAW tetapi mereka terus berdoa agar Firaun yang Maha Kafir akan beriman serta taubat. Dalam masa yang sama mereka terus sabar dengan penindasan yang dilakukan oleh Firaun kepada Bani Israil.
Doa kepada pemimpin
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW mengajak kita untuk mendoakan kebaikan kepada para pemimpin, bukan sebaliknya. Abu Hurairah bercerita: "Thufail bin 'Amr datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar keburukan ke atas mereka". Orang ramai menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda berkata: "Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Pemimpin yang zalim sudah ada sejak zaman berzaman, bukan hanya muncul selepas kewafatan para ulama salaf As soleh. Hasan Al Basri, yang hidup di bawah asuhan para Ummul Mukminin malah Ummu Salamah merupakan ibu susuannya, pernah melarang orang yang berdoa keburukan untuk pemimpin negara. Beliau berkata kepada orang yang mendoakan kehancuran untut Gabenor Hajjaj At Tsaqafi: "Janganlah engkau melakukannya!".
Begitu juga ketika ajaran Mutazilah yang sesat menjadi mazhab rasmi Dinasti Abasiyah, banyak para ulama ditangkap dan disiksa serta dibunuh. Masyarakat dipaksa untuk menganut akidah sesat. Akidah adalah hukum Islam yang tertinggi dan paling utama. Antara hudud dan akidah, maka akidah adalah asas kepada Islam sementara hudud adalah penyempurnaan kepada peraturan Islam.
Imam Ahmad turut ditangkap dan disiksa, tetapi beliau tidaklah mendoakan agar pemimpin Bani Abasiyah tersebut pecah perut dan dilaknat Allah. Imam Ahmad berkata: "Sesungguhnya aku mendoakan untuk pemerintah agar diberi kebaikan dan afiyah. Jika terjadi peristiwa pemberontakan kepada pemerintah, kamu benar-benar akan melihat keburukan yang menimpa Islam" (lihat Al-Sunnah oleh Al- Khallal)
Oleh sebab itu, mendoakan kebaikan kepada pemimpin adalah cir-ri-ciri Ahlus Sunnah, manakala mendoakan kejahatan kepada pemimpin adalah lambang ahli bidaah yang sesat dan menyesatkan. Imam Al-Barbahari menjelaskan ciri-ciri ini dalam kitab akidahnya: "Jika engkau melihat seseorang mendoakan keburukan untuk pemimpin maka ketahuilah bahawa dia seorang pengikut hawa nafsu. Jika engkau melihat seseorang mendoakan kebaikan untuk pemimpin maka ketahuilah bahawa dia Ahlus Sunnah." (lihat Syarhu al-Sunnah oleh al-barbahari).
0 comments:
Post a Comment