Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 7, 2012

Ibu Rayu Anak Segera Pulang


PEKAN - “Pulanglah adik, mak dan ayah bukan sahaja rindukan adik serta Afiq malah amat bimbang dengan keselamatan kamu berdua”.

Begitulah rayuan suami isteri, Bidin Jantan, 69, dan Zubaidah Mahusin, 65, terhadap anak bongsu mereka, Musliza, 27, yang menghilangkan diri sejak 16 Oktober lalu bersama anak tunggalnya, Mohd Afiq Rizqie Daniel Abdullah, 2.

Bidin berkata, kehilangan anak bongsu daripada sepuluh beradik yang lebih mesra dipanggil ‘adik’ bersama cucunya itu hanya disedari selepas mereka tidak pulang dari klinik.

Menurutnya, kira-kira jam 9.30 pagi hari kejadian, Musliza yang bermalam di rumah kakaknya dekat Perumahan Komuniti Bersepadu Kampung Padang Rumbia memaklumkan bahawa dia ingin membawa anaknya menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia.

“Saya dan isteri pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan kakaknya membenarkan dia keluar bersama anaknya untuk ke klinik sebelum meneruskan rutin harian sementara menunggu kepulangan mereka.

“Namun hati kami gusar apabila sehingga lewat petang mereka masih tidak muncul dan terus menanti sehingga lewat malam dan keesokan harinya,” katanya.

Beliau kemudiannya meminta bantuan ahli keluarga dan orang kampung untuk mencari anak dan cucunya di sekitar kawasan kampung namun gagal mengesan mereka.

“Selepas tiga hari menanti, saya kemudiannya buat laporan polis mengenai kehilangan mereka dan masih menanti khabar mengenai lokasi dan keadaan mereka.

“Saya dan isteri buntu memikirkan kehilangan mereka namun mengesyaki adik kembali mengikut teman lelakinya,” katanya yang kehilangan sebelah penglihatan akibat masalah selaput.

Ekoran kejadian itu, Bidin dan isteri yang gagal menghubungi anaknya kini berada dalam tertekan selain menderita akibat penyakit lelah dan darah tinggi yang dihidapi.

Menurutnya, isterinya baru sahaja dibenarkan keluar dari wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana diserang angin ahmar (ringan) akibat terlalu tertekan memikirkan nasib anak dan cucunya.

“Saya pernah cuba hubungi telefon bimbit dia dan teman lelakinya, namun orang lain yang menjawab dan memaklumkan bahawa Musliza dan anaknya kini berada di Johor Bahru.

“Saya tidak tahu di mana dia berada namun merayu agar dia pulang dan kami sebagai ibu bapa sanggup menerimanya dengan hati terbuka dan memaafkan perbuatannya,” katanya.

0 comments:

share2