Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 3, 2012

Pak Kaduk Dan Anwar Ibrahim


KISAH Pak Kaduk harus menjadi renungan kita bersama termasuk orang muda. Kerana mahu sangat menang bersabung, Pak Kaduk sanggup terima cadangan raja menukar ayamnya dengan ayam raja. Apabila ayam kepunyaan raja mati, Pak Kaduk meloncat-loncat kegembiraan. Dia terlalu gembira hinggakan terlupa perjanjian pertukaran ayam sabungnya yang sudah menjadi milik raja. Kegembiraan sehinggakan baju kertas yang dipakainya terkoyak lalu berlarilah Pak Kaduk kerana malu ditertawakan oleh orang kampung.

Lalu dikatakan kasihan Pak Kaduk, ayam menang bersabung tapi kampungnya tergadai dalam pertaruhan.

Kisah menang sorak kampung tergadai ini perlu diperhalusi agar kesalahan tidak hanya diletakkan ke atas bahu rakyat (Pak Kaduk).

Dalam konteks ini, pakatan pembangkang yang menjanjikan 'bulan dan bintang' dalam Buku Jingga dan terbaharu melalui 'pembentangan bajet pakatan 2013', sepatutnya melihat diri mereka sendiri. Ini khususnya tentang peranan dan fungsi parti-parti mereka dalam usaha memperkukuh aspirasi rakyat yang juga menjadi aspirasi negara.

Apa yang dibentuk dan menjadi asas di Malaysia ketika ini sudah elok. Cuma, masalahnya adalah banyak lebihan lemak dan sisa-sisa toksik terhasil daripada tindak tanduk pakatan pembangkang. Yang pembangkang tahu ialah mempergunakan emosi serta keadaan, lalu sesetengah rakyat yang agak lurus dan 'alpa' juga ditarik sama ke dalam kancah percaturan politik mereka.

Siapa peduli "Bajet Pakatan" kerana rakyat tahu mereka tidak memiliki kuasa atau autoriti untuk melaksanakan walaupun satu titik noktah daripada bajet palsu itu. Jadi, tidak perlu langsung untuk memperkatakan, membincangkan atau pun membahaskan sesuatu yang hanya wujud dalam dunia fantasi pembangkang. Sebab bajet pembangkang semata-mata gimik politik.

Sebaliknya pihak yang mampu melaksanakan segala apa yang terkandung dalam ucapan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Barisan Nasional (BN). BNlah yang memerintah dan BN yang mempunyai kuasa penuh untuk menunaikan setiap janji yang dibuat olehnya.

Kalau dalam bahasa mahkamah, perbuatan pembangkang mengeluarkan cadangan bajet tersendiri disebut sebagai perkara enteng atau frivolous. Dan tidak salah dikatakan membuang masa dan juga satu tindakan yang amat tidak produktif.

Sebaliknya, kerajaan menggunakan pakar-pakar dari Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain.

Bajet 2013 telah menenggelamkan belanjawan bayangan yang dibentangkan oleh pembangkang. Pembangkang cuba mewujudkan akronim 'pakatan rakyat' sedangkan rakyat sendiri tidak pernah berpakat untuk menentang kerajaan.

Sebaliknya yang berpakat hanyalah tiga buah parti pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas. Itu pun ideologi masing-masing tetap tak sehaluan. Mereka membangkang dengan tidak bertanggungjawab sehinggakan mereka sendiri pun tidak percaya apa yang akan dilaksanakan tidak akan berjaya.
Hal ini seperti mana dahulu, mereka tidak yakin dengan pembinaan KLCC, peningkatan pengangkutan awam, waima Putrajaya dan hari ini ia menjadi tempat idaman mereka.

Bajet 2013 bukanlah untuk sedapkan hati rakyat. Sebaliknya merupakan komitmen kerajaan BN.

Apabila diteliti bajet bayangan pembangkang yang dibentang pada 26 September, lebih awal dari BN (28 September), kita rakyat Malaysia boleh membuat penilaian yang bijaksana. Beria-ia pakatan pembangkang menawarkan untuk menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara bagi menyediakan rumah mampu milik secara besar-besaran. Tetapi, malangnya apa sudah jadi dengan komitmen serupa di Selangor dan Pulau Pinang, yang ditadbir kerajaan negeri PKR dan DAP.

Di Selangor, dalam tempoh empat tahun ini berapa banyak rumah mampu milik dibina? PKNS buat apa? Berapa banyak kawasan pertumbuhan baru dibuka? Jika semasa pentadbiran BN, Selangor ada Lembah Bernam, Lembah Beringin, apa yang Menteri Besar kerajaan PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim buat?

Di Pulau Pinang pula, adakah rumah mampu milik dibina di kala ini? Hanya setelah empat tahun memerintah dan selepas 'bising-bising' dicetuskan penduduk Pulau Pinang, barulah peneraju negeri 'berdengus'.

Menurut Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr Yeah Kim Leng, cadangan pembangkang mahu menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Bajet bayangan mereka, adalah tidak munasabah.

Ini kerana pinjaman pelajaran diperlukan untuk membantu rakyat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi. Pinjaman, katanya, adalah saluran yang relevan untuk digunakan oleh pelajar yang menghadapi masalah kewangan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Adalah tidak munasabah untuk menghapuskan pinjaman pelajaran. Pembiayaan berkesan yang disediakan untuk pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) sejajar dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan," katanya.

Demikian juga katanya dengan cadangan penghapusan tol PLUS dan dua konsesi lain dalam masa yang singkat sukar dilakukan kerana ia memberi kesan negatif kepada pendapatan kerajaan.

Ketua Ekonomi Alliance Research, Manokaran Mottain juga berpendapat tidak wajar menghapuskan pinjaman kepada pelajar kerana ia mengundang kepada peningkatan sikap kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

Pergantungan kepada subsidi kerajaan, kata beliau, adalah tidak positif bagi perkembangan ekonomi negara.

"Apa yang sepatutnya perlu dilakukan adalah melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga pelajar mempunyai pekerjaan," katanya.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr. Shazali Abu Mansor, pula berkata penghapusan pembiayaan pelajaran dan tol bersifat terkebelakang dalam proses merangka kemajuan negara.

Penghapusan memaksa kerajaan mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan, di samping wujud masalah seperti pengurangan tenaga kerja, penurunan kualiti infrastruktur jalan serta sekatan mendapat akses pendidikan tinggi.

"Dengan sumber negara terhad, kerajaan tidak mamapu menampung sektor yang memerlukan belanja besar seperti pembinaan infrastruktur dan pendidikan.

Meskipun pelbagai interpretasi boleh ditafsirkan namun kisah Pak Kaduk dan menang sorak kampung tergadai tidak harus dilihat sebagai hanya kealpaan rakyat.

Kisah ini perlu ditafsirkan sebagai manifestasi kerakusan dan keegoan pakatan pembangkang di negara ini untuk menjayakan misi pelan mereka yang dalam rumusan Perdana Menteri - amat populis dan hanya mengakibatkan anak cucu merana.

Seorang pengkritik sastera Amerika, Stanley Lee mengemukakan satu teori (1980) yang disebut Reader Response Theory. Menurut teori itu, pembaca boleh berbuat apa sahaja tafsiran terhadap sesebuah teks (termasuk cerita) tanpa merujuk atau mengindahkan makna atau mesej yang disampaikan oleh pencipta teks.

Teks itu dianggap bebas daripada penciptanya - seolah-olah pengarangnya sudah mati atau death of author, seperti kata Foucoeur, ahli falsafah Perancis.

Namun kisah Pak Kaduk tidak pernah mati.

0 comments:

share2