KUANTAN - Polis menurunkan sejumlah 1,466 keping poster dan papan iklan sindiket pinjaman wang haram atau ah long dalam operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini bermula dari Januari sehingga akhir bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, biarpun kegiatan itu seakan tidak pernah terhenti namun polis bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan tetap meneruskan usaha menurunkan iklan ah long di bandar ini.
"Tindakan ini dilakukan setiap masa dan hari ini sahaja sebanyak 480 lagi poster ah long di sekitar kawasan Kubang Buaya, Air Putih, Bukit Setongkol dan Indera Mahkota telah diturunkan.
"Operasi yang bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari ini melibatkan enam anggota polis yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, Asisten Supritendan Zaizul Rizal Zakaria dan lapan kakitangan MPK.
"Tindakan menampal pelekat atau poster iklan perkhidmatan seumpama ini di tempat awam ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (pindaan 2011)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Jasmani berkata, sejak Januari hingga Ogos lalu, sebanyak tiga aduan daripada mangsa ah long terdiri daripada peniaga kecil-kecilan berusia lingkungan 40-an diterima berbanding dua aduan sepanjang tahun lalu.
"Kita juga menahan empat lelaki dipercayai ah long berusia antara 20 hingga 30-an. Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan mereka diambil dan kes tersebut masih dalam proses siasatan," katanya di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran ah long sama ada untuk tujuan perniagaan atau kesempitan hidup.
"Meminjam dengan ah long hanya mengundang padah sebaik-baiknya buatlah pinjaman melalui institusi kewangan berlesen," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment