NAMA Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang sebelum
ini kurang dikenali rakyat Malaysia, kini nampaknya lebih popular
berbanding ahli-ahli politik tanah air.
Bergerak aktif sejak beberapa tahun lalu, Suaram juga telah membentuk
jaringan dengan organisasi lain yang menggunakan nama hak asasi dan
demokrasi. Ia bergerak melalui pemimpin yang mengetuai organisasi atau
organisasi terbabit serta aktiviti yang dijalankan secara bersama.
Walaupun kononnya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi
Suaram didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan
Malaysia (ROS) dan hanya didaftar sebagai syarikat Suara Inisiatif Sdn.
Bhd. di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Lebih membimbangkan, syarikat swasta yang dikatakan tidak bermotifkan
keuntungan itu mampu memperolehi pendapatan lebih RM900,000 dalam
tempoh 2009 dan 2010 tanpa menjelaskan sumber dana tersebut.
Selepas menerima banyak tekanan, akhirnya Suaram mengakui menerima
dana daripada penderma tertentu termasuk dari luar negara, antaranya
disyaki daripada Open Society Institute (OSI) yang dipengerusikan
penyangak mata wang, George Soros dan National Endowment for Democracy
(NED) yang dipimpin tokoh Yahudi, Carl Gershman.
Perbincangan antara beberapa agensi kerajaan mencapai keputusan untuk
menyiasat dengan lebih mendalam dan Suaram dikatakan bakal berdepan
dengan tindakan undang-undang hasil siasatan SSM.
Namun, Jabatan Peguam Negara pula memaklumkan kertas siasatan SSM
terhadap Suaram mengikut Akta Syarikat 1965 tidak lengkap dan memerlukan
siasatan lanjut.
NGO haram itu bagaimanapun belum terlepas kerana beberapa agensi lain
turut menjalankan siasatan tetapi Suaram dilaporkan telah berani
menghalang dan membuat provokasi terhadap pegawai ROS yang mahu
menjalankan siasatan di premis mereka.
Susulan kejadian itu, koordinatornya, R. Thevarajan pula membuat
laporan polis kononnya terdapat campur tangan politik dalam proses
siasatan terhadap Suaram.
Kronologi kes Suaram ini sebenarnya menimbulkan beberapa persoalan
bagi rakyat biasa, sama ada penerimaan dana asing itu salah atau memberi
impak negatif; sejauh mana jaringan organisasi haram yang mendukung
aspirasi pihak luar di negara ini; dan kenapa pihak berkuasa lambat
bertindak?
Jaringan Suaram jelas melibatkan parti politik mahupun NGO berdaftar
serta tidak berdaftar seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih) tetapi adakah turut berkait dengan gerakan lain seperti
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mahupun agenda subversif
pihak tertentu?
Adakah Suaram sahaja NGO haram yang bergerak aktif dengan bantuan
dana asing di negara ini dan kenapa SSM, ROS, Bank Negara, Lembaga Hasil
Dalam Ngeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
mahupun mana-mana agensi penguat kuasa lain sehingga kini gagal
bertindak?
Bagi Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu
Bakar, pihak yang menerima dana asing umpama mengkhianati negara selepas
hilang ketaatan kerana terpaksa menjadi 'balaci' kepada penyumbang itu.
"Sebenarnya tiada masalah untuk Suaram atau mana-mana NGO mendapatkan
dana dari dalam negara dan sepatutnya menolak walau satu sen dana dari
pihak luar kerana ada pihak asing yang mempunyai niat menghancurkan
negara ini.
"Namun, kerana kebencian menebal dan tidak memperakui pemerintah yang
dipilih majoriti rakyat, mereka terima sahaja dana dari mana sekalipun
asalkan dapat capai sasaran menggulingkan kerajaan," katanya.
Beliau berpendapat, sumber kewangan dari luar sebenarnya amat bahaya
kerana boleh membawa masuk anasir jahat dari negara lain dan menyebabkan
perpecahan etnik apabila penerimaan banyak dana mampu menggerakkan
agenda peribadi individu mahupun kumpulan tertentu melebihi agenda
nasional.
Menurutnya lagi, jaringan Suaram dengan kepimpinan politik khususnya
dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya membolehkan mereka menerima
dana daripada kerajaan negeri yang ditawan pembangkang dan tidak perlu
kepada dana asing.
Lebih membimbangkan beliau, dana yang disalurkan kepada NGO haram
seperti Suaram dikongsi dengan sekutu-sekutunya yang lain yang memusuhi
kerajaan bagi menggerakkan aktiviti 'bawah tanah'.
"Jika rangkaian mereka sudah luas dan kuat, merangkumi banyak gabungan lain serta parti politik, pasti sukar untuk dikawal lagi.
"Lihat sahaja lonjakan aktiviti membusukkan nama Malaysia di dalam
dan luar negara tanpa rasa takut kerana undang-undang seperti tiada
kuasa ke atas mereka ini," ujarnya.
Ramlan turut menempelak perbuatan Suaram menghalang penjawat awam
menjalankan tugas menyiasat serta menjadikan alasan campur tangan
politik bagi mengalih perhatian daripada isu sebenar dan mengelak
tindakan undang-undang.
"Mereka ini tidak mahu perakui kerajaan yang dipilih rakyat, kerana
itu asyik gunakan alasan campur tangan politik setiap kali pihak
berkuasa bertindak.
"Kumpulan ini sudah berani sangat sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) dimansuhkan, tambahan pula ramai dalam rangkaian mereka terdiri
daripada peguam yang tahu selok-belok undang-undang dan pandai
mengelak," tegasnya.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula
bimbang penerimaan dana itu melibatkan agenda Israel yang mahu rakyat
menggulingkan kerajaan secara paksa seperti di Asia Barat.
"Agenda Soros mahupun penaja asing lain sukar difahami tetapi saya
yakin ini gerakan terancang seperti di Syria dan negara Arab lain.
"Kononnya atas dasar demokrasi dan hak asasi sedangkan kita telah
lama amalkannya berbanding negara lain. Kenapa bantu NGO haram dan bukan
pertubuhan lain yang terbukti membantu rakyat," soal beliau.
Beliau khuatir dana asing itu menjadi pemangkin kepada gerakan
terancang dengan agenda memfitnah dan memburukkan kepimpinan di negara
mahupun menjalankan aktiviti yang menggugat keharmonian rakyat seperti
perhimpunan haram, demonstrasi jalanan serta program songsang melibatkan
LGBT.
Menurutnya lagi, dana tajaan asing di Malaysia telah mencecah RM20
juta dan disalurkan melalui pelbagai bentuk khususnya syarikat-syarikat
kecil dan kerana itu JMM tampil kerana mahu agensi-agensi terbabit
memantau dengan serius demi menolak campur tangan asing.
Beliau berpendapat, organisasi haram seperti Suaram adalah tali barut
kepada pengaruh asing yang cuba merosakkan negara ini dan harus
ditangani dengan menyekat sumber kewangan dari luar ataupun yang
berkaitan dengan anasir jahat lain.
"Kita tidak mempersoal mereka menerima sumbangan dana tetapi perlu diisytiharkan dan berlunaskan undang-undang di negara ini.
"Kerana itu saya menyeru Bank Negara dan LHDN memantau kemasukan wang
dari luar kerana itu adalah baris utama kepada sumber dana dan aktiviti
rangkaian yang bertujuan mengangkat agenda asing di negara ini,"
tegasnya.
Beliau berharap pihak berwajib melaksanakan akta yang boleh memantau
kemasukan sebarang dana asing atau sekurang-kurangnya didedahkan kepada
rakyat agar mereka dapat menilai sendiri.
"Perlu diingat juga, mereka yang di dalam pertubuhan yang menerima
dana asing itu juga menerima elaun dan gaji, adakah semua itu sudah
dibayar cukainya," katanya.
Azwanddin turut menyarankan Suaram amalkan apa yang diuar-uarkan
selama ini kononnya mahu ketelusan dengan memberi kerjasama kepada pihak
berkuasa dan berterus-terang tentang program-program mereka.
"Kalau tuduhan tidak betul kenapa perlu takut? Mereka sudah mengaku
menerima dana asing, kenapa kini tidak mahu jelaskan kepada pihak
berkuasa pula?
"Ini menunjukkan mereka takut dan mahu sorokkan sesuatu dengan
sentiasa cuba mengelirukan rakyat melalui taktik-taktik dan alasan
kononnya ada campur tangan politik," ujar Azwanddin.
0 comments:
Post a Comment