BUAT kali kedua pada 6 September lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul
Hadi Awang dalam tulisannya menyeru orang Melayu menyokong Pas.
Di bawah tajuk '
Melayu wajib kuatkan Pas dalam Pakatan Rakyat' Abdul Hadi memberikan justifikasinya kenapa orang Melayu perlu memilih Pas bagi menggantikan UMNO.
Ini merupakan tulisan kedua beliau dalam meraih simpati orang Melayu
untuk menyokong parti itu, kali pertama ialah pada awal April lalu dalam
tulisan bertajuk '
Surat terbuka untuk pejuang Melayu'.
Antara tulisan pertama dan kedua tiada bezanya, Abdul Hadi yang
semakin memahami bahawa Pas semakin terdesak untuk meraih sokongan orang
Melayu, cuba memaparkan kononnya Islam yang dilaksanakan oleh UMNO
dilakukan secara terpilih demi kepentingan duniawi.
Presiden Pas itu cuba menggambarkan bahawa jika Pas diberi peluang
untuk menggantikan UMNO maka mereka akan berupaya membawa pelaksanaan
Islam yang cemerlang.
Walaupun pelaksanaan Islam yang dilakukan oleh kerajaan Barisan
Nasional (BN) dengan UMNO menjadi tonggak utamanya mendapat pujian
masyarakat dunia termasuk alim ulama namun Abdul Hadi seolah-olah tidak
mahu mengiktirafkannya.
Beliau masih tetap cuba menggambarkan bahawa Pas yang kini
bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kononnya
berupaya melaksanakan Islam dengan cemerlang.
Itulah mimpi Pas dan demikianlah impian Abdul Hadi. Tetapi semua
orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk menggantikan UMNO dan
sehebat mana keberanian pemimpin Pas untuk bercakap soal Islam dalam
pakatan pembangkang.
Kenyataan Abdul Hadi yang cuba memberi gambaran bahawa Islam di bawah
UMNO tidak akan ke mana hanyalah hujah politik terdesak Pas untuk
meyakinkan orang Melayu menyokong mereka. Ia kerana Abdul Hadi masih belum mahu mengaku secara jujur dan ikhlas
bahawa Pas bukanlah parti dominan dalam pakatan pembangkang, Pas tidak
akan berupaya memperjuangkan Islam selagi mereka berada dalam pakatan
berkenaan.
Oleh itu mana mungkin orang Melayu akan mudah terpengaruh dengan
Abdul Hadi bahawa mereka wajib menyokong Pas. Apatah lagi tindak tanduk
Pas sejak berada dalam pakatan pembangkang lebih banyak merugikan orang
Melayu.
Kita ingin bertanya, apa kata pemimpin Pas apabila pemimpin-pemimpin
PKR bercakap kesamarataan semua kaum? Di mana keberanian Pas untuk
memperjuangkan Islam apabila DAP secara tegas dan konsisten menolak
hukum hudud?
Kenapa Pas tidak bersuara apabila ada pemimpin DAP menuduh UMNO
adalah parti perkauman apabila bercakap soal memperjuangkan nasib orang
Melayu? Paling klasik kita ingin tahu kalau benar Pas mampu
memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada UMNO dan istiqamah dalam
soal itu kenapakah menukar arah tuju perjuangan daripada negara Islam
kepada negara berkebajikan?
Abdul Hadi dan Pas boleh berkata apa sahaja terhadap UMNO apabila parti itu bercakap soal
survival
orang Melayu tetapi mereka tidak boleh menafikan bahawa orang Melayu
dan umat Islam berada pada tahap sekarang dengan menikmati pelbagai
kemajuan dan kesejahteraan melalui perjuangan UMNO.
Kalau mahu mengharapkan kepada Pas, lihat sahaja apa berlaku kepada
perkembangan Islam di Kelantan, ia sekadar menjadi slogan,
pelaksanaannya bagaikan lepas batuk di tangga sahaja. Begitu juga
masalah orang Melayu Kelantan, sampai sekarang biar pun sudah hampir 22
tahun memerintah, kerajaan Pas Kelantan hendak bekalkan air bersih pun
susah.
Ini belum lagi mengambil kira nasib orang Melayu yang berada di bawah
negeri-negeri pakatan pembangkang yang Pas tumpang sekaki memerintah. Apakah negeri-negeri berkenaan nasib orang Melayu jauh lebih baik
berbanding negeri-negeri di bawah BN? Adakah demi menghormati Pas, soal
Islam menjadi perkiraan utama PKR dan DAP dalam melaksanakan pentadbiran
atau tindakan? Jawapannya tidak!
"Tiada maknanya Abdul Hadi merayu orang Melayu kuatkan Pas kerana
parti itu telah mengecewakan orang Melayu sejak menyertai pakatan.
"Pas lebih utamakan kerusi daripada menjaga maruah orang Melayu dan
kedudukan Islam, oleh itu untuk apa orang Melayu hendak perkuatkan Pas,"
tanya Prof.Datuk Mohamed Mustafa Ishak ketika dihubungi.
Malah Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis
Profesor Negara itu menegaskan, Abdul Hadi perlu memperbetulkan Pas dan
Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum meminta simpati orang Melayu.
Sememangnya Abdul Hadi perlu sedar bahawa sebahagian besar orang
Melayu tidak mempunyai keyakinan terhadap Pas untuk memperjuangkan nasib
mereka apatah lagi Islam.
Selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang, selagi itulah perjuangan
Pas tidak akan mampu memberi jaminan bahawa mereka berupaya membawa
kesejahteraan kepada orang Melayu dan mendaulatkan Islam.
Ia memandangkan dalam pilihan raya parti itu bertanding jumlah kerusi
yang bukan sahaja jauh lebih kurang berbanding UMNO tetapi juga PKR dan
DAP.
Justeru mana mungkin Pas hendak menjadi tonggak menggantikan UMNO
dalam membela nasib orang Melayu dan memperjuangkan Islam sebagai addin.
Sebab itulah ketika diminta mengulas perkara ini penganalisis
politik, Ahmad Masrizal melontarkan persoalan apakah jaminan Pas akan
kuat dalam pakatan kalau orang Melayu menyokong mereka.
"Jika diteliti kepada senario semasa dan cara parti ini menangani
isu-isu strategik seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, isu
penjualan arak di Selangor, isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender
(LGBT), isu murtad dan seumpamanya, ternyata Pas tidak konsisten dan
terumbang-ambing dalam membuat keputusan," katanya.
Oleh itu Ahmad Masrizal menganggap kenyataan Abdul Hadi tersebut
menampakkan bahawa Pas sudah ketandusan idea untuk mencari penyelesaian
terhadap kedudukannya dalam pakatan.
"Kenyataan ini juga pada pendapat saya merupakan strategi pintas yang cuba dilakukan atas dasar
survival parti mereka dan ia bukan tulen untuk mengajak rakyat bagi meneruskan legasi Pas yang dibina suatu masa dahulu," katanya.
Atas sebab itulah orang Melayu tidak harus mudah terpengaruh dengan
sentimen agama yang cuba dimainkan oleh Abdul Hadi kerana Pas sekarang
bukannya Pas tulen yang memperjuangkan Islam sebagai landasan
perjuangannya.
Islam sekadar menjadi slogan dan modal kepada Pas untuk meraih undi
kerana semua orang Melayu tahu selagi Pas berada dalam pakatan,
perjuangan Islamnya tidak akan ke mana.
Apatah lagi pada masa ini Pas bukannya seratus peratus dikuasai oleh
ulama sebalikya sudah diresapi oleh elemen lain atau dalam kata mudah
puak Anwarinas yang dilihat mempunyai cengkaman politik cukup hebat
dalam parti itu.
Selagi puak ini masih ada selagi itulah perjuangan Islam Pas tidak
akan ke mana, ini memandangkan puak berkenaan sering sahaja bertindak
mengikut kemahuan politik PKR dan DAP.
Justeru apa jaminan yang boleh diberikan oleh Abdul Hadi bahawa orang
Melayu dan Islam akan lebih cemerlang jika mereka menyokong Pas? dan
benarkah sokongan orang Melayu akan memperkuatkan Pas atau orang Melayu
akan menang sorak sahaja...seperti mana nasib penyokong Pas dalam
pakatan?
Kesimpulannya Abdul Hadi mahukan sokongan orang Melayu bukan kerana
perjuangan Islam tetapi disebabkan sudah merasai bahang bahawa "Orang
Melayu wajib menolak Pas dalam Pakatan Rakyat".
0 comments:
Post a Comment