Cameron Highland - Masyarakat di daerah ini terutama penduduk Orang Asli diminta tidak
terpengaruh dengan pembangkang yang mensensasikan sesuatu isu sehingga
mengganggu usaha pembangunan di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang
Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka sering memainkan
isu mengenai kelembapan pembangunan infrastruktur di samping menuduh
kelemahan pemimpin setempat yang boleh membawa perpecahan di kalangan
penduduk minoriti berkenaan.
Tambahnya, dakyah tersebut sekali gus memperlekeh kerajaan negeri
yang kini berusaha memajukan luar bandar dan perubahan hidup Orang Asli
khususnya menerusi sektor ekonomi serta pendidikan.
"Sikap gemar mencari kesilapan kerajaan negeri dan pemimpin setempat
sememangnya strategi pihak tertentu yang keluar masuk ke kampung Orang
Asli untuk memancing pengaruh demi kepentingan politik mereka.
"Tujuannya adalah mahu memecahbelahkan perpaduan tetapi tidak satu
pun (pembangunan) yang mereka boleh laksanakan di sini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan
pendidikan Yayasan Pahang dan program kebersihan dan keceriaan, di
Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli Pos Lenjang, Hulu Jelai dekat sini
kelmarin.
Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Cameron Highlands berkata, kerajaan
negeri sentiasa bertanggungjawab terhadap pembangunan di pedalaman tanpa
perlu campur tangan pihak yang mencari kepentingan peribadi.
Justeru, katanya, golongan itu sewajarnya tidak terpengaruh dengan
dakyah berkenaan sebaliknya menguatkan tekad dan iltizam untuk memberi
sokongan padu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Ada pihak tertentu yang menjalankan kegiatan menghasut penduduk di
sini terutamanya masyarakat Orang Asli supaya membenci kerajaan dengan
mengumpan barangan makanan dan sedikit wang.
"Jangan pakai cakap dan provokasi pihak berkenaan. Jika timbul
keraguan perlu dirujuk kepada tok batin, penghulu, pemaju masyarakat dan
wakil rakyat masing-masing," katanya.
Beliau menjelaskan, sehingga kini kerajaan negeri menumpukan projek
infrastruktur jalan raya di Pos Lenjang, Pos Senderut, Pos Titom
termasuk pembiayaan pembangunan pendidikan membabitkan kos sebanyak
RM100 juta.
0 comments:
Post a Comment