KENYATAAN Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin
Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu
keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi
pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem
persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian.
Sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi
pada masa kini dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi
masa dan zaman.
Mempelajari dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui
sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak
harus diulangi pada masa kini dan akan datang.
Sejarah kejadian 13 Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor
ideologi, pertentangan ras, kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan
konflik politik yang menyebabkan muafakat hilang dan akhirnya anarki
terjadi.
Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk
memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas perpaduan yang dibina harus
diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman yang tinggi dengan
kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti.
Kealpaan kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan
sumber teladan dan menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi.
Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk
adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika kenegaraan
secara telus dan tulus.
Ibarat sebuah kereta mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat
supaya pemanduan ke hadapan terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita
tidak boleh hanya melihat ke hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak
reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa yang dicapai kini adalah
himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan berterusan.
Sekiranya generasi muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil
sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman dan yang terkini itu
sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa adanya
kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau.
Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya kerana watak dan
kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya sering
respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas
fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah.
Dalam konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu
yang amat penting. Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara
Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun Negara.
Rukun Negara adalah falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan
kepada Tuhan menjadi sesuatu yang utama. Kesetiaan kepada raja dan
negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan. Keluhuran Perlembagaan
sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan undang-undang
sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun watak
dan peribadi.
Jika Rukun Negara dapat difahami dan dihayati ia bakal membentuk jati
diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia tidak bermakna kita
anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat aspek-aspek
berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi.
Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan
adaptasi dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.
Mempelajari dan memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi
zaman yang sifatnya berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji
adalah perkembangan dan perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia
berada dalam senario menghormati asas-asas fundamental dalam proses bina
negara dan reseptif terhadap perubahan semasa yang sifatnya menyumbang.
Aspek terpenting dalam memperkasa subjek Sejarah adalah penyusunan
kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus sifatnya merangkumi dan
merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar sejarah Melaka dan
sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka di mana
semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Bila generasi hari ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka
memiliki rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap negara ini kerana
mereka bukan sahaja diberikan kefahaman mengenai permulaan negara ini,
cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka yang menjadi landasan
sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam mencapai
kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya
Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia
mencapai ke tahap negara yang sedang maju seperti hari ini.
Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu peristiwa atau
tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku dan
melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia
berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan.
Sejarah Malaysia suatu ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya
Euro-centeric.
Kemudian ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia.
Orientasi pentafsiran ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih
setengah abad yang lalu ditafsir berasaskan kaca mata orang Malaysia.
Apabila tafsiran ini dibaca oleh anak murid, para pelajar dan
generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia
adalah sebuah negara unik dari sudut latar, penyertaan warganegaranya
dalam bina negara, asas toleransi yang membawa kebijaksanaan, pemahaman
terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan, merasakan Rukun
Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal mencetuskan
rasa kewatanan yang tinggi.
Mencetuskan kesedaran ini tidaklah suatu hal yang mudah. Ia
memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan
bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian
dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak
memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia
dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya
hal-hal penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.
Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang
boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar
memiliki kesedaran sejarah yang tinggi.
Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku.
Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau
kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang
terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan
kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan
dulu.
Yang baik itu seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang
berguna itu harus diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk
respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas fundamental dalam bina
negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan strategi baru supaya
perubahan terus berlaku.
Justeru seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya
menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks,
bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru
dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih komprehensif mampu
menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.
Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya
generasi muda menginsafi, memahami dan menghayati sejarah adalah penting
supaya kesayangan kepada negara terbina.
0 comments:
Post a Comment