Perpaduan rakyat pelbagai kaum merupakan perkara utama dalam memastikan kestabilan ekonomi dan politik serta keamanan di negara ini terus berkekalan pada masa depan.
Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia merupakan asas dalam memastikan rakyat sentiasa hidup bersatu padu dan menjadi agenda kerajaan untuk memastikan ia sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, jika tidak ada perpaduan dan sikap bertoleransi di kalangan rakyat berbilang kaum kerajaan yang ada akan menjadi lemah.
"Jika kita tidak ambil berat tentang perpaduan, akan ada pihak mengambil peluang melakukan kacau-bilau dan porak-peranda. Mereka akan menggunakan demonstrasi untuk menumbangkan kerajaan sedia ada tetapi kita kena ingat cara tersebut tidak akan menguntungkan rakyat, sebaliknya akan membuatkan mereka terus menderita," katanya.
Menurut beliau, rakyat negara ini juga perlu mengambil iktibar daripada demonstrasi di luar negara yang menyaksikan keamanan dan keharmonian negara tersebut hancur.
"Walaupun mereka berjaya menumbangkan kerajaan tetapi kerajaan baru juga tidak mampu membawa perubahan lebih baik seperti dikehendaki mereka. Di negara kita juga pembangkang ingin menggunakan cara sama menerusi slogan 'ubah' dan membuat pelbagai janji kosong yang tidak mampu dipenuhi," katanya.
Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional (BN) katanya, melakukan perubahan dengan memperkenalkan pelbagai program transformasi merangkumi ekonomi, pendidikan, perkhidmatan awam, kesihatan dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment