Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 11, 2012

Jentera Pilihan Raya Penentu Kejayaan BN


CAKAP-CAKAP mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) makin rancak sekarang. Sana sini orang memperkatakan mengenai bila tarikhnya. Malah ramai pula yang muncul sebagai tukang tilik tidak rasmi dalam menentukan masa yang sesuai untuk pilihan raya.

Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri seolah-olah telah memberikan bayangan ia bakal diadakan pada hujung tahun ini.

Betulkah ia akan berlangsung pada Disember seperti mana yang diyakini ramai orang? Atau kemungkinan tahun depan?

Sebelum ini pun banyak sudah ramalan dan telahan dibuat. Tetapi semuanya tidak menjadi realiti. Hingga kini tarikh tersebut terus menjadi misteri. Ada yang mengatakan ia akan diadakan pada Mac. Tetapi apabila Mac tiba dan Parlimen tetap tidak dibubarkan, ia dikatakan Julai pula.

Apabila Julai juga tidak menjadi kenyataan, maka September pula dikatakan bakal dijadikan medan untuk memilih kerajaan baru. Tetapi kini September sudah separuh bulan dan baru-baru ini Perdana Menteri memberi bayangan baru iaitu kemungkinan hujung tahun.

Walaupun tarikh PRU-13 itu masih lagi menjadi teka-teki, namun parti-parti politik yang akan bertanding telah membuat pelbagai persiapan. Di sesetengah tempat, sudah ada perang sepanduk dan bendera seolah-olah musim pilihan raya sudah tiba.

Bagi Barisan Nasional (BN) tugas yang menanti mereka pada pilihan raya kali ini dikatakan cukup berat. Selain mahu memulihkan tsunami yang melanda pada 2008, asakan demi asakan yang dilakukan oleh lawan pada kali ini memerlukan jentera pilihan rayanya benar-benar bersedia.

Ada tiga keutamaan dalam amanat Perdana Menteri untuk PRU-13 iaitu mempertahankan Putrajaya, merampas kembali Selangor dan mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen yang hilang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Sudah tentu amanat ini bukan ringan. Sebab itu jentera parti tidak mempunyai pilihan selain bertungkuslumus menggerakkan setiap agenda dan rangka kerja bagi mendekati pengundi.

Saingan yang diterima pula bukan calang-calang yang mana ia perlu ditangkis dengan teliti dan berkesan. Sepatutnya, ketika ini data mengenai pengundi di sesuatu kawasan sudah dalam dalam tangan pemimpin di setiap kawasan dan daerah.

Mereka sepatutnya sudah tahu siapa pengundi lama dan mana pula pengundi baru. Dari situ boleh disusun gerak kerja dan kempen yang sesuai untuk mendekati kumpulan sasar.

Dalam keadaan banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dimenangi BN pada PRU-13 dengan majoriti yang sangat kecil, pertambahan pengundi baru boleh menjadi sesuatu yang sangat membimbangkan.

Ini kerana tiada siapa tahu ke mana kecenderungan mereka. Adakah mereka penyokong BN atau pengikut pakatan rakyat? Misalnya, dalam satu kawasan Parlimen di Selangor, jumlah pengundi baru yang direkodkan ialah hampir 20,000 orang.

Di seluruh Selangor sendiri dikatakan ada hampir 800,000 pengundi yang akan mengundi buat pertama kali dalam PRU-13. Siapa yang akan diundi oleh golongan ini pasti menjadi tanda tanya?

Berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat, maka mana-mana parti yang terlebih dahulu mendekati dan menawan hati golongan pengundi ini sudah tentu akan memiliki kelebihan pada PRU-13.

Sebab itu jentera BN perlu bekerja keras terutama untuk memastikan kehadiran pengundi baru memberi kelebihan kepada BN. Tetapi malangnya sumber memberitahu ketika PRU-13 makin hangat diperkatakan, terdapat jentera BN di kawasan dan negeri tertentu yang seolah-olah tidak ada rasa apa-apa. Mereka masih lagi hanyut dibuai mimpi silam.

Dalam BN itu sendiri ada banyak parti komponen. Jadi, setiap satu daripadanya perlu memainkan peranan. Setiap entiti yang ada dalam parti seperti pemuda dan wanita perlu digerakkan ke tahap maksimum. Ketika ini tidak ada lagi istilah santai atau penilaian rambang.

Setiap analisis mesti tepat supaya datanya boleh digunakan untuk membantu parti dalam merangka strategi.

Disebabkan jumlah pengundi yang mengundi buat pertama kali pada PRU-13 cukup ramai, maka strategi lama juga tidak lagi sesuai diguna pakai.

Jentera parti perlu menggerakkan mekanisme baru dan perlu lebih kreatif serta responsif dalam menjalankan gerak kerja.

Mereka juga tidak lagi boleh menumpukan kepada kawasan tradisi semata-mata. Jangan hanya asyik tertumpu di kawasan yang mereka rasa selesa dan kawasan yang sudah dianggap sebagai kubu kuat.

Jika mahukan kemenangan dan mengekalkan Putrajaya, jentera BN kena tumpu pada kawasan-kawasan baru terutama yang ada ramai pengundi yang akan mengundi untuk pertama kali.

Sebab itu kena ada pendekatan makro dan mikro terutamanya jentera di peringkat pusat daerah mengundi. Mereka merupakan jentera yang paling dekat dengan akar umbi dan yang bakal menentukan kemenangan kepada parti.

Keadaan boleh dianggap sebagai kritikal sekarang terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang dimenangi pakatan pembangkang pada PRU-12.

Tanpa usaha keras dan terancang, BN bakal berhadapan dengan laluan sukar untuk mengembalikan sokongan di negeri-negeri terbabit.

Jika jentera BN tidak benar-benar bersedia amanat Perdana Menteri untuk mengekalkan Putrajaya, menawan kembali Selangor dan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen bakal berhadapan dengan laluan getir.

Perdana Menteri sendiri sudah merintis jalan melalui pelbagai siri lawatan ke seluruh selain melaksanakan pelbagai pakej untuk meringan beban rakyat.

Kini para pemimpin peringkat akar umbi kena memastikan jentera parti telah bergerak untuk menyusuli jalan yang telah dirintis Perdana Menteri itu.

Bagi yang bercita-cita menjadi calon, mereka sepatutnya telah mengenal pasti siapa bakal pengundi mereka.

Pada masa ini mereka yang teringin menjadi calon, yang rasa layak dan bakal terpilih sebagai calon sepatutnya sudah tahu pola dan kecenderungan pengundi di kawasan mereka. Jangan hanya duduk menunggu nama diumumkan. Buat kerja dan rintis jalan untuk menuju kemenangan

Mungkin sebenarnya ketika ini Perdana Menteri menunggu supaya jentera BN benar-benar bersedia sebelum PRU-13 diumumkan?

0 comments:

share2