Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 11, 2012

Bukit Koman Saksi Penipuan Pembangkang


NAMA Bukit Koman yang terletak di Raub, Pahang memang tidak segah Bukit Tunku atau Bukit Damansara di ibu negara. Namun kadangkala, apa ada pada nama biarpun ada kawasan di negara ini yang sengaja diberi nama baru atas pertimbangan komersial.

Ini kerana di dalam isi perut Bukit Koman menyimpan logam paling berharga di muka bumi iaitu emas lantas menjadikannya mungkin lebih bernilai daripada bukit-bukit di Lembah Klang.

Ternyata Bukit Koman biarpun namanya sebegitu bukanlah sebarangan bukit dan hujung minggu lalu, Bukit Koman yang terletak kira-kira 10 minit pemanduan dari bandar Raub menjadi tumpuan ramai.

Tetapi bukan oleh pelombong atau pendulang emas sebaliknya menjadi tumpuan peraih politik yang bersandarkan kepada modal putar belit dan adu domba bagi menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Isunya adalah penggunaan sejenis bahan kimia dikenali sianida di lombong berkenaan yang kini diusahakan oleh Raub Australian Gold Mining (RAGM) sejak ia beroperasi semula pada Februari 2009 berikutan perkembangan teknologi setelah ditutup pada 70-an berikutan kekurangan logam berkenaan.

Bahaya sianida itu digembar-gemburkan bagi menimbulkan kebimbangan tidak berasas penduduk terhadap kesihatan mereka kononnya bahan itu akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit khususnya sakit kulit.

Malah laporan portal propembangkang sengaja mengapi-apikan rakyat sebelum Himpunan Hijau Ahad lalu kononnya terdapat kira-kira 300 penduduk sudah menjadi mangsa akibat pendedahan kepada bahan kimia tersebut yang digunakan di lombong RAGM itu.

Seperti mana dalam isu loji memproses nadir bumi, Lynas di Kuantan, pembangkang Malaysia yang penuh 'bertanggungjawab' ini manfaatkan sepenuhnya kebimbangan penduduk terhadap kesihatan mereka untuk meraih sokongan.

Sama ada isu sianida di RAGM atau pun radiasi akibat operasi kilang Lynas, pembangkang cekap memanipulasi isu itu dengan fakta khayalan dan fitnah mereka untuk menggambarkan kerajaan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

Seperti mana Lynas, isu di Bukit Koman juga tidak pernah dihujahkan pembangkang dari sudut kajian sains sebaliknya membakar emosi penduduk dengan pelbagai helah termasuk menyebarkan risalah yang penuh dengan gambaran salah.

Sebagai rakyat, penduduk di sekitar Bukit Koman berhak untuk berasa bimbang terhadap kesihatan mereka akibat daripada sebarang aktiviti yang berlaku di sekeliling biarpun ada dakwaan nakal kononnya mereka marah kerana tidak dapat mengambil logam berharga itu setelah RAGM beroperasi.

Namun kebimbangan ini bijak dieksploitasi pembangkang sehinggakan dalam isu Lynas, penduduk Kuantan digambarkan akan mengalami nasib seperti penduduk Hiroshima manakala di Bukit Koman, disebar risalah seolah semua penduduk bakal alami kecacatan.

Hakikatnya kajian sains oleh pelbagai jabatan menunjukkan aktiviti berkenaan adalah selamat malah gembar-gembur pembangkang di Bukit Koman tentang sakit kulit dialami penduduk juga tidak benar sama sekali.

Bahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman memaklumkan sehingga hari ini tidak ada pun penduduk atau pekerja di lombong berkenaan yang dikesan mengalami simptom akibat pendedahan sianida.

Kajian ini bukan hanya diperolehi Kementerian Kesihatan, malah pembangkang yang menubuhkan panel menyiasat perkara ini diketuai Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw mengakui belum ada penduduk yang mengalami sakit kulit seperti didakwa.

Dan sebagai kerajaan bertanggungjawab, tawaran dibuat kepada sebuah badan bertindak propembangkang dalam isu ini untuk sama-sama terlibat melakukan kajian kesan penggunaan sianida ke atas penduduk.

Namun tawaran itu ditolak atas alasan mereka tidak mempunyai pakar, sedangkan badan yang sama mengapi-apikan penduduk bahaya yang dihadapi mereka akibat sianida yang digunakan di lombong tersebut.

Terang lagi bersuluh, isu Bukit Koman sudah menjadi modal politik pembangkang bagi berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, sama seperti operasi kilang Lynas di Kuantan.

Pembangkang tidak pernah berhajat walau sedikit pun untuk mencari kebenaran seperti mana dituntut agama sebaliknya hanya melihat peluang untuk menambah kerusi bagi melunaskan hajat pemimpin utama mereka ke Putrajaya sebagai agenda utama.

Apatah lagi Raub dilihat mereka sebagai antara kerusi Parlimen yang berpotensi untuk ditawan setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras di Parlimen berkenaan pada PRU lalu berjaya dimenangi yang antaranya dengan memainkan isu RAMG.

Penduduk seperti di Kampung Baru Bukit Koman mungkin kekurangan maklumat di peringkat ini namun mereka seharusnya merujuk kepada pihak yang pakar dalam erti kata sebenar dan bukannya pakar dalam putar belit.

Biarlah pembangkang negara ini yang koman tetapi tidak bagi rakyat.

0 comments:

share2