SLOGAN di atas adalah tema yang dikemukakan oleh pakatan pembangkang untuk menolak tema kerajaan "Janji Ditepati". Bunyinya yang puitis terkandung maksud yang boleh dipersoal.
Apa maksud 'Sebangsa' di situ. Kalau ia bermaksud gabungan bangsa-bangsa yang ada di Malaysia apakah ikatan atas nama bangsa boleh disetujui oleh Pas. Nik Abdul Aziz Nik Mat umpamanya sering mengkritik perjuangan ke arah memartabatkan bangsa adalah asabiyyah kaumiyyah.
Pas tentunya lebih cenderung kepada konsep umat bukannya bangsa. Menyetujui tema itu tidak menjadikan Pas dominan dalam menentukan tema. DAP dan PKR lebih dominan menentukan hala tuju pakatan. Pendirian Pas mengenai isu bangsa ini tidak dihormati oleh warga pakatan yang lain.
'Senegara' juga menimbulkan persoalan. Negara apa yang sebenarnya hendak ditegakkan oleh pakatan. Negara Islam tentu sekali tidak. Pas berpendirian akan tetap teguh dengan tema negara Islam dan hukuman hududnya.
Sekali lagi Pas terpinggir. Takkan Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas tidak faham apa yang tersirat di sebalik tema itu. DAP pasti mahukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan sosialis demokratik. PKR tentu mahukan Malaysia menjadi sebuah negara liberal dan pluralis. Elemen Islam di mana?
Di mana salahnya konsep negara Islam yang mendukung faham universal dan ketamadunan. Pendirian Karpal Singh lebih banyak bersifat persepsi dan salah faham terhadap maksud negara Islam sebenarnya. Semakin ramai orang Barat masa kini sudah mula menerima Islam sebagai suatu agama dan cara hidup. Inilah faktor Islamophobia Barat dan Karpal Singh sama juga.
Yang peliknya, Anwar Ibrahim ada di situ. Sebagai bekas pemimpin Angkatan Belia Malaysia (ABIM) takkan tema kemerdekaan nampaknya macam sekular dan liberal. Kalau ia datang dari Pak Samad Said boleh dimengerti. Pak Samad bukan datang dan dewasa daripada kelompok gerakan Islam seperti yang dialami oleh Anwar.
'Sejiwa' memberi makna memiliki roh yang sama dalam perjuangan. Pas memperjuangkan roh Islami seperti yang terkanun dalam perlembagaannya. Mampukah DAP dan PKR menjiwai apa yang ingin diperjuangkan oleh Pas?
Kerajaan pakatan yang sedia ada umpamanya di Selangor adalah gabungan PKR, DAP dan juga Pas. Apakah wujud rasa kesejiwaan antara perjuangan Pas dengan dasar-dasar yang dijalankan oleh PKR dan yang didukung oleh DAP. Rumah urut dan pusat pelacuran berkembang ibarat cendawan tumbuh. Pak Samad Said sebagai penyair tentu tahu hakikat ini.
Manifesto Pakatan Rakyat di Selangor masih banyak yang belum ditepati lagi. Pembangkang memang suka berjanji sebelum dapat kuasa. Hal di Pulau Pinang pun sama. Rumah Rakyat tidak dibina tetapi yang diluluskan adalah rumah untuk orang kaya dan rumah di lereng bukit.
Di Kelantan juga serupa. Isu bekalan air bersih tidak selesai sehingga kini. Kalau pun Kelantan dikuasai oleh Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini isu air bersih tidak akan dapat diselesaikan juga. Apakah tugas pembangkang hanya berjanji saja tetapi "Janji tidak ditepati".
Sebab itu tema Hari Kebangsaan bagi kerajaan dipilih iaitu "Janji Ditepati". Tema ini dari segi moral adalah baik dan bersesuaian. Bagi penulis tema ini Islamik. Salah satu amanah bagi orang yang beriman ialah menepati janji. Orang yang berjanji tetapi tidak menepati janjinya selalunya termasuk di kalangan orang yang munafik.
Orang Pas tentu tahu hal ini. Pentingnya "Janji Ditepati" adalah kerana pada masa lalu terlalu banyak pembohongan yang dilakukan oleh parti politik untuk memenangi hati rakyat supaya menyokong mereka. Apabila menang mereka lupa kepada janji atau melanggar janji.
Tradisi ini adalah tidak baik bagi orang yang ada jiwa agama dan bertamadun. Bila penegasan tema "Janji Ditepati" bagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke -55 ini ia membawa gambaran bahawa menjelang pilihan raya akan datang jangan terlalu banyak janji dibuat untuk memikat pengundi walaupun parti yang berkaitan menjadikan Islam sebagai dukungannya.
Belum pilihan raya terjadi Anwar sudah berjanji PTPTN akan dihapuskan dan pendidikan percuma akan diberi. Kalau isu hutang UNISEL dan KUIS di Selangor di mana Anwar menjadi Penasihat Ekonomi tidak boleh diatasi, janji Anwar itu tentu menjadi bahan ketawa. Anwar juga berjanji harga minyak akan diturunkan, harga barang akan diturunkan dan banyak lagi janji yang diberi.
Membuat janji memang mudah. Melaksanakan janji akan timbul dalih. Inilah kerja pembangkang sekian lama. Oleh itu, tema "Menepati Janji" amat ditakuti oleh pakatan kerana bimbang ia mengenai batang hidung pakatan sendiri. Pakatan memilih tema lain ibarat 'tidur sebantal'.
0 comments:
Post a Comment