Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 9, 2012

TAUKEH PASARAYA CUBA MENIPU UMAT ISLAM



KUANTAN - Tindakan sebuah pasar raya di bandar ini cuba mengelirukan pengguna Islam dengan mempamerkan sijil halal yang berbeza pada ayam yang dijual amat dikesali Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Kuantan, semalam.

Malah pengusaha pasar raya terbabit cuba bertindak memperdayakan pegawai penguatkuasa Paid dalam menentukan pengesahan halal.

Ketua Unit Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan Paid Kuantan, Mohd Arif Aizat Mat Nali, perbuatan pengusaha terbabit tidak seharusnya berlaku kerana ayam yang dibeli itu mendapat pengesahan halal daripada pembekal lain.

Menurutnya, walaupun ayam yang dijual itu halal tetapi dengan mempamerkan nama pembekal yang berlainan boleh mengelirukan pengguna terutama masyarakat Islam yang mementingkan kehalalan.

“Dalam kes ini, kita meminta mereka mempamerkan sijil halal ayam daripada syarikat pembekal sama bukannya syarikat yang berbeza

“Operasi ini bukan saja bertumpu kepada tanda halal ayam, malah daging lembu, kambing, bahan makanan, minuman dalam tin serta barang keperluan lain bagi memastikan ia tidak mengelirukan pengguna,” katanya ketika ditemui sempena `Ops Halal’ di sekitar bandar Kuantan di sini, semalam.

Selain Paid, operasi bersepadu itu turut disertai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PKPDNKK).

Mohd Arif Aizat berkata, operasi itu akan diadakan dari semasa ke semasa menjelang sambutan Aidilfitri yang turut membabitkan tanda harga oleh KPDNKK manakala MPK dalam soal lesen perniagaan.

Menurutnya, kerjasama itu diharap meningkatkan kesedaran di kalangan pengusaha pasar raya dan premis perniagaan lain dalam memastikan bahan yang dijual adalah halal.

“Ini kerana makanan atau minuman yang dijual perlu bebas daripada bahan yang diharamkan atau menimbulkan kemusykilan,” katanya.

0 comments:

share2