MARAN - Pergerakan Wanita UMNO Pahang menganjurkan program Nur Hidayah di setiap 14 kawasan Parlimen di negeri ini bagi mendekati golongan miskin dan kurang bernasib baik sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketuanya, Datuk Rosni Zahari berkata, program Nur Hidayah itu merupakan aktiviti tahunan bagi membantu meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, program serampang dua mata ini juga bagi mengenal pasti arah aliran sikap dan sokongan golongan berkenaan terhadap UMNO dan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
''Program Wanita UMNO ini adalah selaras dengan peranannya sebagai barisan hadapan dalam menarik rakyat agar terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Nur Hidayah anjuran UMNO Bahagian Maran di sini baru-baru ini.
Bagi Parlimen Maran, seramai 80 golongan memerlukan telah menerima sumbangan duit raya dan bakul makanan dalam satu majlis khas di Dewan UMNO Pekan Tajau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, peranan Wanita UMNO pada setiap kali pilihan raya sangat menyerlah dalam membantu kemenangan calon BN.
''Dalam situasi politik yang mencabar ini, kepakaran dan kecekapan Wanita UMNO sangat diperlukan supaya sokongan terhadap BN tetap kukuh dan mantap," katanya.
0 comments:
Post a Comment