KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.
Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, ada golongan tertentu dan remaja yang mengambil kesempatan menggunakan istilah kemerdekaan sebagai tiket kebebasan dengan sambutan tidak sepatutnya termasuk melakukan maksiat.
Beliau tidak menafikan masih ada remaja yang cetek pendidikan agama dan pemikiran sehingga melakukan perkara mencacatkan sambutan sebenar kemerdekaan negara.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap golongan yang tersasar meraikan kemerdekaan dengan cara melampaui batas dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka,” katanya semalam.
Bagaimanapun katanya, bukan semua golongan muda bersikap tidak bertamadun tetapi setiap tahun ada yang berani mencemarkan sambutan kemerdekaan dengan berpelesiran dan menghabiskan masa dengan tidak berfaedah.
“Jaip tidak akan berdiam diri dengan perkara itu malah akan mengambil tindakan sepatutnya termasuk melancarkan operasi bagi membanteras maksiat,” katanya.
Justeru, katanya, bagi yang mempunyai niat tidak senonoh, amaran awal diberikan kerana selepas ditangkap mereka tidak akan terlepas dari hukuman yang dikenakan.
Mohd Ghazali berkata, setiap tahun memang Jaip mengeluarkan amaran tetapi bukan bertujuan menyalahkan pihak tertentu sebaliknya mahu mendidik masyarakat supaya menolak gejala tidak sihat.
“Operasi memang akan dijalankan menjelang sambutan kemerdekaan termasuk di sekitar hotel-hotel murah di seluruh daerah dan lokasi paling panas ialah di Kuantan.
“Tiada tolak ansur kepada golongan yang menyambut kemerdekaan bercanggah dengan agama dan erti kemerdekaan.
“Inisiatif kerajaan menganjurkan tahlil adalah langkah terbaik ketika sambutan kemerdekaan kerana ia mampu memberi penghayatan sebenar tentang kemerdekaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment