Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 19, 2012

PSM Mahu Bertemu PM


BENTONG – Persatuan Sekolah Memandu (PSM) Negeri memohon agar pihak berwajib mengambil berat masalah dihadapi sesetengah sekolah memandu yang dibatalkan permit.

Pengerusinya, Phoo Kok Fee berkata, di negeri ini terdapat hampir 12 permit sekolah memandu dibatalkan dan tidak diluluskan sejak enam tahun lalu. Menurutnya, mereka tidak berpuas hati dengan alasan pembatalan yang dikatakan tidak mengikut Kaedah Kenderaan Motor Sekolah Memandu 1992.

“Antara alasan pembatalan ialah kerana sekolah memandu telah bergabung untuk mewujudkan institut memandu dan tidak memenuhi syarat ditetapkan oleh Jawatankuasa Permit Institusi Memandu (JPIM) Malaysia Barat.

“Kebanyakan sekolah memandu yang dibatalkan permit ini dimiliki mereka yang sudah hampir 40 tahun mengusahakannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kok Fee yang juga Naib Pengerusi Persatuan Institut Sekolah Memandu (Perpisma) Malaysia berkata, namun mereka ini masih berkeupayaan untuk mengusahakan perniagaan. Menurutnya, ada di antara sekolah memandu terpaksa bergabung menjadi institut memandu kerana tidak mempunyai modal untuk mengembangkan perniagaan.

“Pembatalan permit menyebabkan ramai kakitangan sekolah memandu terpaksa berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain.

“Pihak kami sudah beberapa kali membawa perkara ini kepada pihak atasan termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia namun tidak mendapat maklum balas sewajarnya,” katanya.

Kok Fee berkata, selari dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah wajar masalah pemilik sekolah memandu ini diambil perhatian.

Menurutnya, pihaknya juga merancang dalam waktu terdekat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa permasalahan tidak berkesudahan ini.

0 comments:

share2