KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin mengundurkan diri adalah cetusan awal secara psikologi bahawa politik beliau sedang sampai ke hujungnya. Reaksi terhadap kenyataan itu tidak diterima dengan hebat oleh khalayak. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyatakan Anwar patut undur sekarang.
Kes Anwar-Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang sedang berada di Mahkamah Rayuan adalah hal yang menarik untuk difikir. Jangkaan umum dulu Anwar akan kena lantaran ada asas prima-facie, Mohd. Saiful adalah saksi yang berwibawa dan Anwar dipanggil membela diri. Tetapi mahkamah tetap mahkamah. Ia membuat keputusan dan keputusan itu boleh dicabar di mahkamah yang lebih tinggi.
Katakan di mahkamah yang lebih tinggi Anwar terbabit, kesannya kepada Pakatan adalah besar. Kesan terhadap Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali lebih besar lagi kerana walaupun mereka berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tapi kem mereka tidak sama.
Kesan kepada Pakatan Rakyat adalah mencari siapa pengganti Anwar. Lim Kit Siang atau Datuk Abdul Hadi Awang. Pas tidak akan semudah itu menyerahkan jawatan nombor satu ke Putrajaya kepada DAP. Ketiadaan Anwar nanti boleh menyebabkan Azmin juga membina cita-cita kerana de facto Anwar dalam PKR ialah Azmin.
Bila ini terjadi Wan Azizah tidak akan berdiam diri. Kem Wan Aziz-Faekah-Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Nurul Izzah dan kem Azmin masing-masing akan menunjukkan kekuatan siapa yang lebih berpengaruh.
Kes Faekah dibaca umum adalah bukti pertarungan dua kem berkenaan. Isu yang dibangkitkan oleh MCA dan Barisan Nasional (BN) Selangor mengenai isu Talam menguntungkan Azmin. Isu iringan surat Faekah kepada suatu permohonan dilihat oleh Abdul Khalid biasa saja. Surat iringan yang sama pada masa lalu yang menyebabkan tindakan berlaku menyebabkan Abdul Khalid dalam dilema.
Sehingga kini Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dan de facto kepimpinan utama PKR tidak mampu berbuat apa-apa. Diambil tindakan kepada Wan Azizah-Khalid dan menyebelahi Azmin ibarat ditelan mati emak dan diluah mati bapa.
Khalayak berpendapat kalau isu yang sekecil ini Anwar tidak mampu menyelesaikannya betapa untuk jadi Perdana Menteri yang isunya jauh lebih besar dari isu itu. Itu dalam keadaan Anwar masih ada dan masih berperanan.
Kalau Anwar tidak mampu berperanan lagi , apakah Wan Azizah sebagai Presiden PKR akan membuat keputusan sendiri atau Azmin sebagai Timbalan Presiden akan terus mendapat arahan dari Anwar hingga akhirnya konflik Wan Azizah- Azmin menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan lagi.
Seperti juga Anwar, Azmin menghadapi masalah integriti yang amat serius dalam soal moralnya. Azmin yang 'melupakan" ibunya, dakwaan yang berterusan adiknya Ummi Hafilda ditanggapi khalayak sebagai isu yang belum terlerai.
Anwar sepatutnya menasihatkan Azmin mengenai hubungannya dengan ibunya tetapi itu tidak berlaku. Kalau seluruh anggota keluarga menyebelahi Ummi Hafilda tentu ada sesuatu yang tidak kena kepada Azmin. Khalayak mengharapkan Azmin kembali semula kepada ibu dan menyaman Ummi Hafilda atas kes-kes yang dibangkitkan. Inilah integriti yang dituntut terhadap ahli politik yang bercita-cita besar.
Kalau ini berlaku dalam PKR, bagaimana Pas dan DAP ingin bergantung kepada Anwar. Agak sulit untuk Pas dan DAP mendukung Pakatan Rakyat tanpa Anwar bersamanya. Pas mahukan Anwar dan DAP kerana motif politik kerusi.
Tidak mungkin Pas menguasai Malaysia tanpa dukungan DAP. Dan tidak mungkin DAP mempunyai saham yang besar dalam pemerintahan tanpa dukungan Pas. Dan tidak mungkin Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya tanpa dukungan Anwar.
Takdirnya kes Mahkamah Rayuan atau Persekutuan menyebabkan Anwar terpaksa meninggalkan politik tentu DAP dan Pas akan menghadapi situasi baru yang amat mencabar. Pertama, kem-kem dalam PKR mula berantakan mengenai siapa akan menjadi teraju dalam kepimpinan dan menentukan calon yang bakal bertanding.
Pas tidak mungkin menerima Azmin sebagai pengganti Anwar mahupun Wan Azizah sebagai Perdana Menteri. DAP tidak mungkin ingin melangsungkan cita-cita Karpal Singh untuk melantik seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri dan ia juga bercanggah dengan hasrat Pas.
Kalau begitu apakah cita-cita untuk sampai ke Putrajaya ini hanya suatu fatamorgana atau miraj yang indah pada cita-cita tetapi realitinya hampa dan kosong. Lazimnya cita-cita besar begini perlu didukung oleh pemimpin yang berintegriti tinggi. Dari sudut Pakatan, dasar parti harus jelas dan merintis ke jalan wehdah atau kesatuan.
Mana mungkin sebuah parti yang memperjuangkan negara Islam yang terpaksa dilunakkan menjadi negara berkebajikan bekerjasama dengan parti yang mendukung faham sosialis demokratik. Mana mungkin juga sebuah parti Islam boleh membisu terhadap elemen-elemen liberalisme, pluralisme dan elemen sosialis dalam PKR.
Kenyataan di atas sudah memadai untuk membawa kesimpulan bahawa diwaktu ini perbezaan itu boleh ditenggelamkan walaupun mereka menyedari ini suatu masalah tetapi apabila kuasa sudah ditangan perbezaan ini bakal terserlah. Dan Pas akan terus melakukan justifikasi. DAP bakal menyerlahkan konsep Malaysian Malaysianya secara halus dan PKR bakal menuntut perlaksanaan faham liberalisme dan pluralisme dalam sistem.
Jika ini berlaku tanpa kehadiran Anwar apa akan jadi kepada Putrajaya dan apa akan jadi kepada Malaysia. Hanya yang arif saja yang dapat mengenal manikam.
0 comments:
Post a Comment