Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 23, 2012

Nama Parti Islam Tidak Bermakna Mereka Beriman


DALAM Islam satu perkara yang cukup dititik beratkan ialah menunaikan janji. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra, ayat 34 yang bermaksud:

"...Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."

Menunaikan janji begitu penting dalam Islam sehingga mereka yang memungkirinya dianggap sebagai munafik seperti maksud hadis ini: Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dianggap munafik iaitu orang yang apabila ia bercerita ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan (sesuatu ) ia khianat.

Selain itu Allah juga berfirman dalam surah Al-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud;

"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Oleh itu janji tidak harus dilafazkan begitu sahaja tanpa ada iltizam untuk menunaikannya dengan bersungguh-sungguh apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang bertaraf pemimpin.

Dalam konteks politik negara sekarang, kita melihat bagaimana sesebuah parti begitu mudah melafazkan janji itu dan janji ini kepada rakyat. Mereka berjanji macam-macam ibarat mahu memetik bintang dan bulan di langit bagi meraih sokongan rakyat.

Tetapi kesudahannya apabila kuasa diberikan oleh sebahagian rakyat yang terpengaruh dengan janji-janji manis tersebut, akhirnya rakyat berkenaan mula menyedari betapa mereka menjadi antara golongan yang terpedaya.

Sebab itulah, kenyataan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan Syeikh Dr.Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool yang mengingatkan rakyat negara ini supaya memilih parti yang mampu melaksanakan setiap manifesto dijanjikan tidak harus dipandang remeh.

Mungkin bagi penyokong-penyokong parti pembangkang terutamanya Pas yang turut dipimpin oleh sebahagian ulama, kenyataan itu berbaur politik memandangkan ia diucapkan ketika Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baru-baru ini.

Tetapi pokok pangkalnya ialah kita harus mengkaji kebenaran di sebalik saranan itu dan bukannya melihat ia daripada sudut politik semata-mata.

Ini kerana janji yang dilafazkan di hadapan rakyat bukan sekadar persoalan kehidupan di dunia malahan ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.

Mungkin di dunia, boleh sahaja antara kita berhujah, "…dia tidak setuju dia punya fasal…" Persoalannya apakah hujah yang hendak kita ketengahkan itu berlandaskan kepada seruan Islam yang sebenar-benarnya atau demi kepentingan politik?

Sejarah politik negara sudah membuktikan bagaimana Pas yang suatu ketika begitu bersemangat memperjuangkan Islam tidak berdaya melaksanakan banyak janji yang dibuat semasa pilihan raya.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan terlalu banyak janji yang sekadar menjadi hiasan dalam buku atau risalah manifesto pilihan raya.

Sememangnya rakyat tidak berdaya berkata apa-apa lagi kerana keputusan sudah dibuat, tambahan pula sebahagian mereka mengundi Pas kerana merasakan parti itu akan memperjuangkan Islam seperti mana yang sering mereka laung-laungkan.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, Pas bukan sahaja tidak berdaya menunaikan janji malahan kesepakatan yang dicapai bersama sekutunya juga tidak mampu dilaksanakan.

Bagi umat Islam di negara ini, dalam kita berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dianggap bakal menjadi penentu kepada nasib agama, bangsa dan negara kita maka berfikirlah dengan matang.

Janganlah mudah terpengaruh dengan hujah-hujah berbentuk Islamik tetapi apabila diberi amanah pihak berkenaan gagal menunaikan janji yang dibuat malahan memberi seribu alasan kenapa ia tidak dapat dilaksanakan termasuklah menyalahkan lawan politik mereka.

Kita harus faham, sebagai umat Islam sudah tentulah kita mahu syiar Islam terus diperteguh dan diperkukuhkan di negara ini dalam apa juga bidang tetapi ia bukan boleh dilakukan melalui slogan, janji kosong atau retorik semata-mata.

Sebaliknya, selain komitmen yang jitu serta keikhlasan, kita juga perlu mengkaji sejarah politik negara pihak mana yang lebih dilihat berjaya melaksanakan amanah berkenaan.

Menuduh orang lain memperjuangkan nasionalis dan menolak Islam memang mudah, mengatakan mengundi parti kita akan memperolehi pahala memang senang dan menguar-uarkan bahawa kita perjuang Islam memang boleh dilakukan.

Tetapi apakah benar orang yang berkata demikian jauh lebih baik daripada orang yang 'diumpatkan' itu? Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Janganlah kamu sekelian dengki-mendengki, janganlah benci-membenci, janganlah menambah harga terhadap barang yang hendak dibeli oleh saudaramu, janganlah musuh-memusuhi, jangan umpat-mengumpat sesetengah kamu dengan sesetengah yang lain, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Sememangnya kadang kala kita berasa bosan dan menganggap begitu angkuh sekali sesetengah pemimpin Pas yang secara bulat-bulat menolak hujah ulama-ulama terkemuka dalam sesuatu isu yang boleh dikaitkan dengan parti tersebut.

Namun kita juga harus memahami begitulah sikap Pas yang semakin termakan dengan janji-janji politik merebut kekuasaan bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Walaupun hujah para ulama berkenaan dilakukan demi kesejahteraan umat Islam di negara ini secara keseluruhannya tetapi ia begitu sukar untuk diterima oleh Pas.

Ada sahaja hujah yang akan dikeluarkan termasuklah mempertahankan pendirian mereka mengenai keperluan menangguh ibadat haji semata-mata bagi menghadapi pilihan raya.

Semua ini sebenarnya hanya akan merugikan umat Islam kerana kita akan terus berpecah-belah kerana hujah-hujah berlandaskan agama demi kepentingan politik yang dilemparkan oleh ulama-ulama tertentu.

Oleh itu adalah wajar, umat Islam yang akan menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.

Tidak salah untuk terus menyokong usaha menegak dan memperkembangkan Islam tetapi pilihlah mereka yang benar-benar layak serta berupaya untuk berbuat demikian.

Ini kerana seperti mana yang dikatakan oleh Syeikh Dr. Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool, nama bagi parti tidak penting sebaliknya kemampuan melaksanakan janji-janji kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat seharusnya menjadi sandaran sebagai parti pilihan.

Dalam soal ini, dengan fikiran yang jernih dan lapang serta mengingati Allah SWT sebanyak-banyak kajilah perjalanan perkembangan Islam di negara ini, apakah ia terus terperuk atau semakin cemerlang sehingga memungkinkan Malaysia bukan sahaja menjadi negara Islam contoh tetapi juga umat Islamnya semakin maju dalam pelbagai bidang.

Ingatlah, para pemimpin yang tidak berhujah berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata mampu membawa 'bencana' kepada umat Islam di negara ini. Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk!

0 comments:

share2