Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 25, 2012

Bayi Maut Kemalangan Jalan Raya


BERA - Seorang bayi berusia lapan bulan bersama ibu bapanya maut dalam satu kemalangan apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah bertentangan. Mangsa, Mohd Solehuddin Jaabar Ismail, 28, Nor Ashikin Ismail, 28 dan bayi itu, Ahmad Habibi yang berasal dari Felda Sebertak dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bahau setelah menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kemalangan itu berlaku kirakira jam 5.20 petang kelmarin di Kilometer 14, Jalan Temerloh–Bahau dekat sempadan Bera–Temerloh.

Menurutnya, kereta Honda Accord itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi (Mohd Solehuddin Jabbar) dan anaknya mengalami kecederaan parah serta meninggal serta-merta.

“Isteri mangsa pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh berikutan me- ngalami pendarahan yang teruk,” katanya.

Mohd Solehuddin merupakan pegawai perangkaan di Jabatan Perangkaan Kuantan, sementara Nor Ashikin pula bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Papan sebagai pembantu tadbir.

Difahamkan, rempuhan kuat itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian enjin kereta mangsa, namun ia berjaya dikawal anggota bomba. Mohd Zahid berkata, kereta Honda Accord itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika cuba melepasi selekoh di jalan mempunyai garisan putih berkembar tersebut.

Katanya, pemandu Honda Accord itu, Chong Chun Yong, 33, turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hoshas.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Honda Accord yang memandu laju di kawasan selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh kenderaan mangsa.

“Saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi talian 09-2502222 untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen (41) (1) APJ 1987 ini,” katanya. Difahamkan, semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sebertak, tengah malam kelmarin.

0 comments:

share2