Demonstrasi anti PTPTN
tidak lama dulu oleh sekumpulan mahasiswa pro pembangkang sekalipun gagal sama
sekali apabila dari 5,000 orang sasaran penyertaan hanya 200 - 300 orang sahaja
yang hadir namun kelibat beberapa pelajar UM dalam demo tersebut tentu sahaja
menuntut tindakan bersesuaian daripada pihak pentadbir universiti.
Antara yang telah
dikenalpasti merupakan pelajar UM ialah Haziq Abdullah, Syahid Zaini, Safwan
Anang dan beberapa yang lain. Ramai yang tertanya-tanya apa langkah selanjutnya
yang bakal diambil terhadap pelajar tersebut berikutan penglibatan mereka dalam
demonstrasi tersebut.
Haziq misalnya adalah
antara individu yang bertanggungjawab membawa gambar Perdana Menteri dengan
kalungan bunga kematian, satu tindakan yang agak biadap dan bersifat provokasi
sewajarnya disegerakan tindakan tegas terhadapnya.
Mana mungkin seseorang
pelajar universiti yang tugas utamanya menelaah pelajaran boleh di biarkan
bebas berkeliaran menyertai aktiviti politik sekalipun ada tikanya buah fikiran
mereka berguna untuk negara namun ada tempat dan tikanya yang sesuai untuk
tujuan tersebut.
Demonstrasi jalanan
ditambah lagi dengan perlakuan biadap, kurang ajar dan melampaui tabie asas
seorang pelajar universiti tentu saja sukar diterima masyarakat sementelah lagi
isu pemansuhan PTPTN yang mereka laungkan juga hasil usul dari golongan
partisan yang hanya memperalatkan mereka untuk tujuan kepartian.
Walhal ramai mengakui
hakikat dengan adanya dana pinjaman pendidikan dari PTPTN sejak lebih kurang 14
tahun ianya beroperasi telah membantu ratusan ribu rakyat melanjutkan pelajaran
ke ipt, tiba-tiba kali ini semata-mata hampir pilihanraya umum ke 13 ianya
menjadi puching beg orang politik, apakah logik untuk kita hapuskannya begitu
saja?
PTPTN pula bukannya
satu skim pinjaman bersandarkan keuntungan, semua dana yang ada dan jumlah
bayaran diterima dikitar semula untuk kegunaan generasi pelajar akan datang dan
caj perkhidmatan 1% yang dikenakan pula untuk menampung segala kos pentadbiran
termasuklah pengurusan, kakitangan, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.
Dan pula, PTPTN tidak
sama sekali mewajibkan pelajar memohonnya. Semua bergantung pada kemahuan
individu tidak mengira miskin atau kaya, jika memerlukan wang pinjaman maka
PTPTN adalah tempatnya. Tapi jika berasa cukup mampu menanggung segala kos
pengajian dan sara hidup selama 2 hingga 5 tahun di universiti, tiada paksaan
untuk menggunakan khidmat PTPTN.
Andaikata masih ada
segelintir pelajar begitu kemaruk mahukan pendidikan percuma sebagaimana
dilaungkan dalam demo tersebut, ringan-ringankanlah otak untuk berfikir dan
rajin belajar supaya mampu mencapai keputusan cemerlang dengan kelulusan ijazah
kelas pertama tentu sahaja hutang pinjaman dilupuskan tanpa bayaran satu sen
pun.
Berbalik kepada isu
penyertaan beberapa pelajar UM dalam demonstrasi anti PTPTN sebagaimana disebut
di awal tulisan ini, sekali lagi ditekankan keperluan pentingnya tindakan
segera pihak pentadbir universiti bertegas dengan kebiadapan
pelajar-pelajarnya.
Jangan ditunggu hingga
ada yang terdetik dalam hati menyangkakan yang Naib Canselor UM hanya makan
gaji buta dek kerana lambat bertindak dan kurang responsif terhadap isu
tersebut.
Kita tidak mahu suatu
hari kelak bakal lulusan universiti tergolong dari sekumpulan manusia yang
kurang ajar, biadap dan menjengkelkan sikap perwatakannya sedangkan sifat dan
tabie asas seseorang terpelajar mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada
masyarakat.
Apatah lagi mereka
bukan sahaja menggalas harapan ibubapa dan negara supaya menjadi insan yang
berguna malah suatu hari nanti khidmat mereka diperlukan untuk menabur jasa
bakti bagi pembangunan masyarakat dan negara.
Justeru itu, segeralah
bertindak untuk kebaikan bersama agar ia tidak menjadi ikutan kemudian hari
kelak yang tentu sahaja jika dibiarkan bukan sahaja memberi kesan terhadap nama
baik UM sendiri malah akan menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keupayaan
UM untuk mendidik generasi masa depan.
0 comments:
Post a Comment