Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 4, 2012

SAR Terima Bantuan Kewangan RM549,350

Sebanyak 25 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah Parlimen Indera Mahkota menerima peruntukan sebanyak RM549,350 bagi meningkatkan kualiti kelas agama dan fardu ain serta pembangunan fizikal sekolah terbabit.

Pengerusi Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusuf berkata, setiap sekolah terbabit akan menerima RM21,974 dan penekanan diberikan kepada penambahbaikan bangunan serta kelengkapan bilik darjah.

Menurut beliau, semua urusan bantuan itu dilakukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Peruntukan itu disalurkan oleh Kementerian Pelajaran bertujuan untuk pembangunan SAR bagi menjamin keselesaan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru serta pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kewangan kepada sekolah terbabit di sini semalam.

Mohd. Hazmi berkata, bantuan tersebut secara tidak langsung membolehkan pengurusan sekolah melaksanakan kerja penambahbaikan dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu sumber kewangan lain.

Jelasnya, keprihatinan kerajaan dalam membantu pembangunan SAR di seluruh negara membuktikan perkara berkaitan agama seiring dengan akademik.

"Melalui P&P yang lebih sistematik dan tersusun, negara dapat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik dan agama yang seimbang seterusnya melahirkan modal insan kelas pertama bertaraf dunia," katanya.

Dalam pada itu beliau meminta pengurusan SAR mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan dengan lebih jelas mengikuti syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Mana-mana sekolah yang belum mendapat bantuan, segera kemukakannya tetapi ia hendaklah lengkap dan jelas supaya proses dapat dipermudahkan," katanya.

0 comments:

share2