Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 16, 2012

Anwar Ibrahim Adalah Ancaman Kepada Keselamatan Negara

PENDEDAHAN Rahimi Osman, bekas pembantu Anwar Ibrahim selama tiga tahun mengenai campur tangan berbentuk dana asing dalam politik dan pilihan raya di Malaysia adalah sesuatu yang amat serius. Dia menyatakan sejak 2007, surat yang ditulis kepada Presiden National Endowmwnt for Democracy (NED), Carl Creshman dan George Soros adalah benar.

Kata Rahimi , badan perisikan antarabangsa turut menghantar lima utusan khas bagi membantu pembangkang. Bermula 2007 seorang warganegara Amerika Syarikat, Aasil Kazi Ahmad dibayar sehingga AS$30,000 sebulan dan dia yang dibantu oleh tiga lagi lelaki asing merangka gerak kerja, perang saraf serta latihan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk bagaimana maklumat dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diceroboh.

''Aasil Kazi ialah utusan khas yang dikirim oleh agensi perisikan antarabangsa tersebut bagi membantu menjayakan misi menabalkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

''Rancangan besar pihak asing turut menyalurkan dana dalam jumlah mencecah beratus-ratus juta dolar Amerika. Hasil dana tersebut membolehkan Anwar membayar wang deposit kepada semua calon PKR dan Rahimi bertanggungjawab memasukkan wang tersebut ke dalam akaun calon masing-masing,'' dakwa Rahimi.

Mengenali tugas Rahimi di pejabat Anwar suatu ketika dulu, memang dia tahu apa yang berlaku kepada Anwar. Sebab itu kenyataan detailnya dalam AIDC News yang pernah penulis baca membayangkan lebih daripada itu termasuk soal moral dan hubungan baiknya dengan Saiful.

Rahimi tahu apa yang berlaku kepada Mohd. Saiful Bukhari Azlan, kerana dia yang memperkenalkan Mohd. Saiful kepada Anwar dan Mohd. Saiful memberitahu kepadanya apa yang terjadi antaranya dengan Anwar.

Bila Rahimi 'ditahan' suatu ketika di Hotel Quality, Shah Alam selama beberapa hari atas arahan Anwar tentu ada sesuatu yang tak kena kerana Mohd. Saiful sudah membuat aduan polis kerana kesnya.

Apabila Rahimi disuruh membuat Akuan Bersumpah palsu mengenai sesuatu ia menimbulkan syak yang tinggi mengapa ia berlaku.

Apa yang didedahkan oleh Rahimi menyentuh keselamatan negara secara langsung. Kalau ia berlaku pada 2007/2008 sewaktu Pilihan Raya Ke-12, seperti dakwaan Rahimi, sudah tentu ia boleh berlaku semula pada Pilihan Raya Umum Ke- 13 yang bakal menjelang.

Hubungan Anwar dengan agen-agen berkenaan bukan bersifat hubungan diplomatik atau kerajaan dengan kerajaan tetapi ia adalah hubungan jauh dari itu.

Kalau George Soros yang dianggap oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penyangak mata wang yang merosakkan ekonomi sesebuah negara mengapa pula Anwar berkawan dan menulis surat kepada Soros. Untuk maksud apa Anwar berbuat demikian. Apakah Anwar mempunyai maksud udang di sebalik batu?

Pada hemat penulis, kerajaan dan pihak keselamatan negara harus bertindak tegas dan cepat supaya maruah negara tidak menjadi rosak dan politik negara menjadi kucar-kacir akibat campur tangan politik dan dana asing yang boleh menjahanamkan keselamatan dan kestabilan negara.

Rahimi harus dipanggil untuk mendapatkan maklumat yang lengkap kerana beliau tidak akan berani berkata sesuatu sekira di tangannya tidak ada bukti.

Peruntukan undang-undang mengenai keselamatan negara harus digunakan dengan adil supaya agen-agen perosak keselamatan negara dapat dibanteras sebelum ia bermaharajalela.

Kuasa-kuasa luar yang berkepentingan memang amat suka menggunakan tokoh-tokoh berkepentingan untuk niatnya sendiri. Kejatuhan sesebuah negara pada masa lalu terdapat hubungan dengan agensi asing yang menyalurkan maklumat yang dibocori dan dana yang banyak untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan atau nama demokrasi dan menghormati hak asasi manusia.

Slogan ini dijadikan alasan hingga menyebabkan kerajaan berubah dan kuasa asing akan menjadikan tokoh yang berkaitan sebagai boneka untuk mengikuti telunjuk kuasa asing tersebut.

Isu Anwar dengan kuasa asing yang dipaparkan di media perdana dan media baru semakin menjadi-jadi. Anwar tidak pula menafikannya dan tidak pula mahu menyaman media perdana tersebut.

Tuntutan Majlis Syura Pas supaya Anwar menyaman Wall Street Journal kerana kenyataannya mengenai sokongan Anwar terhadap keselamatan negara Israel juga tidak dipedulikan.

Anwar bercita-cita besar untuk sampai ke Putrajaya selepas PRU-13 yang bakal menjelang. Anwar semakin pupus kredibilitinya dan tidak menghiraukan pandangan banyak pihak tentang apa yang telah berlaku dan apa yang sedang dilakukannya.

Faham pluralisme, librealisme yang cuba dikembangkannya, kenyataannya mengenai LGBT yang dikecam oleh banyak pihak, isu moral yang masih belum selesai ditambah pula hubung-kaitnya dengan agensi asing yang kontroversi semacam bukan isu baginya.

Dalam kalangan pengikut tegarnya walaupun ramai sudah meninggalkannya dan partinya, namun terdapat sebilangan pengikut tegar yang menghadapi sindrom "mental-block', tidak mahu mendengar pandangan orang lain, memiliki kemampuan menganalisis secara ilmiah juga tidak dapat melakukannya, kalangan yang menganggap Anwar itu "maksum" sehingga kebenaran tidak ada pada orang lain, hanya ada pada Anwar.

Sebab itu pendedahan Rahimi menambah lagi bukti tentang siapa Anwar sebenarnya. Terlalu banyak yang didedahkan oleh Raja Petra Kamaruddin dalam blognya, Chandra Muzaffar dalam kenyataannya, Datuk S. Nalakaruppan dalam dakwaanya, Datuk Zulkifli Noordin dalam analisisnya dan Ummi Hafilda dalam ceramahnya, Ezam Mohd. Nor dalam pengalamannya dan ramai lagi.

Orang yang dinyatakan itu semuanya ialah kerabat Anwar suatu ketika dulu. Mereka tidak saja pernah menjadi pengikut dan pengagum Anwar tetapi sangat dekat dengan perjuangan Anwar.

Kalau mengatakan mereka ini dibeli oleh pihak lain kerana sesuatu maksud apabila meninggalkan Anwar, tidak ada pula bukti yang ditunjukkan. Ia hanya sekadar dakwaan seperti dakwaan beliau bahawa kes Anwar- Saiful adalah suatu konspirasi.

Anwar nampaknya sedang melatih orang baru yang masih belum tahu siapa sebenarnya Anwar. Orang ABIM dalam PKR sudah tidak ramai. Tinggal Dr. Mohd. Nor Manuty dan beberapa lain. Musatafa Kamil Ayub yang tewas dengan Azmin Ali semacam menarik diri. Pengorbanan Mustafa Kamil sangat tinggi dalam PKR tetapi kerana Azmin, Mustafa Kamil terpinggir malah peranannya di PKR Perak pun semacam tidak ada lagi.

Begitulah nasib kawan-kawan Anwar. Belum habis manis sepah dibuang. Kalau itu boleh berlaku kepada kawan lama ia juga akan berlaku kepada kawan-kawan baru Anwar yang masih hingus dalam sepak terajang politik dan masih tidak kenal Anwar lagi.

Suatu ketika nanti mereka akan menjadi orang tidak perlu kerana akan ada orang lain yang sudi pula membantu Anwar. Itulah taktik Anwar memcatur langkah politiknya untuk sampai ke Putrajaya.

Oleh itu pendedahan Rahimi harus menjadi pembuka mata kepada rakyat supaya lebih peka mengenai Anwar dan kaitannya dengan agensi asing yang mempunyai kepentingan politik dan kuasa bagi negara kita.

Rakyat Malaysia sudah tentu tidak rela politik demokrasinya dipercaturkan oleh pihak lain sehingga kepimpinan negara ini adalah di bawah telunjuk kuasa asing.

0 comments:

share2