Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2012

Program 1Azam Membantu Membasmi Kemiskinan


Program Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya menarik 65,000 peserta dari seluruh negara tahun lalu.

Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, program berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk.

"Langkah itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah menceburi bidang perniagaan berteraskan konsep keusahawanan sosial.

"Kementerian juga menggunakan pendekatan kebajikan produktif dalam usaha memperbaiki taraf kehidupan golongan miskin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Barangan 1Azam Parlimen Lipis di Kampung Penjom di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Suhaimi menyerahkan bantuan peralatan perniagaan bernilai RM495,000 kepada 99 penduduk daerah ini menerusi program Karisma Teman 1Azam.

Menurut Suhaimi, usaha kementerian memperkenalkan program itu merupakan strategi kerajaan bagi menggalakkan golongan tersebut berdikari menerusi bidang keusahawanan.

"Program ini mampu membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan terbukti sebelum ini ramai peserta berjaya meningkatkan jumlah pendapatan antara RM500 sehingga RM700 sebulan," jelasnya.

Suhaimi yang juga Timbalan Ketua UMNO Lipis berkata, kementerian turut memberikan bantuan perniagaan kepada 30 orang masing-masing kaum Cina dan India di Parlimen Lipis dalam usaha merangsang mereka memajukan perniagaan sedia ada.

"Peserta program Karisma Teman 1Azam juga akan dipertimbangkan untuk menerima pinjaman kewangan melalui skim pinjaman mikro dari Amanah Ikhtiar Malaysia dan institusi kewangan lain," katanya.

0 comments:

share2