Seramai 45 murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 1 di sini menerima sumbangan kelengkapan persekolahan sumbangan Yayasan Felda baru-baru ini.
Pengurus Felda Kota Gelanggi 1, Abu Kassim Abd. Rahman berkata, sumbangan tersebut diberikan kepada semua murid tahun satu di sekolah berkenaan.
"Hari ini kami menyampaikan sumbangan beg sekolah, kasut, uniform dan stokin kepada semua murid tanpa mengira latar belakang keluarga mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di sekolah itu di sini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Abdul Ghani; Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zaidi Ahmad dan Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Sabri Yakub.
Abu Kassim berkata, sumbangan tersebut merupakan aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial Felda terhadap masyarakat setempat.
"Kami berharap pemberian kelengkapan persekolahan itu dapat mengurangkan beban keluarga mereka dan memberi galakan kepada murid untuk terus belajar serta tidak ponteng sekolah," katanya.
Beliau memberitahu, ibu bapa mesti melibatkan diri dalam aktiviti atau program sekolah yang melibatkan mereka kerana ia sangat penting.
"Ibu bapa harus melapangkan masa untuk hadir dalam semua aktiviti yang dianjurkan terutama mesyuarat PIBG dan perjumpaan ibu bapa kerana mereka dapat mengetahui prestasi anak-anak dengan lebih dekat apabila berdepan dengan guru.
"Pada masa sama saya juga menyeru ibu bapa memantau pergerakan anak mereka supaya tidak ponteng sekolah terutama murid tahun enam yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," jelasnya.
Sementara itu seorang pekerja kilang sawit, Aminudin Mohd. Salleh, 41, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Felda yang tidak mengabaikan kebajikan masyarakat setempat.
0 comments:
Post a Comment