Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 3, 2011

UMNO Pahang Membantu Warga Emas


Seramai 125 warga emas menerima bantuan cermin mata daripada Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) Parlimen Indera Mahkota pada satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.

Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Mohd. Hazmi Yusof dan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Shahruddin Shamsuddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhaimi Sulong.

Menurut Mohd. Hazmi, seramai 736 warga emas yang majoritinya berusia 60 tahun ke atas dari kawasan Parlimen itu mendapat bantuan berkenaan secara berperingkat-peringkat.

Katanya, sumbangan itu merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat golongan itu turut diberi perhatian supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka dengan lebih berkesan.

"Bantuan diberikan semua kaum tanpa mengira fahaman politik dan untuk membantu golongan ini kita melantik sebuah kedai cermin mata yang mana warga emas terbabit akan membuat pemeriksaan mata sebelum menerima cermin mata tersebut," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di sini.

Jelasnya, selain cermin mata, 70 rumah yang usang dan rosak di Parlimen itu turut dibaiki dan digantikan atap, dinding baru dan lain-lain.

Dalam pada itu seorang nelayan, Abdul Abu, 77, dari Kampung Pantai Beserah di sini terharu kerana selama ini impiannya untuk menerima sepasang cermin mata baru akhirnya tercapai.

Dia yang mengalami masalah rabun dekat sejak awal tahun ini memberitahu, hasrat untuk memiliki cermin mata tidak kesampaian kerana tidak mampu berikutan hasil pendapatan sebagai nelayan tidak menentu.

"Pendapatan tidak menentu iaitu RM20 sehari, kadang-kadang tak dapat banyak. Jadi memang saya tidak mampu untuk membeli cermin mata sendiri," katanya.

0 comments:

share2