Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 28, 2011

MEDIA SOSIAL MASIH GAGAL DIFAHAMI UMNO




1. Masih ramai para pemimpin UMNO yang masih gagal menguasai media sosial dengan sebaiknya. Malahan mereka juga masih gagal memahami peranan sebenar serta impak yang mampu diberikan jika disalahgunakan. Lebih malang bila ada diantara pemimpin UMNO yang memandang remeh kesan yang mampu diberikan dalam propoganda politik oleh pembangkang.

2. Sikap memandang remeh media sosial ini telah membuatkan UMNO berada ditahap yang lemah kerana pembangkang menggunakan media sosial sebagai 'api yang membakar didalam sekam' dan ada sebahagian dari pemimpin UMNO masih menganggap bahawa UMNO kuat, masih kuat ada akan kuat selama-lamanya tanpa menyedari kekuatannya sudah semakin hakis kerana propoganda pembangkang.



Baca tulisan Kickdefella sepenuhnya dibawah ini;

Jika Media Baru Penentu PRU13 dan RM10 Juta Untuk Rocky

Antara kesilapan besar Barisan Nasional dibawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi ialah memusuhi media baru. Bagaimanapun Barisan Nasional masih boleh bersyukur kerana pada waktu itu media baru banyak berkisar kepada ruang-ruang blog dan portal sahaja.
Waktu itu juga, Blackberry masih menjadi mainan eksklusif golongan korporat dan iPhone hanya dimiliki oleh Khairy Jamaluddin. Twitter dan Facebook belum muncul. Tablet walau sudah ada, tetapi tidak popular dan terbatas kepenggunaannya.
Maklumat yang mengancam Kerajaan Abdullah di ruang siber, kebanyakkannya dari ruang-ruang blog. Ditulis dengan panjang lebar dan terperinci. Lantaran memerlukan setidak-tidaknya komputer riba dan masa yang terluang untuk membacanya dengan selesa. Kerajaan Abdullah bagaimanapun masih hilang majoriti 2/3 dan kehilangan 5 negeri.
Kalaulah sewaktu PRU 12 dahulu Abdullah berdepan dengan teknologi hari ini, saya yakin BN sudah kehilangan tampuk kuasa di peringkat persekutuan.
Berbeza dengan blog, twitter dan facebook lebih mesra pembaca. Kandungannya terbatas dan senang diakses pada bila-bila masa dengan memiliki telefon pintar yang sudah menjadi seolah satu kemestian generasi hari ini. Kerana ianya ringkas, ia lebih merbahaya dan mengelirukan serta amat cetek gambaran sebenar sesuatu scenarionya. Berbeza dengan tulisan di blog yang lebih panjang dan terperinci, kandungan Twitter dan FB yang ringkas memberi ruang luas kepada imaginasi liar seseorang pembaca.
Bagaimanapun ianya juga penyampai maklumat paling berkesan kerana ianya boleh disebarkan lebih pantas dari Bernama menghantar berita ringkas ke telefon bimbit pelanggannya.
Didalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini, Presidennya, Dato’ Sri Najib Razak menekankan bahawa adalah satu kemestian untuk UMNO menguasai media baru ini bagi menjamin terus kekal ditampuk kuasa. Sebaliknya, pembangkang di Semenanjung, sudah menjuarai media baru ini seawal lewat 90 an lagi.
Media baru diguna dengan meluas oleh pembangkang terutamanya golongan penyokong reformasi dalam pilihanraya 1999 dan 2004 tetapi kesemuanya gagal untuk mencederakan UMNO dan Barisan Nasional menyebabkan ianya menjadi angkuh berhadapan dengan media baru menjelang 2008.
Apa bezanya pilihanraya 2008 dengan 1999 dan 2004 dari perspektif media baru? Jawapannya bukan senjata tetapi orang yang menggunakan senjata itu yang menentukan berapa significant kerosakan kepada sasarannya.
Pada 1999 dan 2004, sebarang maklumat pro pembangkang hanya dibuat oleh jentera dalaman pembangkang dan mereka yang bersimpati dengan perjuangannya dan gaya serangan hanya sesuai untuk menyakinkan penyokong mereka sahaja. Pembaca yang tidak bersimpati dengan pembangkang pula mendapati sukar untuk menerima maklumat yang diberi kerana gaya penulisan dan teknik penyampaian maklumat yang disampaikan sukar meyakinkan mereka.
Sebaliknya menjelang pilihanraya 2008, kerajaan pimpinan Abdullah gagal mengenal pasti ancaman gelombang baru adalah gerakan diruang siber. Gelombang baru ini terdiri daripada penulis-penulis blog yang tidak pro pembangkang tetapi mahukan perubahan. Akibat ketiadaan agenda peribadi dan rendahnya agenda parti didalam penulisan mereka, maklumat yang mereka sampaikan mendapat sasaran yang lebih luas dan meninggalkan impak yang lebih besar. Golongan inilah membantu melengkapkan puzzle perang saraf didunia siber dan akhirnya membantu menyumbangkan kepada keputusan pilihanraya umum 2008.
Setelah pilihanraya umum 2008, Barisan Nasional amnya dan UMNO khasnya telah mengambil langkah lebih proaktif dan mendekati media baru ini dengan lebih positif. Apabila Najib Razak mengambil alih kepimpinan UMNO, media baru menjadi keutamaannya dan dia melangkah masuk ke Putrajaya bukan sahaja sebagai seorang Perdana Menteri tetapi sebagai seorang makhluk siber yang punya bukan sahaja blog tetapi juga twitter dan facebook.
UMNO juga menunjukkan peningkatan positif dari aspek penyebaran maklumat dan serangan terhadap musuh politiknya menerusi ruang siber. Ramai anak-anak muda dan juga yang tidak berapa muda bertungkus lumus dan berkorban masa dan tenaga untuk menyerang musuh UMNO dan BN diruang siber. Kebanyakan mereka ini juga berhadapan dengan pelbagai ancaman yang sering kali dipandang remeh oleh mereka di dalam partinya sendiri.
Namun begitu, kehebatan pejuang siber UMNO harus dinilai dengan teliti kerana ia seolah satu replika kepada perjuangan siber pembangkang didalam pilihanraya 1999 dan 2004. Iaitu menyerang pembangkang dengan penuh sensasi dan bergaya hanya untuk kesukaan dan kepercayaan pembaca yang sudah sememangnya membenci pembangkang. Bagusnya, ia dapat membantu menambah keyakinan ahli parti mereka sendiri tetapi impaknya hanya dikalangan mereka sahaja.
Ada dikalangan mereka yang mahu mengubah gaya, mengambil pusingan kekiri untuk belok ke kanan tetapi terpaksa berhadapan dengan tekanan dalaman kerana ada mereka yang cuba mempengaruhi penulis-penulis ini adalah haiwan purba dari generasi yang sudah hampir pupus.
Baru-baru ini, seorang ADUN pembangkang mendakwa bahawa kepimpinan Perdana Menteri sekarang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk blogger tersohor Dato’ Ahiruddin Attan atau Rocky Bru bagi mengendalikan jentera siber pro BN. Jika ini benar, maka pembangkang seharusnya berasa amat gentar sekali.
Saya ulangi, pembangkang seharusnya merasa amat gentar sekali.
Bayangkan bagaimana Abdullah Ahmad Badawi rebah tanpa sesiapa membayar Rocky walau RM1. Jika era 2008 Rocky dan angkatan sibernya boleh berjaya menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada masyarakat dengan percuma, fikir-fikirlah apa yang akan berlaku jika dia mendapat peruntukkan RM10 juta?
Saya yakin jika peruntukan itu ada, pembangkang tidak akan dapat melihat pelaburan itu, tetapi tiba-tiba sahaja mereka tersungkur tanpa sempat berfikir apa yang mencantas mereka. Dan jika mereka cuba melihat ke mana Rocky membelanjakan wang RM10 juta itu, tentu mereka tidak akan menemuinya di kondo mewah di Bangsar atau Singapura.


0 comments:

share2