Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mengangkat penjenamaan serta produktiviti pasar tani di negeri ini bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti produk dipasarkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kewujudan pasar tani banyak mengubah kehidupan para petani apabila mereka memasarkan produk serta hasil tani terus kepada pengguna.
Menurut beliau, sejak wujud hampir 30 tahun lalu, pasar tani menjadi pusat pemasaran hasil pertanian segar dan perlu menjalani proses transformasi sesuai dengan keperluan semasa.
''Walaupun mengalami pelbagai proses perubahan tetapi ia perlu diberikan penjenamaan semula supaya kehadirannya dan produk dipasarkan dapat memenuhi semua golongan rakyat.
''Sebenarnya pasar tersebut menjadi pilihan orang ramai untuk berbelanja kerana ia menawarkan harga berpatutan dan secara tidak langsung mengurangkan bebanan perbelanjaan dapur rakyat terutama dalam menangani inflasi," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pasar tani Bukit Piatu dan merasmikan Bazar Agro Gerai Rakyat serta program pemasaran motosikal roda tiga.
Turut hadir, Pengarah FAMA Pahang, Ibrahim Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Datuk Dr. Ng Keong Chye.
Menurut Adnan, program keusahawanan FAMA yang diberikan kepada peserta pasar tani banyak mengubah kehidupan mereka apabila tidak lagi bergantung kepada orang tengah yang sebelum ini sering memanipulasi harga hasil pertanian.
Katanya, pemasaran menjadi kekangan utama usahawan tani dan industri kecil dan sederhana (IKS) walaupun mereka mampu mengeluarkan produk yang berkualiti untuk memenuhi keperluan rakyat.
0 comments:
Post a Comment