Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 19, 2011

Negeri Makmur Rakyat Sejahtera


RAKYAT di Pahang menikmati pelbagai pembangunan dan kemudahan disediakan hasil perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur terbaik kepada masyarakat.

Bermula daripada aspek kesihatan sehingga kepada kemudahan jalan raya, pelbagai cara digunakan demi memastikan rakyat menikmati kehidupan selesa dan tenteram.

Pembangunan dikecapi bukan dihasilkan dengan mudah kerana ia memerlukan penelitian dan perancangan rapi supaya setiap lapisan masyarakat merasai nikmat hidup di negeri ini.

Perancangan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam merangka agenda pembangunan tidak boleh dipertikaikan memandangkan segala yang dilakukan demi kepentingan rakyat.

Beberapa projek melibatkan kepentingan masyarakat diambil kira supaya mereka tidak merasa terasing di bumi sendiri malah berbangga kerana dapat menikmati kehidupan yang dikecapi ketika ini.

Kemudahan kesihatan turut diambil berat kerana ia merupakan aspek penting dalam kehidupan. Ia dapat dilihat apabila kerajaan menaik taraf perkhidmatan hospital serta membina hospital baru di kawasan jauh dari bandar Kuantan yang perlu diberi pujian.

Sebagai contoh, bangunan hospital baru Kuala Lipis yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan perubatan serba moden, setaraf dengan hospital yang beroperasi di Temerloh dan Kuantan.


Ini kerana kerajaan negeri menyedari bahawa keperluan itu penting untuk dilakukan di daerah itu memandangkan jumlah rakyat luar bandar sukar untuk ke Kuantan atau Temerloh bagi mendapatkan rawatan.

Pembinaan hospital itu secara tidak langsung bukan sahaja menyediakan rawatan kepada pesakit tetapi juga peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Selain itu, kerajaan negeri tidak memilih kasih dalam membangunkan daerah-daerah lain di Pahang.

Misalnya, Menteri Besar memberi perhatian serius setiap aduan yang dikemukakan oleh masyarakat di wilayah Pahang Barat.

Dalam siri jelajah pemimpin negeri itu ke Jerantut baru-baru ini, beliau membaca sebanyak 38 aduan penduduk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang banyak menyentuh kelemahan dan kekurangan projek kemudahan asas, pemberian taraf hak milik tanah dan bekalan air bersih.

"Setiap aduan terutama berkaitan kemudahan asas perlu diteliti dengan sewajarnya demi kepentingan semua pihak, khususnya penduduk di luar bandar dan pedalaman," katanya.

Sikap profesional Adnan dalam menyelami masalah rakyat wajar diberi pujian oleh semua pihak. Ini kerana masalah yang berbangkit itu diambil perhatian dan diselesaikan segera mengikut keperluan tertentu.

Sememangnya, wilayah yang terdiri daripada daerah Bentong, Raub, Temerloh, Lipis dan Jerantut tidak dipinggirkan. Malah kerajaan negeri mempunyai rancangan jangka panjang untuk membangunkan kawasan itu sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk terbabit.

Di samping memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan dalam menarik pelabur tempatan dan asing melabur di Pahang. Malah sejak kebelakangan ini, beberapa daerah dan kawasan perindustrian mula mendapat tempat kalangan pelabur asing yang melihat negeri itu mempunyai potensi sebagai rakan strategik dalam perniagaan.


Dianggarkan pada tahun lalu, sebanyak RM2 bilion berjaya dibawa masuk kerajaan negeri dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Tidak lupa juga kawasan luar bandar dan penempatan Orang Asli turut menikmati limpahan sama apabila mereka ditawarkan dengan projek pertanian di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Penekanan terhadap projek itu memberi manfaat kepada penduduk luar bandar kerana mereka sebelum itu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan memperoleh pendapatan yang tidak seberapa. Pengenalan kepada projek berimpak tinggi membuka lembaran baru kepada penduduk luar bandar untuk terus berusaha mengeluarkan hasil pertanian yang memberi pulangan berganda.

Justeru, adalah diharapkan masyarakat di negeri ini mensyukuri nikmat yang dikecapi dan terus meningkatkan taraf hidup rakyat dengan peluang yang berada di depan mata.

Buang sikap malas dan sebaliknya amalkan budaya rajin berusaha kerana setiap perkara yang dilakukan pasti membawa kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi keluarga, agama, bangsa dan negara.

0 comments:

share2