UMNO bahagian Kuala Krau diberitakan telah mencadangkan seramai 6 calon yang termasuk 2 orang wanita bagi mengisi kekosongan DUN Kerdau dalam PRK yang akan diadakan tidak lama lagi. Demikian dimaklumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.
Berita selanjtnya dari The Malaysia Insider:
February 15, 2011
TEMERLOH, 15 Feb — Dua wanita adalah antara enam nama yang dicadangkan oleh Umno Kuala Krau untuk dipilih pucuk pimpinan parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.
Ketua Umno Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata senarai itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Perhubungan Umno Pahang dalam tempoh yang terdekat.
“Kita akan menemui Menteri Besar untuk membincangkan calon yang layak bertanding nanti dan kita akan akur dengan calon yang bakal dipilih itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Bahagian itu, berkata antara lain mesyuarat tersebut membincangkan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan. Kerusi DUN Kerdau kosong selepas penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang mewakili BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.
Pada pilihan raya umum lepas, Zaharuddin, 64, menewaskan calon PAS Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.
DUN Kerdau mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 3.6 peratus atau 455 pengundi Cina, 3.4 peratus atau 300 pemilih India dan 2.98 peratus atau 260 orang daripada lain-lain kaum. — Bernama
0 comments:
Post a Comment