KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan akan melaksanakan Perintah
Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan
Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor berkuat
kuasa mulai hari ini hingga 9 April.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob dalam kenyataan berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri
Kesihatan setelah Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 83 kes positif
jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, dengan 61 kes adalah dari dua kawasan itu.
“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan
COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.
“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan
3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga. Langkah ini akan
membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang
tempoh 14 hari,” katanya.
Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan perintah tersebut,
semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan
tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
“Bukan penduduk tempatan dan pelawat pula tidak dibenarkan
masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan. Semua aktiviti
perniagaan juga dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari
akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat,” katanya.
Katanya selain itu Pangkalan Perubatan akan dibuka di
kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh
kawasan,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua penduduk diminta
bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas daripada Kementerian
Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.
“Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang
pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434,” katanya.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment