Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 25, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DILANJUT SEHINGGA 14 APRIL - PM




PUTRAJAYA, 25 Mac  -- Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020, demikian diputuskan kerajaan hari ini.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelanjutan tempoh itu diumumkan lebih awal supaya rakyat akan lebih bersedia.


"Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen hari ini.


Perdana Menteri berkata anak yang sepatutnya balik ke asrama, tidak perlu balik ke asrama lagi manakala pejabat juga perlu terus ditutup dalam tempoh berkenaan.


Kata Muhyiddin, sekiranya ada perkara penting yang perlu diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rakyat diminta merancang dari sekarang bagaimana untuk menguruskannya.


"Harap bertenang dan jangan panik. Meskipun kita telah melanjutkan Perintah Larangan Pergerakan (PKP), anda tidak perlu menyimpan stok makanan kerana bekalan adalah mencukupi. Saya jamin kepada anda bahawa makanan mencukupi untuk semua.


“Saya tahu anda rasa terbeban tetapi saya tiada pilihan. Saya terpaksa lanjutkan Perintah Larangan Pergerakan untuk keselamatan anda,” katanya.


Menurut Perdana Menteri, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa dan jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, beliau akan membuat pengumuman mengenainya.


"Yang penting saya mohon supaya saudara saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah,” katanya.


Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan rapi bagi mengurus keperluan asas rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.


Yang penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam, katanya.


Menyedari ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan dalam menghadapi situasi yang sukar ini, Perdana Menteri berkata beberapa inisiatif telah diumumkan kerajaan termasuk inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat yang diumumkan hari ini.


"InsyaAllah, pada hari Jumaat nanti saya akan umumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh. Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua,”


"Samada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. InsyaAllah, tiada seorang pun akan tertinggal," katanya.



 SUMBER -- BERNAMA

0 comments:

share2